TINTA MINDA

AZAM BAHARU REFLEKSI MASA LALU MENGUKUH MASA DEPAN

31/12/2025 11:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasri Harun

Tidak lama lagi kita akan melangkah ke tahun 2026. Setiap tahun baharu sering disambut dengan penuh semangat dan harapan.

Tradisi menetapkan azam baharu telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia tanpa mengira usia, latar belakang, atau budaya.

Azam baharu lazimnya dilihat sebagai peluang untuk menambah sesuatu dalam kehidupan seperti menambah tabiat baik, menambah ilmu pengetahuan, menambah kekayaan, atau menambah kesihatan.

Namun, azam baharu yang sebenar bukan sekadar menambah, sebaliknya ia menuntut refleksi terhadap apa yang telah dilalui menghitung yang lalu agar langkah ke depan lebih terarah, berkesan, dan bermakna.

Menilai dan muhasabah diri

Menghitung yang lalu bukan bermaksud menilai diri dengan keras sehingga timbul rasa kecewa atau putus asa.

Sebaliknya, ia adalah proses muhasabah menilai perjalanan hidup, meneliti kekuatan dan kelemahan, mengenal pasti kejayaan dan kegagalan, serta menyedari peluang yang terlepas.

Dalam konteks Islam, muhasabah adalah amalan yang sangat digalakkan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya “Perbanyakkanlah perhitungan terhadap dirimu sebelum engkau dihisab kelak” (Riwayat al-Tirmizi).

Dengan kata lain, azam baharu yang mantap bermula dengan pengiraan terhadap perjalanan lalu agar setiap langkah seterusnya lebih jelas dan tepat.

Seringkali, manusia menetapkan azam baharu berdasarkan keinginan semata, tanpa meneliti pengalaman lampau.

Contohnya, seseorang yang ingin menjadi lebih rajin membaca Al-Quran atau menambah amal soleh pada tahun baharu tetapi tidak menilai punca kelemahan diri sebelum ini, kemungkinan besar akan gagal mencapai matlamatnya.

Justeru menghitung yang lalu membantu individu memahami pola tingkah laku, mengenal pasti halangan, dan merancang strategi untuk mengatasinya.

Ia memberi perspektif bahawa azam baharu bukan sekadar menyusun resolusi, tetapi membina asas daripada pengalaman lampau.

Bersyukur kejayaan sedia ada

Selain itu, menghitung yang lalu juga mengajar kita untuk bersyukur. Setiap kejayaan, walau sekecil mana, adalah bukti pertolongan dan rahmat Allah.

Menghitung yang lalu memberi ruang untuk mengenang nikmat-nikmat yang telah diterima dan menggunakan pengalaman tersebut sebagai motivasi.

Sebaliknya, kegagalan atau kesilapan lampau bukan untuk dijadikan alasan untuk berputus asa, tetapi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Dalam Islam, konsep ini tersurat melalui firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar-Ra’d, 13:11). Ayat ini menekankan pentingnya muhasabah sebelum menetapkan azam baharu: memahami keadaan diri untuk mengubahnya menjadi lebih baik.

Mengenalpasti kemampuan diri

Menetapkan azam baharu juga harus seiring dengan realisme dan keberkesanan.

Menghitung yang lalu membantu mengenal pasti kemampuan diri agar azam yang dibuat adalah praktikal dan mampu dicapai.

Sebagai contoh, seseorang yang selama ini menghadapi masalah disiplin diri dalam solat atau mengurus masa dengan baik, perlu memulakan azam dengan langkah kecil dan spesifik.

Daripada hanya menambah matlamat besar yang abstrak, seperti “menjadi insan soleh sepenuhnya,” individu boleh membahagikan azam kepada matlamat yang lebih konkrit, misalnya menunaikan solat tepat waktu setiap hari atau mengatur jadual harian untuk membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 15 minit.

Dengan cara ini, azam baharu menjadi hasil refleksi yang berkesan, bukan sekadar keinginan kosong. Muhasabah juga membantu menyingkirkan tabiat negatif yang telah lama terbentuk.

Setiap manusia pasti mempunyai kelemahan dan kesilapan, sama ada dalam perhubungan dengan Allah, diri sendiri, atau sesama manusia.

Menghitung yang lalu memberi peluang untuk mengenali kelemahan ini dan menetapkan azam untuk memperbaikinya.

Sebagai contoh, jika seseorang mendapati dirinya mudah marah atau gemar menangguhkan kerja, maka azam baharu harus berfokus pada pembaikan sikap tersebut.

Jangan ulangi kesalahan dan kelemahan lalu

Selain aspek peribadi, menghitung yang lalu juga penting dalam konteks sosial dan profesional. Dalam kehidupan seharian, manusia berinteraksi dengan keluarga, rakan, dan masyarakat. Kesilapan atau ketidakadilan yang dilakukan terhadap orang lain perlu diiktiraf agar azam baru tidak mengulang kesalahan yang sama.

Contohnya, seorang pemimpin yang gagal membimbing anak buah atau menunaikan tanggungjawab sosial pada tahun sebelumnya perlu merenung kegagalannya dan menetapkan azam baharu dengan lebih fokus kepada keadilan dan amanah.

Dengan cara ini, azam baharu bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat.

Reda Dan Sabar Teras Kekuatan Azam Baharu

Tidak kurang penting, menghitung yang lalu juga mengajar kita sifat sabar dan redha.

Setiap manusia pasti menghadapi cabaran, ujian, dan kegagalan. Menghitung yang lalu membolehkan kita menilai sejauh mana kita bersabar menghadapi kesulitan dan mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut.

Kesedaran ini membentuk azam baharu yang lebih matang, diiringi ketekunan dan kesediaan menghadapi rintangan. Azam baharu bukan sekadar menambah usaha, tetapi menambah kesedaran dan kekuatan mental untuk menghadapi liku-liku hidup yang akan datang.

Dalam aspek spiritual, menghitung yang lalu membolehkan individu menilai hubungan dengan Allah. Amalan yang dilakukan sebelum ini, sama ada solat, puasa, sedekah, atau ibadah lain, harus dijadikan cermin untuk menilai tahap keikhlasan, konsistensi, dan keberkesanan.

Azam baharu dalam konteks ini bukan semata menambah amalan baharu, tetapi memperbaiki dan mengekalkan yang telah dilakukan dengan lebih sempurna.

Misalnya, seseorang yang membaca Al-Quran secara tidak konsisten sebelum ini boleh menetapkan azam baharu untuk membina disiplin bacaan harian dengan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam. Dengan cara ini, azam baharu menjadi sebahagian daripada perjalanan spiritual yang berkesan, bukan sekadar aktiviti yang bersifat formal atau rutin semata-mata.

Kesimpulannya, azam baharu yang berkesan bukan sekadar menambah sesuatu dalam kehidupan, tetapi menuntut pengiraan dan refleksi terhadap perjalanan yang lalu.

Ia memerlukan kesedaran terhadap kekuatan, kelemahan, kejayaan, dan kegagalan diri agar setiap langkah ke depan lebih terancang dan bermakna.

Menghitung yang lalu bukan untuk menimbulkan rasa kecewa, tetapi untuk membina asas yang kukuh bagi perubahan yang berterusan.

Dengan cara ini, azam baharu menjadi satu proses transformasi diri yang holistik memperbaiki diri, membina disiplin, menambah amal soleh, dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Barulah tahun 2026 nanti lebih bermakna.

-- BERNAMA

Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan UNISEL dan Timbalan Presiden Wadah

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)