Oleh Ts Inv Mahmod Abd Hakim Mohamad dan Prof Madya Ir Ts Dr Saifulnizan Jamian
Pada era moden yang penuh dengan kecanggihan teknologi dan keterbukaan maklumat, masyarakat berhadapan dengan ancaman halus yang semakin meresap ke dalam kehidupan seharian, iaitu khayalan moden.
Enam unsur utama yang menjadi punca kepada pelbagai gejala sosial dan masalah kesihatan seperti arak, judi, riba, dadah, rokok dan vape, serta pornografi.
Meskipun berbeza bentuk dan manifestasinya, unsur itu berkongsi sifat yang sama iaitu melemahkan akal budi, merosakkan nilai moral dan menggugat kesejahteraan masyarakat.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan individu dari segi mental, fizikal dan spiritual, malah turut mengancam kestabilan institusi keluarga dan keharmonian sosial apabila batas etika dan nilai kemanusiaan semakin terhakis akibat ketagihan serta kehilangan kawalan diri terhadap godaan dunia moden.
Arak: Mabuk yang meragut nyawa
Arak bukan sekadar minuman, tetapi menjadi antara punca utama pelbagai tragedi yang meragut nyawa dan mengancam keselamatan masyarakat.
World Health Organization (WHO) melaporkan 2.6 juta kematian global setiap tahun akibat alkohol, manakala kajian Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) menunjukkan pemandu mabuk di Malaysia berisiko 13 kali ganda menyebabkan kemalangan.
Statistik PDRM turut merekodkan puluhan kes kematian tahunan akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Fenomena ini bukan sahaja meragut nyawa, tetapi juga meninggalkan kesan emosi mendalam kepada keluarga mangsa dan menggugat keharmonian sosial.
Tragedi kematian penunggang motosikal di Lanchang, penghantar makanan di Johor Bahru dan pelajar kolej di Kuala Lumpur membuktikan bahawa pemanduan dalam keadaan mabuk bukan sekadar kecuaian, tetapi jenayah sosial yang mengancam nyawa.
Walaupun operasi seperti “Ops Mabuk” telah dilaksanakan, tahap kesedaran masyarakat masih rendah dan sikap tidak bertanggungjawab terus menjadi punca insiden maut.
Justeru, penguatkuasaan undang-undang mesti diperkukuh dan digabungkan dengan pendidikan moral serta kesedaran awam agar budaya menolak arak dapat dibina demi keselamatan bersama.
Dadah: Ketagihan yang membunuh harapan
Dadah merupakan ancaman paling berbahaya yang terus menggugat keselamatan dan kemajuan negara. Ia bukan sekadar bahan terlarang, tetapi racun yang perlahan-lahan merosakkan tubuh, minda, dan jiwa manusia.
Ketagihan dadah menyebabkan individu hilang pertimbangan, melemahkan keupayaan berfikir, serta menjadikan mereka mudah terjerumus dalam kegiatan jenayah dan keganasan.
Lebih membimbangkan, kesannya tidak hanya menimpa penagih itu sendiri, tetapi turut menghancurkan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat apabila nilai moral dan tanggungjawab sosial semakin terhakis akibat pengaruh bahan terlarang ini.
Peningkatan ketara penagih dadah dalam kalangan remaja dan kes berulang di pusat pemulihan mencerminkan betapa sukarnya proses pemulihan tanpa sokongan berterusan.
Ketagihan dadah turut dikaitkan dengan jenayah berat seperti rompakan, pembunuhan dan penderaan.
Tanpa tindakan bersepadu yang melibatkan penguatkuasaan tegas, pendidikan pencegahan dan sokongan komuniti terhadap wabak ini akan terus meracuni masa depan generasi muda dan kestabilan negara.
Judi: Janji kekayaan yang menjerat kemiskinan
Judi sering dijanjikan sebagai jalan pintas kepada kekayaan, namun realitinya ia menjerat individu ke dalam kemiskinan, hutang, dan kehancuran hidup.
Ketagihan judi mengundang tekanan mental, konflik keluarga, dan keruntuhan rumah tangga.
Di Malaysia, lebih 5,000 laman web judi telah disekat dan ratusan ribu kandungan dipadam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), menunjukkan betapa seriusnya ancaman ini.
Kesan psikologi akibat ketagihan judi amat mendalam, termasuk kemurungan, keganasan rumah tangga, dan pengasingan sosial yang menambah derita dalam kalangan mangsa.
Lebih membimbangkan, platform digital dan aplikasi mudah alih kini menjadikan aktiviti judi lebih mudah dicapai, termasuk oleh golongan muda yang terdedah kepada pengaruh iklan dan promosi berunsur manipulatif.
Tanpa kawalan undang-undang dan kesedaran masyarakat, budaya berjudi akan terus merosakkan nilai kehidupan. Usaha membanterasnya adalah tanggungjawab bersama demi membina generasi bebas daripada ketagihan dan ilusi kekayaan palsu.
Riba: Tekanan kewangan yang membunuh keamanan
Riba menjadi punca utama tekanan kewangan berpanjangan dan kehilangan ketenangan hidup.
Di Malaysia, hutang isi rumah mencecah RM1.65 trilion setakat Mac 2025, bersamaan 84.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Walaupun aset kewangan dilaporkan melebihi hutang, ramai masih terperangkap dalam beban faedah tinggi akibat sistem kewangan konvensional.
Amalan riba melalui pinjaman, kad kredit dan urus niaga tidak beretika menjerumuskan individu ke dalam kitaran hutang tanpa penghujung, menjejaskan kestabilan kewangan dan ekonomi negara.
Lebih membimbangkan, sistem ini memperluas jurang ketidaksamaan ekonomi, menindas golongan miskin dan mencetuskan kesan sosial seperti tekanan mental dan konflik rumah tangga.
Dalam jangka panjang, masyarakat yang bergantung kepada hutang riba akan hilang daya saing dan gagal membina ekonomi berasaskan keadilan.
Justeru, sistem kewangan Islam yang bebas riba perlu diperkasakan demi keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan ketenangan jiwa.
Rokok dan vape: Racun halus berwajah baharu
Rokok kekal sebagai punca utama penyakit kronik seperti barah paru-paru, serangan jantung dan strok, namun penggunaannya masih berleluasa walaupun kesedaran semakin meningkat.
Lebih membimbangkan, golongan muda kini turut terjebak dalam tabiat ini.
Pada tahun 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan hampir 45,000 pelajar sekolah menggunakan produk merokok, termasuk lebih 20,000 pengguna vape yang terdedah kepada ketagihan nikotin sejak usia muda.
Fenomena ini mencerminkan kegagalan kawalan sosial dan pengaruh iklan halus yang menormalisasikan gaya hidup tidak sihat dalam kalangan remaja.
Walaupun vape sering dipromosikan sebagai alternatif “selamat” bagi menggantikan rokok konvensional, hakikatnya ia tetap mengandungi nikotin serta bahan kimia toksik yang memudaratkan sistem pernafasan dan kardiovaskular.
Produk ini dipasarkan dengan perisa manis dan reka bentuk moden yang menarik, menjadikannya pintu masuk baharu kepada ketagihan nikotin yang sukar dikawal.
Rokok dan vape, walaupun berbeza dari segi rupa dan pendekatan pemasaran, mempunyai kesan yang sama dalam merosakkan tubuh manusia secara perlahan serta melemahkan daya tahan fizikal dan mental pengguna.
Tanpa langkah pencegahan tegas serta pendidikan kesihatan yang berterusan, kedua-dua racun halus ini akan terus menjadi ancaman kepada kesihatan awam dan masa depan generasi muda negara.
Pornografi: Ketagihan senyap yang meruntuhkan akhlak
Pornografi kini menjadi bentuk ketagihan senyap yang membimbangkan pada era digital, mudah diakses tanpa batasan umur.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2021 menunjukkan bahawa 75 peratus remaja Malaysia, terutamanya lelaki, pernah terdedah kepada bahan lucah, kebanyakannya bermula sejak sekolah menengah.
Ketagihan ini dikaitkan dengan risiko gangguan emosi, tingkah laku, dan keruntuhan institusi keluarga.
Lebih membimbangkan, industri pornografi secara halus menyasarkan golongan muda yang sedang membentuk identiti, menormalisasikan tingkah laku tidak bermoral dan menghakis nilai malu.
Dalam jangka panjang, ia boleh merosakkan akhlak, spiritual, dan keharmonian sosial.
Justeru, pendidikan seksual berasaskan nilai agama serta kawalan penggunaan digital perlu diperkukuh bagi melindungi generasi muda daripada pengaruh negatif ini.
Khayalan bukan hiburan, tapi ancaman
Enam unsur khayalan moden antaranya arak, judi, riba, dadah, rokok dan vape, serta pornografi yang bukan sekadar hiburan atau gaya hidup kontemporari, tetapi racun halus yang merosakkan akal, akhlak dan kesejahteraan masyarakat.
Di sebalik wajah moden dan promosi kebebasan, unsur-unsur ini menjerat individu dalam ketagihan yang melemahkan kawalan diri, menggugat kesihatan, dan mengancam kestabilan sosial.
Setiap satunya membawa kesan berlapis: dari tekanan mental dan konflik keluarga, hingga jenayah dan kemiskinan yang berpanjangan.
Untuk menangkis ancaman ini, masyarakat perlu digerakkan melalui pendekatan bersepadu berteraskan pendidikan nilai murni di rumah dan sekolah, penguatkuasaan undang-undang yang tegas, program pemulihan yang menyeluruh, serta kerjasama erat antara kerajaan, NGO dan sektor swasta.
Kita tidak berdepan peluru atau senjata, tetapi racun yang dibungkus dalam kemewahan dan kebebasan palsu.
Menolak khayalan moden bukan semata-mata soal agama, tetapi soal kelangsungan tamadun dan maruah bangsa. Jika kita terus bertangguh, generasi akan hanyut, dan masa depan akan hilang arah.
-- BERNAMA
Ts Inv Mahmod Abd Hakim Mohamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM.)
Ir Ts Dr Saifulnizan Jamian ialah Profesor Madya Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM.