Oleh Dr Azean Idruwani Idrus
Fenomena penggunaan bahasa slanga dalam masyarakat masa kini semakin mendapat perhatian umum, khususnya apabila generasi muda menjadikannya sebagai medium komunikasi utama dalam media sosial.
Ungkapan seperti “chill lu”, “tak vibe dho”, “cau lu”, “raklu pape roger” dan “payung lah” bukan lagi sesuatu yang asing, malah telah menjadi identiti interaksi digital.
Perkembangan ini membawa perubahan ketara terhadap sistem morfologi dan sintaksis bahasa Melayu, dan hal ini semakin banyak dibincangkan dalam wacana akademik serta konteks pendidikan.
Penggunaan slanga berkembang pesat akibat budaya komunikasi digital yang semakin dominan.
Media sosial seperti WhatsApp, Instagram, TikTok dan X @ Twitter menyediakan ruang interaksi berkelajuan tinggi yang mendorong pengguna menyesuaikan bentuk bahasa mereka.
Menurut Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Muhammad Syafreza Azwan Pisol (2021), bahasa slanga mempunyai kosa kata tersendiri dan dikategorikan sebagai bahasa tidak rasmi, namun tetap menjadi pilihan utama remaja dalam komunikasi harian.
Slanga Era Digital
Penggunaan yang meluas ini menyebabkan slanga membentuk identiti linguistik baharu dalam kalangan generasi digital.
Dari sudut morfologi, perubahan bahasa slanga dapat diperhatikan melalui pengguguran, pemendekan dan pengubahsuaian bentuk kata hingga menghasilkan struktur yang lebih ringkas dan kreatif.
Contohnya, perkataan “gila” berubah menjadi “gilerrrr” dengan penambahan huruf ‘r’ untuk memberi kesan emosi yang lebih kuat.
Perkataan “sayang” pula bertukar kepada “yunk”, yang memperlihatkan penyimpangan bunyi dan ejaan daripada bentuk standard.
Selain itu, ungkapan “elok-elok” berubah menjadi “leklok”, yang menunjukkan pemendekan dan pengguguran suku kata.
Proses-proses ini menggambarkan kecenderungan pengguna slanga untuk mencipta bentuk bahasa yang lebih cepat dan mudah dituturkan, sesuai dengan budaya komunikasi digital yang bersifat segera.
Sementara itu, dari aspek sintaksis, perubahan dapat dilihat melalui penyusunan ayat yang tidak lagi mematuhi aturan tatabahasa baku.
Ayat standard “Aku balik dulu” ditukar kepada “cau lu”, iaitu bentuk yang lebih ringkas serta menggantikan keseluruhan ayat dengan frasa singkat.
Ayat seperti “Aku bosan duduk rumah” pula ditransformasikan menjadi “pishang do duk umah”.
Perubahan ini menggabungkan kosa kata baharu seperti “pishang” dan singkatan seperti “duk umah”, menjadikan struktur ayat longgar dan tidak formal.
Slanga Melangkaui Norma
Fenomena ini menunjukkan bahawa pengguna slanga mengutamakan kespontanan dan gaya pertuturan berbanding ketelitian struktur bahasa standard.
Selain perubahan bentuk kata dan struktur ayat, trend slanga turut dipacu oleh budaya meniru dan penularan trend digital.
Kajian Munirah Zulkifli (2023) mendapati bahawa slanga tersebar secara meluas melalui platform digital kerana pengguna cenderung mengikuti gaya bahasa pencipta kandungan yang mereka minati.
Ungkapan seperti “kemain ko dik” semakin popular kerana menggantikan ayat standard “bukan main awak ini, adik” dengan struktur yang lebih santai.
Perubahan ini melibatkan pemendekan kata seperti “awak” kepada “ko” dan penggunaan panggilan tidak formal seperti “dik”.
Hal ini memperlihatkan kelonggaran sintaksis dan unsur keakraban yang menjadi ciri utama komunikasi generasi muda.
Begitu juga dengan ungkapan “awad helok angat”, iaitu variasi kreatif bagi ayat “kenapa elok sangat?”.
Perubahan ini jelas melibatkan penyimpangan fonologi dan ejaan. Kata “awad” menggantikan “kenapa”, manakala “helok angat” menggantikan “elok sangat”.
Fenomena ini menyerupai gaya pertuturan dialek tertentu yang dipopularkan dalam bentuk tulisan untuk tujuan humor atau ekspresi kreatif.
Walau bagaimanapun, struktur ayat ini tidak lagi mematuhi pola sintaksis baku, sekali gus menunjukkan wujudnya pelonggaran tatabahasa dalam penggunaan harian.
Slanga dalam Pendidikan
Penggunaan slanga sedemikian memberi implikasi besar terhadap sistem pendidikan.
Normalisasi slanga mengaburkan pemahaman murid terhadap tatabahasa baku dan menyumbang kepada kesalahan bahasa dalam penulisan akademik.
Pelajar yang terbiasa dengan bentuk slanga sering mengabaikan struktur ayat formal, seterusnya menjejaskan penguasaan bahasa Melayu standard.
Jika fenomena ini tidak dikawal, generasi seterusnya mungkin menghadapi kesukaran menguasai bahasa formal yang diperlukan dalam bidang akademik dan profesional.
Secara keseluruhannya, bahasa slanga bukan sekadar trend komunikasi generasi digital, tetapi suatu fenomena linguistik yang membawa implikasi besar terhadap morfologi dan sintaksis bahasa Melayu.
Walaupun slanga mencerminkan kreativiti dan dinamika bahasa, penggunaannya secara meluas tanpa batas mampu menjejaskan keutuhan bahasa standard, khususnya dalam kalangan pelajar.
Pemeliharaan bahasa Melayu memerlukan kesedaran kolektif daripada pendidik, ibu bapa, pengguna media sosial dan pencipta kandungan digital.
Dengan pendidikan bahasa yang seimbang serta teladan penggunaan bahasa baku yang konsisten, slanga dapat difahami sebagai variasi komunikasi yang wajar digunakan secara berhati-hati, tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan identiti bangsa.
-- BERNAMA
Dr Azean Idruwani Idrus ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Muar, Johor.