Pada 1 Oktober setiap tahun, dunia menyambut Hari Warga Tua Sedunia sebagai penghormatan kepada sumbangan besar golongan berusia dalam masyarakat.
Ia juga menjadi detik penting untuk kita menilai sejauh mana negara kita bersedia mengurus proses penuaan penduduk yang semakin ketara.
Di Malaysia, peralihan ini bukan lagi isu masa depan. Menjelang tahun 2030, kita dijangka menjadi sebuah negara tua apabila 15 peratus daripada penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Persoalan yang wajib ditanya dengan jujur dan berani ialah bersediakah kita memimpin negara dalam era penuaan ini?
Pertumbuhan penduduk berusia bukan sekadar isu statistik. Ia mencerminkan kejayaan dalam kesihatan awam, peningkatan taraf hidup dan kestabilan sosial. Namun, kejayaan ini juga datang dengan cabaran besar yang perlu diurus dengan bijak.
Kita tidak boleh mengurus penuaan dengan pendekatan reaktif atau sekadar kosmetik. Sebaliknya, kita memerlukan satu anjakan cara fikir dan pendekatan sistemik yang menyeluruh.
Penuaan penduduk sering digambarkan sebagai beban kepada ekonomi dan sistem sosial. Gambaran ini sebahagiannya benar jika kita tidak bersedia. Namun, usia tua bukanlah satu kelemahan automatik. Ramai warga emas hari ini masih sihat, aktif dan berpengetahuan luas.
Mereka bukan hanya ingin dihormati, tetapi mahu terus menyumbang kepada masyarakat. Ini membuka ruang kepada konsep “ekonomi perak” yang mengiktiraf potensi ekonomi dan sosial warga tua, termasuk dalam bidang pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan sepanjang hayat dan keusahawanan komuniti.
Cabaran dan Perancangan
Namun untuk menjayakan semua ini, kita perlu mengurus cabaran dengan terancang. Cabaran pertama ialah struktur ekonomi yang terlalu bergantung kepada tenaga kerja muda dan tidak cukup fleksibel untuk mengoptimumkan penyertaan warga emas.
Kita perlu meluaskan peluang pekerjaan sambilan atau kerja jarak jauh kepada pesara yang masih mahu menyumbang.
Negara maju telah membuktikan bahawa penglibatan aktif warga emas dalam ekonomi boleh meningkatkan produktiviti, malah mengurangkan tekanan ke atas sistem sosial.
Cabaran kedua ialah sistem kesihatan dan sosial yang masih bersifat episodik dan tidak terarah kepada penjagaan jangka panjang. Penuaan memerlukan kita memimpin perubahan dalam sistem kesihatan ke arah penjagaan yang menyeluruh, berterusan dan berpusatkan komuniti.
Kita memerlukan lebih ramai pakar geriatrik, penjaga profesional dan sistem sokongan kepada penjaga keluarga. Di samping itu, kita harus mengiktiraf keluarga sebagai rakan strategik dalam penjagaan warga tua, bukan sekadar entiti sokongan yang tidak diberi perhatian dalam dasar awam.
Manakala cabaran ketiga pula berkait rapat dengan budaya dan persepsi masyarakat terhadap usia tua. Dalam banyak konteks, warga emas dihormati tetapi tidak didengari. Mereka diberi tempat di hadapan, tetapi jarang diberi ruang dalam membuat keputusan.
Jika kita benar-benar mahu membina masyarakat penyayang, kita mesti memimpin perubahan persepsi ini. Warga emas harus dilihat sebagai pemimpin komuniti, penjaga nilai dan sumber kebijaksanaan.
Suara mereka wajar diraikan dalam proses pembuatan dasar, perancangan bandar dan pembangunan teknologi.
Persekitaran Fizikal dan Sosial Mesra Warga Emas
Kita juga perlu membangunkan persekitaran fizikal dan sosial yang mesra warga emas. Reka bentuk bandar, kemudahan awam, pengangkutan dan teknologi digital harus inklusif dan mudah digunakan.
Universiti terbuka untuk warga emas, kelas kemahiran baharu untuk pesara dan ruang sosial yang menggalakkan interaksi antara generasi perlu menjadi norma dalam dasar pembangunan.
Pada era digital hari ini, kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) juga harus dilihat sebagai alat yang boleh membantu warga emas, bukan menggantikan mereka.
Daripada sistem pemantauan kesihatan di rumah hingga kepada aplikasi pembelajaran digital, teknologi seharusnya direka dengan empati, bukan hanya kecekapan. AI boleh menjadi pembantu setia, tetapi tidak boleh mengambil alih sentuhan kemanusiaan yang diperlukan oleh jiwa yang menua.
Justeru, pembangunan teknologi perlu digerakkan dengan pendekatan yang beretika dan mesra nilai.
Di samping itu, dimensi spiritual juga tidak boleh diketepikan dalam naratif penuaan. Usia tua sering kali menjadi fasa pencarian makna, muhasabah dan penguatan hubungan dengan Pencipta.
Masyarakat yang matang bukan sahaja menyediakan penjagaan fizikal, tetapi juga ruang untuk warga emas mengisi kerohanian mereka. Sama ada melalui institusi keagamaan, aktiviti komuniti atau sokongan emosi, kita perlu mengurus usia senja dengan belas, bukan sekadar belas kasihan.
Kesejahteraan hidup dalam usia tua memerlukan penjagaan tubuh, akal dan jiwa secara seimbang.
Hari Warga Tua bukan sekadar hari memperingati, tetapi hari untuk bertanya sejauh mana kita mengurus penuaan dengan adil dan bermaruah?
Kita tidak boleh menyerahkan isu ini hanya kepada satu kementerian atau satu segmen masyarakat. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan sektor kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan masyarakat dan paling penting, rakyat sendiri.
Inilah bentuk kepemimpinan kolektif yang kita perlukan.
Menjadi negara tua bukanlah tanda kemerosotan. Ia adalah hasil kejayaan masa lalu yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab.
Soalnya bukan tentang bagaimana untuk memperlahankan penuaan, tetapi bagaimana untuk memimpin perubahan supaya semua warga, tanpa mengira usia, dapat hidup dengan sejahtera, bermaruah dan terus memberi makna.
Jika kita bersedia, Malaysia bukan sekadar menjadi negara tua malah Malaysia akan menjadi negara yang matang, berjiwa besar dan mampu memimpin dunia dengan penuh hikmah.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah, Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).