Sebagai seorang pendidik, terutamanya sebagai pensyarah, adalah menjadi kewajipan untuk menjalankan penyelidikan ilmiah dan kadang-kadang menulis penulisan yang lebih santai untuk diterbitkan dalam majalah atau akhbar bagi khalayak pembaca yang berada di luar kelompok akademik.
Penulisan yang dihasilkan biasanya berkaitan dengan bidang kepakaran pensyarah, iaitu ilmu yang pensyarah peroleh semasa zaman universiti, khususnya pengetahuan dan kepakaran yang dibangunkan melalui pengajian serta kajian peringkat sarjana dan PhD.
Pensyarah mampu menulis bidang sendiri
Dengan asas pengetahuan dan pengalaman ini, pensyarah mampu menulis secara lebih meyakinkan dan terperinci dalam bidang mereka.
Pensyarah yang menulis mengenai bidang kepakaran mereka sebenarnya mudah membina kredibiliti diri.
Penulisan mereka lebih dipercayai kerana ia lahir daripada kefahaman mendalam, pengalaman penyelidikan, dan analisis ilmiah.
Pembaca dapat merasakan keyakinan, ketepatan fakta dan kedalaman wacana yang tidak boleh diperoleh jika seseorang menulis secara rambang di luar bidang kepakaran.
Penulisan bantu bentuk reputasi jenama akademik
Penulisan dalam bidang sendiri turut membantu membentuk reputasi dan jenama akademik.
Ia memudahkan rakan penyelidik, pelajar, media dan pembuat dasar mengenali seseorang pensyarah sebagai pakar dalam bidang tersebut.
Seperti mendiang Emeritus Professor Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, sebut sahaja nama beliau, semua orang mengenali kepakarannya dalam bidang sejarah, dan apa sahaja pandangan akademik beliau dipercayai kerana reputasi dan integriti ilmiah yang telah beliau bina selama bertahun-tahun.
Pakar kongsi maklumat tepat
Apabila pakar dalam sesuatu bidang berkongsi ilmu mereka, masyarakat mendapat maklumat yang tepat, sahih dan bermanfaat.
Hal ini dapat mengurangkan risiko penyebaran maklumat salah atau pandangan yang tidak berasaskan ilmu. Keadaan ini juga secara tidak langsung melahirkan masyarakat yang berfikir secara rasional dan melihat sesuatu isu daripada sudut ilmiah yang betul.
Menulis dalam bidang sendiri juga lebih mudah dan cepat kerana seseorang pakar sudah memahami teori, konsep, rangka kerja analisis serta mempunyai rujukan yang sahih.
Mereka mengetahui konteks dan perkembangan semasa dalam disiplin tersebut, menjadikan penulisan lebih terkini, relevan dan berkualiti.
Selain itu, penulisan yang konsisten dalam bidang kepakaran membuka pelbagai peluang kepada pensyarah, antaranya geran penyelidikan, kerjasama akademik, jemputan sebagai panel, jurulatih atau penceramah, dan seterusnya peluang kenaikan pangkat.
Minat mendalam terhadap bidang kepakaran juga mendorong seseorang menghasilkan karya yang lebih bermutu kerana minat mendalam biasanya membawa kepada kualiti kerja yang lebih tinggi.
Namun demikian, kemunculan aplikasi teknologi penulisan telah memudahkan kerja dalam pelbagai aspek sehingga ada pensyarah yang mengambil kesempatan menggunakannya secara berlebihan dalam menghasilkan penulisan mereka, termasuk penulisan ilmiah dan popular.
Penggunaan aplikasi
Walaupun penggunaan aplikasi ini dapat menjimatkan masa, risiko yang harus ditanggung juga sangat besar jika seseorang tidak berhati-hati.
Kadangkala ia menghasilkan fakta yang salah, rujukan tidak wujud atau data yang tidak boleh disahkan.
Dalam dunia akademik, kesilapan seperti ini boleh menjejaskan kredibiliti penulis, reputasi akademik dan integriti karya.
Penulisan akademik memerlukan rujukan sah seperti jurnal, buku, laporan rasmi dan data empirikal.
Aplikasi teknologi penulisan bukan sumber primer atau sekunder. Ia hanya alat yang menjana teks berdasarkan corak bahasa dan maklumat yang dilatih kepadanya. Oleh itu, ia tidak layak dijadikan rujukan.
Penulisan cerminkan pemikiran sendiri
Penulisan akademik atau popular juga perlu mencerminkan pemikiran sendiri, analisis kritikal serta interpretasi berdasarkan pengalaman atau kajian sebenar.
Penggunaan aplikasi teknologi penulisan tanpa kawalan boleh menyebabkan tulisan menjadi generik, tidak mendalam dan hilang identiti intelektual penulis. Inilah masalah utama apabila seseorang menulis di luar bidang kepakarannya dan terlalu bergantung kepada teknologi ini.
Walaupun aplikasi teknologi penulisan menghasilkan bahasa yang kelihatan meyakinkan, ia sebenarnya tidak memahami konteks sebenar seperti konsep kajian, metodologi, budaya tempatan, sensitiviti politik atau sosial.
Ini boleh menghasilkan penulisan yang tidak tepat, cetek atau tersasar daripada isu sebenar. Ia juga boleh menjejaskan etika penulisan.
Perbezaan dengan kewartawanan
Contohnya, dalam kewartawanan, bukanlah satu rahsia bahawa penulisan berita tidak boleh merujuk diri sendiri sebagai sumber.
Kini, akibat penulisan di luar kepakaran dan ketergantungan kepada aplikasi teknologi penulisan, terdapat situasi di mana individu menulis berita sambil merujuk diri sendiri sebagai sumber, menggunakan gambar sendiri, malah meminta byline sendiri, satu amalan yang jelas bercanggah dengan prinsip profesionalisme kewartawanan.
Sebagai penulis dan pendidik, setiap pensyarah digalakkan menilai sendiri sejauh mana kepakaran, pengalaman, dan prinsip etika mereka digunakan dalam penulisan.
Pertimbangkan bagaimana setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja mencerminkan kredibiliti dan integriti diri, tetapi juga memberi impak positif kepada pembaca dan masyarakat.
-- BERNAMA
Dr Rani Ann Balaraman ialah pensyarah, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia