Oleh Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum dan Ts Dr Ismaniza Ismail
Sungai sebagai nadi kehidupan disebabkan disamping menjamin sumber bekalan air bersih, sungai juga berperanan dalam konteks ekonomi, menjadi habitat biodiversiti dan mencorakkan budaya masyarakat sejak dahulu kala.
Peribahasa Melayu menyebut, “air yang tenang jangan disangka tiada buaya”, boleh juga membawa makna sungai yang kelihatan damai tidak semestinya bebas daripada ancaman.
Demikian juga realitinya hari ini bilamana sungai kita berdepan cabaran pencemaran, perubahan iklim, dan tekanan pembangunan.
Laporan JAS nyatakan 30 peratus sungai Malaysia tercemar
Laporan Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini mendedahkan bahawa hampir 30 sungai di Malaysia kini diklasifikasikan sebagai tercemar dengan sisa domestik, efluen industri dan bahan kimia ladang.
Kawalan sungai masa kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah manual pensampelan air.
Sistem pemantauan masa-nyata
Banyak negara termasuk Malaysia, mengguna pakai sistem pemantauan masa nyata (real-time monitoring). Melalui sistem ini, data seperti tahap oksigen, pH, suhu, kekeruhan dan logam berat direkod secara berterusan dan dihantar ke pusat kawalan.
Dengan teknologi ini, pihak berkuasa dapat bertindak segera sekiranya berlaku pencemaran mendadak, contohnya tumpahan bahan kimia industri yang sukar dipulihkan dalam masa singkat.
Era Revolusi Industri 4.0 menyaksikan gabungan sensor pintar, Internet of Things (IoT), dan kecerdasan buatan (AI) dalam memantau sungai. Kombinasi ini dapat merekod bacaan asas, mengesan pola anomali yang menunjukkan risiko pencemaran serta menganalisis data besar daripada ribuan sensor untuk meramal corak pencemaran lebih awal.
Bayangkan amaran awal tentang kenaikan tahap amonia dikeluarkan sebelum mencapai paras berbahaya - nyawa dan ekosistem dapat diselamatkan. Malah, penggunaan dron autonomi untuk mengambil sampel air di kawasan sukar dicapai kini menjadi kenyataan.
Bandar-bandar maju seperti Sungai Thames di United Kingdom dan Sungai Han di Korea Selatan juga telah mula menggunakan teknologi moden dron untuk pemantauan (video, AI, aliran, risiko banjir, pemetaan) di kedua-dua wilayah, dan beberapa di Korea Selatan untuk rondaan alam sekitar.
Teknologi sahaja tidak cukup
Namun, teknologi sahaja tidak cukup jika masyarakat tidak terlibat. Hari ini, aplikasi mudah alih berasaskan IoT membolehkan orang awam melaporkan pencemaran sampah atau aktiviti yang menjejaskan ekosistem.
Sekolah-sekolah pula memperkenalkan kit sensor mini dalam pembelajaran STEM, mendidik pelajar mengukur kualiti air sendiri. Ini bukan sekadar eksperimen sains, tetapi pendidikan tentang tanggungjawab menjaga sungai.
Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” amat tepat di sini memandangkan kesedaran perlu dipupuk sejak usia muda.
Walaupun teknologi menjanjikan masa depan cerah, kos yang tinggi menjadi penghalang besar, terutama dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Sistem sensor, IoT, dan AI memerlukan bajet besar untuk dipasang dan diselenggara.
Dilema negara membangun
Negara membangun sering berdepan dengan dilema antara memperuntukkan bajet untuk infrastruktur asas atau teknologi pemantauan alam sekitar.
Tambahan pula, masih ada industri dan pengusaha yang mengambil jalan pintas dengan membuang sisa terus ke sungai kerana kos rawatan dianggap membebankan.
Di negara kita, usaha untuk memulihkan dan melindungi sungai tidak semata-mata bergantung kepada teknologi atau inisiati kerajaan, tetapi juga melibatkan penyertaan aktif daripada komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sebagai contoh, projek River of Life telah mengubah bahagian Sungai Klang menjadi ruang yang lebih bersih, lebih menarik untuk orang ramai, manakala
GEC harus gerakkan sukarelawan
Pusat Alam Sekitar Global (GEC) terus menggerakkan sukarelawan untuk program pembersihan sungai, penanaman pokok di sepanjang tebing sungai dan kempen kesedaran awam.
Inisiatif akar umbi sebegini menunjukkan bahawa apabila masyarakat tempatan turut mengambil tanggungjawab ke atas kebersihan sungai dan memastikan sungai dilihat bukan sahaja sebagai laluan air, tetapi sebagai warisan bersama, perubahan jangka panjang bukanlah sesuatu yang mustahil.
Kesedaran sivik, penguasaan tegas
Pada masa yang sama, kesedaran sivik adalah sama penting — rakyat perlu memahami bahawa setiap tindakan, daripada membuang sampah ke dalam longkang kepada penggunaan plastik secara berlebihan, mempunyai akibat hiliran.
Dengan menggabungkan teknologi moden dengan penguatkuasaan tegas dan budaya tanggungjawab sivik, Malaysia boleh mencapai keseimbangan antara inovasi dan akauntabiliti, memastikan sungai kekal dilindungi untuk generasi akan datang.
Cabaran lain termasuk kenaikan harga tenaga dan ketidakstabilan geopolitik. Sistem pemantauan moden memerlukan bekalan kuasa dan rangkaian data yang mantap.
Tanpa sokongan kewangan jangka panjang, ada kemungkinan sistem terbengkalai separuh jalan.
Kaedah melestarikan sungai dengan kerjasama swasta
Untuk mengekalkan kelestarian sungai dalam keadaan mencabar, beberapa langkah boleh diambil.
Antaranya, kerjasama awam-swasta dalam menghasilkan sensor kos rendah, pendekatan modular yang membolehkan pemantauan dipasang secara berperingkat, serta insentif hijau berupa galakan cukai kepada syarikat yang melabur dalam rawatan sisa berasaskan AI dan IoT.
Komuniti juga boleh terus diberdayakan sebagai “mata tambahan” melalui aplikasi laporan, manakala tenaga boleh diperbaharui seperti solar wajar dimanfaatkan untuk mengurangkan kos operasi jangka panjang.
Kesimpulannya, kelestarian sungai menuntut sinergi antara teknologi, dasar kerajaan, ekonomi, dan masyarakat. Walau bagaimanapun, teknologi sahaja tidak memadai tanpa kesedaran dan tindakan kolektif.
Jika kita alpa, sungai akan terus tercemar, dan akibatnya generasi akan datang menanggung beban. “Air dicincang tidak akan putus” – demikian juga sungai dan manusia yang tidak boleh dipisahkan.
-- BERNAMA
Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum dan Ts Dr Ismaniza Ismail ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA