Ketika Taiwan menyambut Hari Kebangsaan pada 10 Oktober 2025, ia membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Ia melambangkan ketahanan sebuah struktur dan masyarakat yang berteraskan kebebasan, demokrasi, kedaulatan undang-undang, dan inovasi - prinsip-prinsip teras yang telah melonjakkan Taiwan menjadi salah satu ekonomi paling dinamik dan maju dari segi teknologi di dunia.
Taiwan berdiri bukan sahaja sebagai benteng demokrasi, tetapi juga sebagai asas ekonomi dan teknologi terkemuka, yang menjadi pelapis kepada kestabilan, kemakmuran dan kemajuan bersama di seluruh Indo-Pasifik dan dunia.
Kebangkitan Taiwan dibina atas puluhan tahun tadbir urus yang berdisiplin, dan pandangan jauh berpaksikan masa depan dan keutuhan institusi.
Faktor-faktor ini telah memajukan negara itu menjadi peneraju dalam industri semikonduktor global, menghasilkan lebih 60 peratus cip dunia dan lebih 90 peratus pemproses paling maju, diterajui oleh TSMC (Taiwan Semiconductor Manufacturing Company).
Sebanyak 92 peratus kapasiti cip paling canggih dunia (di bawah 10nm) terletak di Taiwan.
Dominasi ini meletakkan Taiwan sebagai pemain paling relevan, yang menggerakkan segalanya daripada kenderaan elektrik kepada kecerdasan buatan dan sistem pertahanan, serta berfungsi sebagai asas kepada kemajuan kuantum (quantum advancement)
Kepentingannya bukan sekadar pada cip dan semikonduktor, kerana Taiwan kini menerajui tenaga hijau, bioteknologi, dan pembuatan maju - dengan tenaga hijau dan peralihan tenaga memainkan peranan yang semakin besar dalam mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan kelestarian alam sekitar, dengan kesan limpahan kepada ekonomi membangun di seluruh Asia.
Kepentingan Geostrategik dan Laluan Perdagangan Maritim
Keunggulan strategik Taiwan melangkaui potensi ekonomi dan teknologinya; ia terletak di persimpangan geopolitik dan maritim antara Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik.
Bertempat di pertemuan antara Laut China Timur, Laut China Selatan dan Lautan Pasifik Barat, Taiwan menguasai salah satu laluan laut paling penting di dunia, di mana hampir 40 peratus perdagangan global dan lebih daripada AS$5 trillion nilai barangan melaluinya setiap tahun.
Perairan di timur dan selatan Taiwan berfungsi sebagai nadi kehidupan yang menghubungkan Jepun, Korea Selatan dan Lingkaran Pasifik dengan sumber tenaga dan pasaran Asia Tenggara, Timur Tengah, Asia Selatan dan seterusnya.
Gangguan terhadap koridor maritim ini atau pelanggaran undang-undang dan norma maritim antarabangsa di kawasan ini akan menggugat kestabilan rantaian bekalan global, aliran tenaga dan logistik makanan dan secara langsung menjejaskan keselamatan Asia Timur dan Asia Tenggara yang saling terikat melalui geografi, keselamatan serta ekonomi dan perdagangan.
Kedudukan Taiwan berfungsi sebagai tonggak strategik kepada “first island chain”, memberikan benteng semula jadi dalam melindungi akses laluan laut terbuka dari Laut China Selatan ke Lautan Pasifik.
Sebuah Taiwan yang stabil dan bebas bukan sahaja melindungi kebebasan pelayaran di rantau ini, tetapi juga menjamin kesinambungan dan keselamatan perdagangan global yang menghubungkan ASEAN dengan Jepun, Korea, dan Amerika Syarikat.
Demi kemakmuran dan kestabilan maritim Asia Timur dan Asia Tenggara, Taiwan ialah pintu gerbang ke Pasifik dan asas kepada keamanan serta keterhubungan ekonomi serantau.
Demokrasi, Kedaulatan Undang-Undang dan Modal Insan
Keunikan Taiwan bukan hanya pada pencapaian teknologinya, tetapi juga pada keutuhan sistem yang mendokongnya.
Segala kemajuan itu berpaksikan kepada institusi demokrasi yang kukuh, badan kehakiman yang bebas, serta tadbir urus yang telus - yang membolehkan budaya inovasi, kebebasan intelektual dan penghormatan terhadap hak asasi manusia untuk berkembang. Asas-asas ini adalah prasyarat kepada kemajuan saintifik dan ketahanan ekonomi.
Di Taiwan, inovasi berkembang kerana sistemnya membenarkan dan menyokongnya, serta wujud kapasiti kebertanggungjawaban.
Syarikat baharu dan perusahaan beroperasi dalam persekitaran berasaskan peraturan yang melindungi hak harta intelek, memberi ganjaran berdasarkan merit, dan menyokong persaingan terbuka.
Dalam era di mana kepercayaan terhadap demokrasi semakin terhakis, Taiwan kekal sebagai bukti bahawa demokrasi dan teknologi tinggi boleh wujud bersama serta saling mengukuhkan.
Kepentingan Strategik Taiwan kepada ASEAN dan Malaysia
Selama beberapa dekad, hubungan Taiwan–Malaysia dan Taiwan–ASEAN telah diperkukuh melalui perdagangan, pelancongan, pendidikan, dan pertukaran budaya sebagai asas utama.
Namun perubahan geopolitik semasa menuntut perkongsian baharu yang melangkaui hubungan konvensional, ke arah kebergantungan strategik dalam bidang teknologi, keselamatan rantaian bekalan, tenaga, dan pembangunan modal insan.
Malaysia dan Taiwan mengekalkan hubungan perdagangan kukuh, dengan jumlah dagangan melebihi AS$40 bilion setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Taiwan merupakan antara 10 rakan dagang utama Malaysia, khususnya dalam bidang elektronik, petrokimia, jentera dan kejuruteraan.
Perdagangan Malaysia–Taiwan pada tahun 2024 berjumlah RM176.1 bilion, dan Taiwan telah mengatasi Jepun sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia.
Eksport Malaysia ke Taiwan meningkat sebanyak 54.4 peratus, diterajui oleh E&E, peralatan optik/sains, serta jentera dan komponennya.
Dengan Malaysia kini memacu peranannya sebagai hab pembuatan semikonduktor dan kenderaan elektrik di bawah Strategi Semikonduktor Nasional, kerjasama strategik masa depan dengan pengeluar cip Taiwan serta kepakaran mereka membawa manfaat dua hala - Malaysia memperoleh pemindahan teknologi dan latihan tenaga mahir, manakala Taiwan memperkukuh jaringan pengeluaran serantau dan usaha diversifikasi sejajar dengan Dasar Selatan Baharu (New Southbound Policy).
ASEAN dan Malaysia berfungsi sebagai platform baharu dalam membantu Taiwan mengurangkan risiko dan mempelbagaikan rantaian bekalannya di tengah ketegangan yang berterusan.
Fokus strategik baharu Malaysia untuk memperbaharui asas ekonominya melalui teknologi tinggi dan pembuatan, serta penekanan terhadap ekonomi digital dan hijau dengan asas perindustrian yang lebih luas, infrastruktur logistik yang baik, dan tenaga kerja berpendidikan tinggi khususnya di bawah pentadbiran MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikan Malaysia rakan semula jadi bagi firma Taiwan yang mencari sumber dan rakan kongsi boleh dipercayai dalam bidang pembungkusan semikonduktor, pemasangan elektronik, dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Kerjasama ini akhirnya berpotensi untuk menyatukan keupayaan serantau ke dalam segitiga strategik yang menghubungkan ekosistem inovasi Taiwan, kapasiti pembuatan Malaysia, dan pangkalan pasaran ASEAN, sekaligus mewujudkan rantaian bekalan serantau yang berdaya tahan dan kukuh.
Tenaga, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Bakat
Usaha Taiwan ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 sejajar dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional New Energy Transition Roadmap (NETR) Malaysia.
Usahasama dalam inisiatif hijau termasuk hidrogen bersih, penyimpanan bateri, dan sistem tenaga pintar meningkatkan keupayaan dalam perjalanan ke arah pengurusan karbon dan peralihan ekonomi hijau, sambil mengurangkan kebergantungan tradisional terhadap kuasa besar sedia ada dalam bidang ini.
Kedua-dua Malaysia dan Taiwan berdepan cabaran terhadap kestabilan bekalan makanan akibat perubahan iklim, kekangan tanah dan kekurangan sumber kini dan pada masa depan.
Kemajuan Taiwan dalam agroteknologi, pertanian strategik atau vertical farming, dan bioteknologi menyediakan model praktikal dan terbukti untuk ketahanan keselamatan makanan ASEAN, serta menawarkan Malaysia akses kepada sistem pertanian lestari dan kerjasama penyelidikan & pembangunan pertanian, mengukuhkan usaha menjamin keselamatan makanan.
Malaysia secara tradisi merupakan antara sumber utama pelajar asing ke Taiwan, mewujudkan hubungan modal insan kukuh bagi penyelidikan bersama dan penempatan industri.
Lebih 17,000 pelajar Malaysia telah memilih Taiwan untuk melanjutkan pelajaran di bawah inisiatif Biasiswa Taiwan dan New Southbound Policy, mencerminkan komitmen jangka panjang Taiwan terhadap pertukaran pendidikan dan pembangunan bakat, serta melahirkan tenaga mahir untuk memperkukuh kemajuan teknologi dan ekonomi kedua-dua pihak.
Dalam konteks Indo-Pasifik yang lebih luas, kejayaan berterusan Taiwan amat penting bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dari segi nilai dan prinsip.
Melindungi keamanan dan autonomi Taiwan adalah keperluan sejagat bagi mengekalkan keluhuran berasaskan peraturan, kebebasan pelayaran dan hak laluan maritim, serta kestabilan dan keterbukaan ekonomi global.
Ketika dunia semakin bergantung pada cip berteknologi tinggi, keadaan demokrasi Taiwan memberi kesan langsung kepada inovasi global.
Taiwan yang stabil dan demokratik memastikan ekosistem teknologi global kekal terbuka, dipercayai, dan telus - menjamin integriti rantaian bekalan dan keselamatan maritim.
Pilihan Strategik Malaysia dan ASEAN untuk Masa Depan Bersama
Bagi Malaysia dan ASEAN, memperdalam hubungan dengan Taiwan merupakan langkah kebijaksanaan strategik.
Daya tahan jangka panjang ASEAN bergantung kepada kepelbagaian rakan kongsi yang berpaksikan teknologi, pendidikan, dan kelestarian.
Taiwan menawarkan semua ini - rakan yang menggabungkan kecemerlangan teknologi dan nilai demokrasi.
Dengan memperkukuh hubungan dengan Taiwan, ASEAN dan Malaysia dapat mempercepatkan peralihan ke arah ekosistem berteknologi tinggi melalui kerjasama pelbagai dimensi dalam cip, kecerdasan buatan, dan tenaga boleh diperbaharui, serta membina daya tahan bersama terhadap kejutan dan risiko luaran.
Hari ini, Taiwan berdiri sebagai simbol baharu ekonomi global - bukan hanya dalam silikon dan litar, tetapi pada teras kekuatan demokrasi dan kecerdikan sistem.
Perjalanannya daripada sebuah pulau membangun kepada teras inovasi global membuktikan bahawa kebebasan dan demokrasi adalah pencetus kemajuan.
Ketika dunia bergelut dengan cabaran teknologi dan ancaman terhadap cita-cita demokrasi serta sistem keamanan global berasaskan peraturan, kisah Taiwan memberi harapan bahawa kemakmuran dan kebebasan mampu wujud bersama.
-- BERNAMA
Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.