Ketegangan yang tercetus kembali di sempadan Thailand-Kemboja dan tindakan Perdana Menteri Anutin untuk menggantung persetujuan yang ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN menjadi gambaran tentang cabaran dalam proses perdamaian dan juga peranan kuasa luar terutamanya Malaysia dan Amerika Syarikat dalam memastikan keadaan tidak melarat.
Malaysia mengambil pendirian tepat: konsisten, tidak panik, dan terus mengekalkan saluran dialog terbuka.
Walaupun secara asasnya konflik ini bersifat bilateral dengan legasi pertikaian selama lebih beratus tahun, tetapi kerana ia berlaku dalam kerangka ASEAN yang mempromosikan keamanan,kestabilan, dan diplomasi secara dialog, negara-negara anggota mempunyai tanggungjawab kolektif.
Peranan ASEAN pastikan konflik tidak melarat
Peranan ASEAN ialah memastikan konflik ini tidak merebak dan tidak merenggangkan suasana kepercayaan antara negara serantau.
Pencetus paling ketara dalam insiden terbaharu ini adalah insiden letupan periuk api landmine di Sisaket yang mencederakan anggota tentera Thailand.
Ini mengubah percaturan keselamatan di sempadan dan memberi justifikasi politik kepada Perdana Menteri Thailand Anutin untuk menyokong pendirian keras pihak tentera dan membeku pelaksanaan deklarasi damai sementara siasatan dijalankan.
Ini dijadikan faktor pretext untuk mengubah senario gencatan senjata dan langkah ini dilihat sebagai protes kepada tindakan Kemboja.
Ini juga digunakan sebagai mesej jelas dalaman bahawa Thailand di bawah Anutin dilihat sebagai tegas dan tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan Thailand dan gencatan senjata dan perjanjian perdamaian juga tidak akan terkecuali dalam ketegasan pentadbiran Anutin untuk mempertahankan kepentingan Thailand.
Ini berfungsi sebagai langkah memperkasa imej, keabsahan dan kekuatan politik kerajaan Anutin kepada rakyat Thailand. Anutin tidak boleh dilihat sebagai lemah dalam mempertahankan hak Thailand, serta untuk menjaga sensitiviti tentera terhadap ancaman periuk api.
Penangguhan gencatan
Penangguhan gencatan ini susulan insiden periuk api menunjukkan Bangkok mengekalkan ruang rundingan strategic hedging antara kuasa besar, sambil menekan Phnom Penh untuk konsesi keselamatan, namun langkah penangguhan ini tidak akan bertahan lama, di mana Anutin tidak akan berniat untuk memberikan gambaran salah kepada Trump, namun Anutin juga perlu berhati-hati untuk tidak memberikan gambaran lemah kepada tentera Thailand dan rakyat Thailand dengan mengambil sikap berlembut. Penangguhan ini dijangka bersifat sementara sebagai mesej jelas kepada Kemboja.
Penangguhan ini menguji daya tahan dan keefisienan ASEAN, tetapi tidak menjejaskan kredibiliti mekanisme serantau.Jika perjanjian ini tidak disambung semula dalam masa terdekat, risikonya adalah kitaran low-intensity conflict di sempadan termasuk periodical gunfire, peningkatan aktiviti militia dan penyeludupan senjata, penutupan lintasan, serta aliran pelarian.
Bukti bulan-bulan lalu menunjukkan penutupan sempadan, gangguan perdagangan, dan pemindahan penduduk secara besar-besaran apabila pertempuran memuncak menjadi trend yang boleh berulang jika saluran de-escalation gagal.
Malaysia memudahcara gencatan senjata
Malaysia sebelum ini memudah cara gencatan senjata bersama AS dan rekod ini jelas terpapar dalam legasi dan kewibawaan Malaysia sebagai pihak luar atau pihak ketiga yang neutral, dengan matlamat yang selari dengan pendirian ASEAN untuk tidak memihak dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman pelaku lain.
Presiden Trump menjadi antara faktor terbesar dalam memaksa Thailand untuk kembali kemeja rundingan bukan sahaja dengan unsur tekanan ekonomi dan “carrot-and-stick”,namun kepentingan Amerika terhadap Thailand dari segi jaminan keselamatan dan pertahanan.
Bangkok sedar bahawa hubungan dengan Washington adalah sama penting dengan hubungan dengan negara jiran dan ASEAN, dan polisi yang Trump wujudkan dalam memaksa ke arah keamanan dengan pendekatan economic tariff card mewujudkan rangka kerja transaksional yang Thailand cuba manfaatkan, sambil berhati-hati terhadap kos domestik dan juga tidak ingin menerima padah dampak ekonomi daripada Washington sekiranya tidak patuh.
ASEAN berfungsi secara konsensus
ASEAN lazimnya berfungsi melalui konsensus secara dialog dan diplomasi dan bukan bergerak dalam kerangka penguatkuasaan.
ASEAN dengan peranan Malaysia perlu terus melipatgandakan usaha untuk memastikan Thailand kembali ke meja rundingan dan untuk memberikan tekanan dan kaedah dialog kepada Kemboja untuk mengelakkan insiden seperti ini daripada berulang.
Namun keberkesanan bergantung pada kehendak politik Bangkok–Phnom Penh (dan sokongan Washington) untuk kembali ke meja rundingan.
Malaysia bertindak dalam lingkungan norma dan kerangka ASEAN, dan juga selari dengan pendirian Malaysia untuk tidak berpihak atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman pelaku ASEAN lain.
Kenyataan bekas jeneral Thailand ditolak secara rasmi
Kenyataan seorang bekas jeneral Thailand yang menuduh Malaysia dan PM Anwar sebagai “musuh dalam selimut” telah ditolak secara rasmi oleh Kuala Lumpur dan ia lebih bersifat retorik politik domestik Thailand, bukan pendirian kerajaan Thailand.
Seperti yang ditegaskan General Tan Sri Hj Mohd Nizam, peranan Malaysia kekal profesional dan mematuhi kerangka ASEAN. Penafian segera di peringkat tertinggi ini mengurangkan risiko reputasi dan menegaskan mandat peranan Malaysia.
Ini memperkukuh naratif bahawa Malaysia tidak mudah diganggu oleh retorik individu, sekaligus mempamerkan keyakinan institusi dan integriti proses.
Malaysia sebagai stabilising factor
Dari segi geopolitik serantau, Malaysia berfungsi sebagai stabilising factor di pertengahan kancah hubungan Thailand–Kemboja yang sedang tegang.
Kedudukan dan respons Malaysia yang tenang dan rasional menghantar mesej bahawa kita adalah pelaku matang yang tidak terjebak dalam emosi politik dalaman dan percaturan dalaman negara lain.
Tidak boleh dinafikan bahawa kegusaran atau cautious wariness akan tetap wujud di antara semua pelaku negara, dan ini merupakan perkara normal dalam hubungan antarabangsa dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan keselamatan negara masing-masing, namun hubungan secara keseluruhan dari segi diplomasi dan pertalian lain termasuk ekonomi menjadi tunjang utama, dan pengendalian hubungan keselamatan sesama negara jiran tetap menjadi cabaran dalam mengemudi keseimbangan masa depan.
Malaysia tegas pertahan kepentingan negara dalam semua aspek
Namun, Malaysia tetap tegas dalam mempertahankan kepentingan negara dalam semua aspek terutamanya melibatkan aspek keselamatan dan pertahanan, dan Angkatan Tentera Malaysia kita menjadi pelopor dan benteng hadapan dalam aspek ini.
Dalam isu peranan Malaysia dalam konflik Thailand-Kemboja ini, Malaysia melalui ATM telah dengan bijak memberikan peranan kepimpinan dan sokongan dari luar tanpa menjejaskan kepentingan negara dan ASEAN. Hubungan kerja Malaysia–Thailand dalam mekanisme sempadan dan rundingan damai masih berjalan, walaupun retorik domestik di Thailand memuncak susulan insiden lombong dan pelanggaran gencatan.
Risiko trust deficit serantau rendah jika Malaysia kekal telus pada proses dengan mandat dan terma dan berurusan melalui platform ASEAN/GBC.
Faktor Malaysia dipilih sebagai fasilitator
Tiada lagi pelaku lain dalam ASEAN yang mempunyai track record serta kapasiti rundingan dan kepercayaan oleh kedua-dua pihak untuk menjadi mediator dalam konflik ini.
Insiden ini sebenarnya menyerlahkan mengapa Malaysia sering dipilih sebagai fasilitator, di mana Malaysia bukan sahaja neutral tetapi dipercayai berdasarkan legasi sejarah peranan Malaysia dalam kes-kes sebegini.
Malaysia memiliki kapasiti diplomatik yang konsisten,pasukan pertahanan yang disegani di rantau ini,rekod misi pendamai yang berjaya dan jaringan komunikasi ketenteraan yang baik dengan semua pihak.Negara-negara ASEAN melihat Malaysia sebagai pelaku yang tidak memihak, tidak agresif, dan berupaya menyusun proses rundingan dengan disiplin.
Ini mengukuhkan status Malaysia sebagai pemain utama dalam ASEAN preventive diplomacy.
Tonggak konvensional
Beberapa tonggak konvensional menjadi antara faktor yang kebiasaannya akan sensitiviti yang perlu ditangani oleh Malaysia dalam proses mediasi.
Pertamanya adalah kedaulatan dan persepsi bias. Penting dalam bab ini untuk tegaskan neutraliti dan mengelak kenyataan yang boleh ditafsir sebagai memihak.
Keduanya, faktor naratif konflik di mana perang informasi atau perception and narrative warfare menjadi antara cabaran yang boleh membentuk persepsi. Isu kemanusiaan dan undang-undang perang juga menjadi tunjang utama, dalam menegakkan prinsip norma dan undang-undang perang terutamanya yang melibatkan tahanan, pelarian, dan lain-lain yang memerlukan pemantauan bebas dalam mengelakkan Malaysia dikaitkan dengan pelanggaran norma tersebut.
Juga penting untuk menutup ruang spekulasi melalui pengendalian dan pengurusan domestik & serantau, di mana komunikasi secara konsisten dengan ASEAN dan pelaku lain kekal penting, dalam mengelak daripada spekulasi mengenai persepsi bias dan lain-lain.
Malaysia perlu kekal neutral
Malaysia perlu kekal neutral, tegas, dan memimpin dari sudut kepercayaan dan legasi peranan Malaysia yang telahpun terserlah dan dipercayai dan harus mengekalkan semua tindakan dalam kerangka ASEAN dan memastikan kedua-dua pihak merasai akses yang seimbang kepada Malaysia.
Selain itu, penting untuk mengelakkan kenyataan yang mengesahkan naratif mana-mana pihak, dan terus menonjolkan kepentingan de-escalation, prinsip kemanusiaan, dan pematuhan gencatan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Malaysia ialah pelaku rundingan keamanan paling stabil dan dipercayai di ASEAN, memiliki kredibiliti tinggi sebagai penyeimbang kuasa konflik kerana keprofesionalan ATM dan track record diplomatik yang panjang.
Namun, kesemua ini juga tidak akan berjaya tanpa peranan pelengkap Washington dan Presiden Trump dalam pengendalian konflik ini dan ini mesti kekal dipertahankan.
Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk mengemudi penyelesaian Thailand–Kemboja, justeru memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai pusat kestabilan serantau, terutama sekali dengan sokongan dan bantuan berterusan Washington di bawah Presiden Trump yang terus mengenakan tekanan ekonomi dan juga kuasa penekan lain yang akan memastikan kedua-dua Thailand dan Kemboja terus bertindak mengikut garis panduan gencatan, yang kemudiannya akan menyenangkan dan membantu proses dan peranan Malaysia.
-- BERNAMA
Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya