TINTA MINDA

P-HAILING DAN WAJAH BAHARU EKONOMI GIG

15/10/2025 03:05 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff

Pada era Revolusi Industri 4.0 dan digitalisasi yang pesat, model perkhidmatan berasakan aplikasi menjadi dominan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Salah satu perkhidmatan yang popular ialah p-hailing (parcel-hailing) atau penghantaran barangan melalui aplikasi.

P-hailing menghubungkan pelanggan yang ingin menghantar atau mendapatkan barangan (makanan, bungkusan kecil, barangan runcit) dengan penghantar secara digital.

Di Malaysia, perkhidmatan p-hailing semakin berkembang dan mempengaruhi cara pengguna membeli dan juga bagaimana pengusaha kecil menyalurkan barangan kepada pelanggan.

Namun bagitu, ia turut membawa cabaran yang perlu dikaji dari segi keselamatan, kesejahteraan penghantar dan juga dasar kerajaan.

Di sebalik wajah mesra yang menghantar pesanan terus di depan pintu rumah, tersembunyi kisah perjuangan yang jarang diketahui.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa majoriti penghantar p-hailing bekerja antara 49 hingga 84 jam seminggu.

Dicatatkan juga hampir 27 peratus daripada mereka memperolehi pendapatan antara RM1,501 hingga RM2,499 sebulan.

Namun, angka ini juga membawa maksud yang lebih mendalam di mana p-hailing bukan sekadar pilihan kerja, tetapi menjadi lambang kebebasan dan ketahanan.

Mereka bekerja tanpa jadual tetap, mengatur masa sendiri dan menyesuaikan pendapatan mengikut kemampuan.

Bagi sesetengahnya, pekerjaan ini memberi ruang untuk berdikari dan menikmati autonomi yang jarang diperoleh dalam pekerjaan konvensional.

Sejarah dan Perkembangan P-Hailing

Menurut sejarah, konsep penghantaran berasaskan aplikasi mula mendapat perhatian dunia sekitar tahun 2010-an.

Di Amerika Syarikat, perkhidmatan seperti Uber Eats (dilancarkan sekitar tahun 2014) dan DoorDash menjadi model bagi penghantaran makanan secara atas permintaan.

Di China pula, platform seperti Meituan Dianping dan Ele.me memperluaskan model ini ke seluruh bandar besar, menggunakan armada penghantar motosikal dan basikal.

Kejayaan model ini mendorong transformasi industri logistik tradisional dengan integrasi sistem pengurusan penghantaran, algoritma penghalaan dan penugasan, serta sistem penilaian prestasi penghantar.

Dunia melihat bahawa p-hailing bukan sekadar penghantaran barang kecil, tetapi membentuk satu cabang penting dalam ekonomi gig, di mana individu mengambil tugasan pengangkutan atau penghantaran jangka pendek mengikut masa dan lokasi yang fleksibel.

Di Malaysia, industri p-hailing mula berkembang pesat selepas kemunculan platform penghantaran makanan dan barangan seperti Foodpanda dan GrabFood, yang memperkenalkan konsep penghantaran atas talian secara sistematik dan mudah diakses oleh masyarakat bandar.

Ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2020, perkhidmatan ini mencatatkan lonjakan mendadak dalam penggunaan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan aktiviti di luar rumah.

Menurut laporan Safety at the Last Mile yang diterbitkan pada tahun 2021, pendapatan daripada perkhidmatan penghantaran makanan meningkat sebanyak 7.3 peratus pada suku pertama dan 14.5 peratus pada suku kedua tahun 2020, mencerminkan peningkatan permintaan yang ketara terhadap perkhidmatan p-hailing sepanjang tempoh pandemik tersebut.

Kelebihan P-Hailing

Kelebihan utama p-hailing dapat dilihat daripada pelbagai aspek yang memberi manfaat kepada pengguna, penghantar serta ekonomi negara secara keseluruhan.

Dari segi kemudahan dan kecekapan, pelanggan boleh membuat pesanan penghantaran melalui aplikasi mudah alih hanya dengan beberapa klik, disertai dengan ciri pengesanan masa nyata yang membolehkan mereka memantau pergerakan penghantaran.

Kemudahan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.

