Oleh Noor Faezah Mohd Sani dan Fairus Muhamad Darus
Bayangkan tayar kereta yang tertusuk paku boleh “menutup luka” sendiri dan terus digunakan tanpa perlu ditampal.
Begitulah keajaiban teknologi pulih sendiri, satu inovasi baharu dalam bidang bahan pintar yang mampu membaiki kerosakan mikro secara automatik tanpa bantuan manusia.
Teknologi ini bukan sekadar rekaan sains fiksyen, tetapi realiti yang sedang diteroka oleh penyelidik seluruh dunia. Malaysia mempunyai kelebihan unik untuk menerajui bidang ini melalui sumber alam yang sudah lama sinonim dengan identiti negara iaitu getah asli.
Teknologi Pulih Sendiri
Teknologi pulih sendiri (self-healing materials) boleh berfungsi berdasarkan prinsip semula jadi iaitu meniru kemampuan tubuh manusia yang boleh menyembuhkan luka secara spontan.
Dalam bahan kejuruteraan, keupayaan ini dicapai melalui tindak balas kimia yang berlaku apabila berlaku retakan halus pada struktur bahan.
Sesetengah sistem menggunakan ikatan dinamik yang boleh terurai atau putus dan bergabung semula, manakala yang lain menggunakan mikrokapsul berisi agen penyembuh yang akan dilepaskan apabila bahan mengalami tekanan atau calar.
Proses ini mengembalikan integriti mekanikal bahan asal, menjadikannya lebih tahan lama, selamat dan menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Kelebihan Getah Asli
Dalam konteks ini, getah asli mempunyai potensi besar kerana sifat semula jadinya yang sangat elastik, fleksibel dan mudah kembali ke bentuk asal selepas dikenakan tekanan.
Struktur utama kimia getah asli yang terdiri daripada rantaian molekul cis-1,4-poliisoprena, menjadikannya sangat anjal, kukuh dan berdaya tahan.
Sifat ini membolehkan sistem penyembuhan kendiri diintegrasikan ke dalam produk berasaskan getah asli dengan lebih mudah.
Menerusi penyelidikan dan pengubahsuaian molekul yang tepat, getah asli dapat bertindak bukan sekadar sebagai bahan elastomer konvensional, tetapi sebagai bahan pintar yang mampu “merawat diri sendiri”.
Kelebihan ini menjadikan getah asli calon sesuai untuk pelbagai aplikasi industri.
Aplikasi Produk Pulih Sendiri
Dalam bidang automotif, contohnya, bahan ini boleh digunakan dalam pembuatan tayar, hos enjin, dan sistem pengedap minyak yang lebih tahan terhadap tekanan dan retakan haba.
Di sektor elektronik, ia boleh menjadi bahan penebat dan pelindung kabel fleksibel yang mengekalkan prestasi walaupun terdedah kepada lenturan berulang.
Dalam sektor perubatan pula, getah berkeupayaan pulih sendiri berpotensi mengurangkan risiko kebocoran pada sarung tangan, tiub dan kateter.
Malah, dalam bidang kejuruteraan awam, bahan ini boleh diaplikasikan pada struktur jambatan, pengedap lantai dan komponen keanjalan tinggi yang terdedah kepada tekanan dinamik.
Cabaran Pembangunan Produk
Cabaran terbesar dalam pembangunan bahan pulih sendiri ialah menyeimbangkan antara kekuatan mekanikal dan keupayaan penyembuhan.
Getah asli perlu mengekalkan ketahanan seperti getah yang telah melalui proses pemanasan (proses vulkanisasi konvensional) untuk menjadi lebih kuat, namun pada masa sama mesti membenarkan strukturnya saling berhubung semula apabila berlaku kerosakan kecil.
Cabaran kedua ialah kos pengeluaran yang masih tinggi, terutama jika melibatkan bahan tambahan dan teknik pemprosesan kompleks.
Selain itu, keberkesanan bahan ini di lapangan sebenar perlu dibuktikan melalui piawaian antarabangsa agar dapat menembusi pasaran global.
Kelebihan Malaysia
Di sebalik cabaran ini, Malaysia sebenarnya memiliki kelebihan tersendiri.
Negara kita bukan sahaja pengeluar utama getah asli dunia, tetapi juga mempunyai ekosistem penyelidikan yang lengkap khususnya daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang berperanan menyelaras industri, hingga ke universiti penyelidikan seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang aktif menjalankan inovasi berasaskan polimer.
Contohnya, penyelidik USM pernah membangunkan lapisan dalaman tayar berasaskan getah asli yang mampu menutup sendiri lubang kecil apabila tertusuk objek tajam.
Projek sedemikian membuktikan potensi sebenar gabungan antara ilmu sains bahan dan sumber semula jadi negara.
Strategi Pengkomersialan
Untuk mengangkat potensi ini ke tahap komersial, Malaysia perlu mengubah strategi industri getahnya daripada sekadar pengeluar komoditi kepada pembangun teknologi bahan.
Penumpuan perlu diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti tayar premium, komponen pengedap kritikal dan produk perubatan.
Pada masa sama, sistem piawaian dan data prestasi yang telus perlu diwujudkan bagi menilai kadar pemulihan, ketahanan terhadap bahan kimia, dan keupayaan menahan tekanan berulang.
Ini penting untuk meyakinkan pelabur serta pengguna global bahawa produk getah asli Malaysia bukan sekadar murah dan semula jadi, tetapi berteknologi tinggi serta berkualiti antarabangsa.
Pasaran bahan pulih sendiri dijangka berkembang pesat dengan nilai melebihi USD 5 bilion menjelang 2030, didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk tahan lama dan lestari.
Dalam konteks ini, getah asli boleh menjadi bahan teras baharu untuk industri hijau dan ekonomi kitaran.
Malaysia juga boleh memanfaatkan agenda pembangunan rendah karbon dan Ekonomi Madani dengan mengaitkan inovasi ini kepada sasaran kelestarian, sekali gus meningkatkan nilai tambah eksport dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di dalam negara.
Bahan Pintar Berimpak Tinggi
Teknologi pulih sendiri bukan sahaja menjanjikan masa depan bahan yang lebih tahan lama, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam naratif getah asli iaitu daripada bahan tradisional kepada bahan pintar berimpak tinggi.
Inovasi ini memperlihatkan bagaimana warisan tropika Malaysia dapat disesuaikan dengan tuntutan ekonomi moden berasaskan sains dan teknologi.
Gandingan bahu antara kerajaan, industri dan penyelidik serta keberanian untuk melabur dalam penyelidikan dan komersialisasi strategik, Malaysia bukan sekadar akan mengembalikan kegemilangan era “Raja Getah”, tetapi akan muncul sebagai peneraju dunia dalam bidang teknologi bahan hijau yang berupaya memulih sendiri.
Dengan pendekatan yang betul, getah asli bukan sahaja menjadi simbol sejarah kejayaan, tetapi juga lambang masa depan negara yang berdaya cipta dan mampan.
Saat dunia menuntut produk yang tahan lama serta mesra alam, Malaysia sudah pun memiliki bahan yang mampu menjawab cabaran itu melalui bahan yang bukan sahaja fleksibel dan lestari, tetapi juga mampu “menyembuhkan dirinya sendiri”.
-- BERNAMA
Noor Faezah Mohd Sani ialah Pensyarah Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA.
Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA.