TINTA MINDA

ALGOSPEAK: CABARAN MEMAHAMI BAHASA ALGOSPEAK GENERASI Z

10/11/2025 03:50 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Ahmad Sauffiyan Hasan

Saya telah dijemput untuk membincangkan tentang algospeak di Radio IKIM dalam segmen Analisis bertajuk Algospeak Antara Kreativiti dan Jati Diri, dan turut berkongsi topik serupa melalui jemputan berkaitan Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Pengalaman ini mengesahkan satu perkara yang semakin jelas di lapangan media dan pendidikan negara, iaitu isu algospeak sudah memasuki arus perdana dan menuntut kefahaman menyeluruh daripada pembuat dasar, agensi kerajaan, guru serta kaunselor.

Bukan sekadar arus perdana, perkataan seperti “Rizz” telah didaftarkan dan dilaporkan oleh Oxford UNiversity Press dan menjadi “word of the year” pada tahun 2023.

Gen Z dan Bahasa pelik

Generasi Z tidak sekadar mencipta bahasa pelik untuk suka suka. Mereka sebenarnya sedang menyesuaikan diri dengan ekosistem komunikasi yang dikawal algoritma, di mana setiap perkataan boleh menambah atau menurunkan kebolehlihatan kandungan.

Algospeak lahir sebagai strategi bertahan dalam ruang platform yang penuh sistem penapisan dipacu oleh kecerdasan buatan.

Apabila kata tertentu berisiko disekat, komuniti Generasi Z memintasnya melalui penggantian huruf, pemecahan suku kata, penggunaan angka dan titik, juga peminjaman emoji sebagai kod makna.

Ramai orang dewasa melihatnya sebagai bahasa rojak atau bahasa rosak, sedangkan bagi Generasi Z inilah kemahiran navigasi untuk survival dunia media sosial.

Dalam dunia yang ditentukan algoritma, bahasa terpaksa menjadi adaptif untuk mengelak amaran sistem dan pada masa sama mengekalkan makna yang difahami komuniti sendiri.

Sebab itu kita sering menemui kata seperti unalive untuk merujuk perbualan tentang kematian atau mati atau membunuh, dan seks menjadi seggs untuk topik seksualiti, ED yang menjurus kepada masalah permakanan (eating disorder), dan pelbagai bentuk ejaan yang sengaja diubah agar tidak mencetuskan sekatan oleh algoritma media sosial.

Jurang pemahaman antara generasi melebar kerana orang dewasa masih membaca teks anak muda melalui lensa bahasa baku atau bahasa pasar semata-mata.

Pembuat dasar, guru dan kaunselor dibesarkan dalam ekosistem media yang linear serta stabil, manakala Generasi Z membesar dalam ekologi media tanpa sempadan dan peraturan tidak jelas yang sentiasa berubah mengikut polisi platform.

Tafsiran mudah membawa padah

Dalam keadaan ini, tafsiran mudah boleh membawa padah. Seorang pelajar yang menulis I feel so unalive mungkin sedang meminta pertolongan, tetapi mesejnya terbaca sebagai gurauan.

Seorang lagi yang memecahkan ejaan suicide menjadi sui untuk berkongsi trauma boleh tersilap ditafsir sebagai cuai atau sengaja melanggar tatabahasa.

Kesilapan memahami kod algospeak Generasi Z mendorong tindakan menolak perbualan penting untuk memahami generasi ini.

Penggunaan emoji

Selain itu, peranan emoji di sini sangat besar. Emoji bukan hiasan manis di hujung ayat seperti yang digunakan oleh Boomer, Generasi X atau Generasi Y.

Emoji ialah tatabahasa kecil yang mengikat makna, nada dan identiti komuniti. Dalam algospeak, emoji sering menggantikan istilah sensitif.

Simbol buah, titisan air, pil, jarum atau awan gelap digunakan sebagai ekspresi untuk topik yang berisiko.

Padanan ikon tertentu menjadi semacam sinonim budaya, dan gabungan dua atau tiga emoji boleh membentuk frasa yang hanya difahami oleh mereka dalam gelembung komuniti, tetapi cukup berkesan untuk mengelakkan penapis automatik.

Emoji juga menyaring sentimen. Dua ayat yang sama boleh bertukar nada hanya dengan satu emoji, menjadikannya lebih lembut atau lebih sarkastik tanpa mengubah perkataan.

Bagi Generasi Z, ini ruang selamat untuk menyalurkan emosi tanpa perlu menulis kata yang kelihatan kasar atau mengundang salah faham. Terma yang lebih tepat adalah euphemism.

Emoji turut berfungsi sebagai simbol yang memetakan hasrat Generasi Z kepada simbol visual.

Contohnya, emoji muntah hijau atau emoji virus melambangkan hubungan toksik, topeng merujuk persona media, jam pasir menjadi tekanan masa.

Emoji ini menjadi mesej isyarat visual padat yang pantas, senang dikongsi dan sering lebih selamat berbanding perkataan biasa.

Pada masa yang sama, set emoji tertentu bertindak seperti lencana keahlian komuniti. Ia mengukuhkan jaringan sosial, membezakan orang dalam daripada orang luar, malah menanda sempadan makna yang tidak mudah ditembusi sesiapa yang tidak mengikut rentak budaya platform.

Apabila platform mengubah garis panduan, padanan emoji turut bertukar.

Algospeak

Algospeak bukan hanya mengelak sekatan. Ia sebenarnya mesin pembentuk istilah. Apabila kod digunakan berulang kali, ia mula menstabil dan mampu menjadi perkataan universal.

Makna mengembang, variasi muncul, dan lambat laun istilah itu meresap ke budaya arus perdana melalui lagu, video pendek, iklan atau skrip drama. Inilah kitaran yang sedang berlaku.

Algoritma menyekat perkataan, Generasi Z mencipta perkataan ganti, penggunaan menjadi luas, industri kandungan menyerapnya terma generasi z untuk kekal relevan, lalu istilah baruini menjadi sebahagian kosa kata harian generasi hari ini. perkataan kecil di peringkat bahasa ini mempengaruhi wacana besar tentang kesihatan mental, seksualiti, penderaan dan politik.

Ada sisi positif kerana ia melindungi privasi dan maruah pengguna. Namun ada juga risiko apabila mesej terlalu berkias hingga bantuan gagal sampai kepada yang memerlukan.

Pendidikan media perlu dikemas kini agar tidak sekadar mengulang etika umum. Guru dan kaunselor harus dilatih membaca kod platform ini, memahami kenapa pelajar memecahkan ejaan, mengapa angka menggantikan huruf, mengapa emoji tertentu muncul berulang pada status media sosial.

Latihan yang bersandar pada contoh nyata akan memendekkan masa tindak balas apabila isyarat bahaya dikesan.

Glosari algospeak boleh diwujudkan di peringkat sekolah dengan melantik pelajar sebagai penasihat bahasa platform.

Kolaborasi ini bukan memberi lesen untuk menggalakkan penggunaan kod berlebihan, tetapi mewujudkan saluran komunikasi yang tidak putus antara keperluan Generasi baru dan tanggungjawab orang dewasa.

Versi Bahasa baku dan dialek dalam akademik

Dalam kerja akademik, pelajar boleh menghasilkan satu versi bahasa baku untuk penilaian dan satu versi dialek platform untuk komuniti.

Melalui cara ini, pelajar belajar menterjemah makna merentasi konteks, sementara guru mendapat gambaran sebenar bagaimana wacana berjalan di lapangan digital.

Di peringkat polisi, agensi yang mengawal pendidikan dan komunikasi awam boleh membina jalur dialog dengan penyedia platform serta stesen penyiaran.

Program literasi media yang telus akan mengurangkan permainan meneka dan menghalang gelombang salah faham setiap kali garis panduan berubah.

Apabila muncul gabungan kata dan emoji yang merujuk tekanan emosi atau risiko keselamatan diri, prosedur pantas perlu diaktifkan.

Dekod mesej, sahkan konteks dengan pelajar, terjemah kembali ke bahasa jelas dan rangka pelan sokongan yang selamat.

Fokusnya ialah membina rasa percaya, bukan menghukum. Rasa percaya itulah yang membuka pintu kepada pengakuan, pencegahan dan pemulihan.

Akhirnya kita harus mengakui satu realiti asas. Algospeak ialah cermin ekologi algoritma yang membentuk bahasa generasi Z.

Ia muncul bukan kerana generasi ini mahu merosakkan bahasa, tetapi kerana bahasa terpaksa mencari laluan baharu apabila pintu perbincangan lama dikunci, disekat dan dipadam.

Emoji pula kini berdiri sebagai tatabahasa kecil yang memegang banyak beban makna dan nada ekspresi generasi Z.

Jika kita menolak perubahan ini tanpa cuba untuk memahaminya, kita akan terus sukar membaca pemikiran generasi yang hidup dalam ruang digital.

Jika kita memilih untuk memahami, mendekod dan berdialog, bahasa akan berubah daripada tembok menjadi jambatan.

Media, sekolah, kaunselor dan dasar awam akan menjadi lebih peka, lebih empatik dalam usaha memahami generasi Z dan generasi baru yang akan datang.

Bagi Generasi Z, itulah perbezaan antara merasa diawasi dan merasa difahami. Dan bagi negara, itulah perbezaan antara mengekang inovasi bahasa dan memanfaatkannya untuk membina masyarakat yang lebih celik, lebih selamat dan lebih manusiawi.

-- BERNAMA

Dr Ahmad Sauffiyan Hasan ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi dan Media (JKOM) Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)