Seterusnya, p-hailing juga menawarkan fleksibiliti kepada penghantar, di mana mereka bebas memilih masa bekerja sama ada secara separuh masa atau sepenuh masa tanpa terikat dengan jadual tetap.

Keanjalan ini amat sesuai bagi individu yang ingin menambah pendapatan sambil menjalankan pekerjaan utama atau menyesuaikan kerja mengikut keperluan peribadi.

Bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) pula, p-hailing membuka peluang baharu untuk memperluas pasaran tanpa perlu membina sistem logistik sendiri.

Melalui platform p-hailing, usahawan restoran kecil, gerai makanan dan kedai runcit boleh menyalurkan produk mereka kepada pelanggan dengan lebih cepat dan mudah, sekaligus meningkatkan daya saing dalam pasaran digital.

Selain itu, industri p-hailing turut menjadi pemacu kepada ekonomi digital dan inovasi, kerana ia mendorong penggunaan teknologi moden seperti sistem penghalaan pintar, analisis data masa nyata dan integrasi aplikasi dalam rantaian bekalan kecil.

Akhir sekali, p-hailing juga menyediakan peluang pekerjaan tambahan terutama pada waktu ekonomi tidak menentu atau ketika krisis berlaku.

Ramai individu yang kehilangan pekerjaan tetap beralih kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan alternatif, menjadikan p-hailing sebagai antara pemangkin utama dalam menyokong daya tahan ekonomi rakyat.

Kelemahan P-Hailing

Walaupun industri p-hailing memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan ekonomi negara, ia juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan yang wajar diberi perhatian serius.

Antara isu utama ialah keselamatan jalan raya dan risiko kecederaan dalam kalangan penghantar.

Tekanan masa untuk menyiapkan penghantaran dengan cepat sering mendorong sebahagian penghantar menunggang secara tergesa-gesa, melebihi had laju atau mengabaikan peraturan lalu lintas.

Kajian yang dijalankan di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan kes kemalangan maut dalam kalangan penghantar p-hailing semasa tempoh pandemik, sekali gus membuktikan bahawa aspek keselamatan masih menjadi kelemahan ketara dalam sektor ini.

Selain itu, isu perlindungan sosial dan kestabilan pendapatan turut membimbangkan. Sebelum perlaksanaan wajib di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SESS), penyertaan penghantar dalam skim ini adalah secara sukarela, menyebabkan ramai tidak dilindungi.

Data terkini menunjukkan hanya sekitar 26 pekerja daripada kira-kira 1.16 juta pekerja gig menyumbang kepada PERKESO.

Hal ini menyebabkan penghantar terdedah kepada risiko kemalangan, kecederaan, kematian atau kehilangan pendapatan tanpa sebarang jaminan sosial yang kukuh.

Kelemahan lain ialah kadar upah yang tidak menentu akibat persaingan sengit antara platform penghantaran.

Persaingan ini menekan struktur komisen dan insentif yang berubah-ubah, menjadikan pendapatan penghantar bergantung kepada jumlah pesanan serta kawasan operasi.

Situasi ini boleh menyebabkan ketidaktentuan ekonomi dalam kalangan pekerja gig.

Seterusnya, wujud juga isu undang-undang dan peraturan yang tidak jelas, apabila industri p-hailing berkembang lebih pantas berbanding proses penggubalan dasar dan undang-undang.

Hal ini mewujudkan jurang dalam perlindungan hak penghantar, mekanisma penyelesaian pertikaian serta tanggungjawab antara platform dan penghantar.

Akhir sekali, industri ini turut memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan lalu lintas.

Pertambahan jumlah motosikal penghantaran di kawasan bandar menyumbang kepada peningkatan kesesakan jalan raya, pelepasan karbon dan pencemaran udara, di samping menambah tekanan terhadap infrastruktur jalan sedia ada.

Oleh itu, walaupun p-hailing berperanan penting dalam memperkukuh ekonomi digital negara, cabaran-cabaran ini perlu ditangani secara holistik agar industri ini dapat berkembang secara mampan dan selamat.

Dasar Kerajaan

Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah strategik dan memperkenalkan dasar yang komprehensif bagi menangani cabaran yang dihadapi dalam industri p-hailing, khususnya dari aspek keselamatan, kebajikan sosial dan perlindungan pekerja gig.

Melalui agensi seperti PERKESO, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi memastikan industri ini berkembang dengan lebih teratur dan mampan.

Antara dasar utama ialah pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI) yang diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Skim ini mula diwajibkan kepada sektor pengangkutan penumpang pada 1 Jun 2017 dan diperluaskan kepada penghantar makanan serta barangan mulai 1 Oktober 2021.

Melalui skim ini, pekerja sendiri termasuk penghantar p-hailing layak menerima pelbagai manfaat seperti rawatan perubatan, faedah hilang upaya sementara, pampasan bagi kecederaan kekal serta faedah kematian bagi waris.

Selain itu, kerajaan turut menggalakkan kerjasama sektor awam dan swasta melalui subsidi caruman oleh platform.

Contohnya, Grab Malaysia telah menjalin kerjasama dengan PERKESO untuk menanggung sebahagian caruman bagi penghantar kategori “ultimate partners”, sebagai insentif bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam skim perlindungan sosial tersebut.

Usaha ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan pekerja gig, malah menunjukkan komitmen sektor swasta dalam memperkukuh perlindungan sosial tenaga kerja platform digital.

Bagi memperkukuh lagi kedudukan undang-undang pekerja p-hailing, Kerajaan juga memperkenalkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 (Gig Workers Bill 2025).

Undang-undang baharu ini bertujuan mewajibkan semua pekerja platform, termasuklah penghantar p-hailing untuk mencarum dengan PERKESO serta memperkenalkan Tribunal Pekerja Gig bagi menyelesaikan pertikaian antara platform dan pekerja.

Oleh itu, melalui rang undang-undang ini, Kerajaan merancang untuk menjadikan sumbangan mandatori sebanyak 1.25 peratus bermula Januari 2026.

Dalam aspek keselamatan, kerajaan memberi tumpuan kepada inisiatif pencegahan kemalangan dan keselamatan penghantar. Melalui laporan Safety at the Last Mile serta kerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pelbagai garis panduan diperkenalkan termasuklah penggunaan kelengkapan perlindungan seperti topi keledar berkualiti, peti penghantaran bersaiz sesuai, pemeriksaan berkala kenderaan dan jadual penghantaran yang tidak terlalu ketat.

Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan penghantar p-hailing.

Selain itu, PERKESO turut memperluas skop perlindungan pekerjaan dan program rehabilitasi kepada pekerja gig.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada rawatan, pemulihan, serta pengintegrasian semula individu ke dalam pasaran pekerjaan selepas mengalami kecederaan atau kemalangan semasa bertugas.

Dalam masa yang sama, Kerajaan menjalankan tinjauan polisi dan semakan kerangka regulasi melalui rundingan dengan badan profesional seperti Badan Peguam Negara bagi memastikan Gig Workers Bill 2025 ditambah baik.

Secara keseluruhannya, pendekatan holistik oleh pihak kerajaan yang menekankan aspek perlindungan sosial, keselamatan kerja dan tadbir urus yang jelas bukan sahaja melindungi kebajikan penghantar, malah menyumbang kepada pembentukan ekosistem ekonomi digital yang lebih mampan untuk masa hadapan negara.

Kesimpulan

P-hailing kini merupakan komponen utama dalam lanskap ekonomi digital Malaysia, menghubungkan pengguna dan penghantar melalui aplikasi dengan kecekapan tinggi.

Ia telah membuka ruang ekonomi kepada pengusaha kecil dan pekerja gig, memberikan fleksibiliti masa dan pendapatan tambahan.

Namun, realiti menunjukkan bahawa cabaran dalam aspek keselamatan, kelemahan perlindungan sosial dan pendapatan tidak stabil tidak boleh diabaikan.

Kerajaan telah mengambil langkah penting menerusi pengenalan LINDUNG KENDIRI, penyertaan subsidi dan Gig Workers Bill 2025 untuk menjadikan sumbangan sosial mandatori dan memperkukuh perlindungan pekerja platform.

Walau bagaimanapun, kejayaan dasar ini bergantung kepada pelaksanaan yang jelas, kerjasama platform digital dan keterlibatan para penghantar sendiri.

Jika keseimbangan antara inovasi teknologi, kebebasan platform dan tanggungjawab sosial dapat dijalin dengan baik, p-hailing boleh terus berkembang secara mampan dan menyumbang signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)