Oleh Muhamad Radi bin Ahmad
Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin hari semakin mengubah cara manusia berkomunikasi.
Aplikasi terjemahan segera yang mampu menterjemah perbualan secara pantas kini semakin meluas digunakan dalam pelbagai bidang, termasuk pelancongan, pendidikan dan perniagaan.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting: adakah pembelajaran bahasa asing masih relevan pada masa akan datang?
Walaupun alat terjemahan pintar semakin canggih, mempelajari bahasa asing tetap relevan dan sangat diperlukan dalam era moden ini.
Bahasa bukan sekadar medium komunikasi, tetapi juga alat untuk membina kepercayaan, memahami budaya dan meningkatkan daya saing dalam kerjaya. Ia adalah kunci kepada hubungan yang lebih mendalam dan pemahaman yang lebih luas terhadap dunia.
AI bukan pengganti yang sempurna
Aplikasi AI sememangnya mampu menterjemah dengan pantas, namun ia tidaklah sempurna.
Banyak maksud tersirat, emosi dan nuansa budaya gagal ditangkap dengan tepat oleh sistem terjemahan automatik.
Sebagai contoh, peribahasa Cina “对牛弹琴” jika diterjemah secara literal berbunyi “main kecapi kepada lembu.”
Namun, maksud sebenar peribahasa tersebut ialah bercakap kepada orang yang tidak memahami topik atau isi perbualan. Kesalahan seperti ini boleh menimbulkan salah faham yang besar, terutamanya dalam rundingan perniagaan dan diplomasi.
Tambahan pula, AI sukar menilai konteks sosial dan emosi dalam sesuatu perbualan.
Ia tidak mampu mengenal pasti nada sindiran, gurauan halus atau perubahan emosi yang berlaku secara spontan. Dalam komunikasi yang melibatkan perasaan, kepercayaan dan empati, naluri manusia lebih terkesan jika kita boleh bertutur bahasa itu sendiri.
Bahasa membina hubungan
Komunikasi bukan sekadar menyampaikan maklumat. Ia juga soal membina kepercayaan dan hubungan yang bermakna. Kemampuan berbahasa asing berperanan sebagai jambatan antara dua budaya.
Apabila seseorang menggunakan bahasa pihak lain, ia menimbulkan rasa dihargai dan dihormati. Pihak yang mendengar akan lebih terbuka dan selesa untuk berinteraksi.
Sebagai contoh, dalam penganjuran acara budaya seperti pameran atau bengkel antarabangsa, penggunaan bahasa peserta secara langsung boleh meningkatkan keterlibatan dan rasa kebersamaan.
Jenaka, perbualan spontan atau gurauan budaya lebih mudah difahami apabila seseorang benar-benar menguasai bahasa tersebut. Ini menjadikan komunikasi lebih hidup dan bermakna, berbanding terjemahan AI yang kaku dan tidak bernyawa.
Komunikasi spontan lebih berkesan
Kemahiran berkomunikasi secara spontan juga tidak dapat digantikan oleh AI. Dalam situasi kecemasan semasa melancong di luar negara, berkemungkinan peranti terjemahan tidak berfungsi atau tiada sambungan internet.
Sebagai pelancong, perkara ini akan menyukarkan kita untuk meminta pertolongan daripada orang tempatan. Pelancong yang mampu bercakap terus dalam bahasa tempatan boleh mendapatkan bantuan dengan lebih cepat dan berkesan.
Selain itu, dalam suasana sosial seperti makan malam bersama rakan dari negara lain, keupayaan untuk berbual secara santai dalam bahasa mereka akan meninggalkan kesan yang mendalam. Ia menunjukkan usaha dan rasa hormat terhadap budaya mereka, sekali gus mengeratkan hubungan.
Nilai tambah dalam kerjaya
Belajar bahasa asing bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, malah menjadikan seseorang lebih kompetitif dalam pasaran kerja global.
Dalam jaringan dunia yang semakin berhubung antara satu sama lain, banyak syarikat terutamanya syarikat multinasional mencari pekerja yang boleh berkomunikasi dengan pelbagai pihak tanpa bergantung sepenuhnya kepada teknologi terjemahan.
Kemahiran bahasa juga melatih otak menjadi lebih tajam, meningkatkan daya ingatan, serta membantu dalam penyelesaian masalah. Kajian menunjukkan bahawa individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa cenderung mempunyai keupayaan kognitif yang lebih tinggi.
Majikan sangat menghargai pekerja yang boleh berkomunikasi secara langsung, terutamanya dalam bidang seperti diplomasi, perhubungan awam dan pengurusan antarabangsa.
Pintu memahami budaya
Bahasa dan budaya saling berkait rapat. Belajar bahasa asing membuka ruang untuk memahami adat, sejarah dan cara berfikir masyarakat lain. Dalam budaya Asia, contohnya, kesopanan berbahasa amat penting.
AI sukar menilai laras bahasa sesuatu konteks, bila kita perlu menggunakan kata-kata hormat dan bila kita boleh menggunakan kata-kata santai.
Dengan penguasaan sesuatu bahasa, seseorang dapat benar-benar menghayati budaya bangsa lain secara mendalam.
Ia membolehkan kita memahami nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tersebut, serta menghormati perbezaan yang wujud. Ini sangat penting dalam membina dunia yang lebih inklusif dan harmoni.
AI sebagai pelengkap, bukan pengganti
Walaupun AI berperanan untuk memudahkan komunikasi, ia wajar dilihat sebagai pelengkap semata-mata.
Tidak dinafikan, AI banyak membantu mempercepat proses pembelajaran bahasa. Ia boleh digunakan untuk carian pantas, memahami perkataan baharu, atau menyemak tatabahasa.
Namun, menguasai bahasa asing umpama memiliki kaki sendiri, manakala AI hanyalah sebagai tongkat. Tongkat boleh membantu, tetapi tidak mampu menggantikan fungsi kaki sepenuhnya. Jika kita sudah mahir dan mampu berlari laju, maka tidak kita tidak perlu lagi tongkat itu.
AI boleh menjadi alat bantu yang hebat dalam kelas bahasa, tetapi ia tidak boleh menggantikan interaksi manusia yang penuh dengan emosi, ekspresi dan keunikan budaya.
Kesimpulannya, meskipun AI berkembang pesat dan semakin pintar, kemampuan berbahasa asing kekal relevan dan penting. Ia bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga kunci kepada pemahaman budaya, hubungan antarabangsa, serta nilai tambah dalam kerjaya. Dalam dunia yang semakin global, individu yang menguasai bahasa asing akan sentiasa berada selangkah di hadapan—bukan sahaja dari segi komunikasi, tetapi juga dalam membina dunia yang lebih saling memahami dan menghormati.
-- BERNAMA
Muhamad Radi bin Ahmad ialah Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).