PENA WANITA

KHIDMAT MASYARAKAT: HUKUMAN ATAU CERMIN SIKAP KITA?

08/01/2026 11:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Aslinda Abu Seman

Sebanyak RM2,000 mungkin sekadar angka di atas kertas undang-undang, tetapi bagi ramai rakyat, jumlah itu bersamaan sebulan belanja dapur.

Justeru, apabila perbuatan membuang sampah kecil di tempat awam kini boleh membawa kepada denda besar serta Perintah Khidmat Masyarakat, persoalan yang wajar ditanya bukan sekadar tentang ketegasan hukuman, tetapi tentang sejauh mana masyarakat benar-benar bersedia dan dimaklumkan untuk mematuhinya.

Mulai 1 Januari 2026, perbuatan membuang sampah kecil di tempat awam tidak lagi dianggap kesalahan remeh.

Di bawah peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam.

Langkah ini diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai usaha mengekang isu pembuangan sampah kecil yang terus mencemarkan ruang awam negara.

Selama ini, hukuman berbentuk denda kewangan menjadi instrumen utama penguatkuasaan.

Namun hakikat bahawa masalah ini masih berulang menunjukkan pendekatan tersebut belum benar-benar berkesan.

Apabila nasihat, kempen kesedaran dan papan tanda larangan gagal mengubah tingkah laku, negara terpaksa mencari mekanisme yang lebih mendalam sifat pendidikannya.

Perintah Khidmat Masyarakat tuntut perubahan

Berbeza dengan denda yang boleh dibayar dan dilupakan, Perintah Khidmat Masyarakat menuntut penglibatan peribadi pesalah.

Kerja-kerja seperti mengutip sisa pepejal, mencuci kawasan awam atau membersihkan persekitaran memaksa individu berhadapan secara langsung dengan kesan perbuatan mereka.

Hukuman dalam bentuk ini bukan sekadar penalti fizikal, tetapi pengalaman pembelajaran yang boleh menanam kesedaran dan rasa tanggungjawab yang lebih berpanjangan.

Dari sudut sosial dan psikologi, pendekatan ini membawa mesej yang lebih halus.

Melaksanakan kerja kebersihan di ruang awam, walaupun secara terkawal dan berjadual, boleh menimbulkan rasa segan dan refleksi diri.

Ia bukan bertujuan memalukan, tetapi menyedarkan bahawa tindakan kecil yang sering dianggap biasa sebenarnya memberi kesan kepada masyarakat keseluruhan.

Dalam konteks ini, Perintah Khidmat Masyarakat berfungsi sebagai cermin yang memantulkan sikap kita terhadap kebersihan dan ruang bersama.

Namun demikian, keberkesanan dasar ini tidak boleh diukur melalui ketegasan hukuman semata-mata.

Ia perlu disokong oleh sistem yang adil dan menyeluruh. Isu seperti kecukupan tong sampah, kekerapan kutipan sisa dan penyelenggaraan kawasan awam perlu diberi perhatian yang sama serius.

Sukar untuk menuntut disiplin tinggi daripada masyarakat jika persekitaran awam sendiri dibiarkan kotor dan tidak terurus.

Undang-undang yang baik memerlukan ekosistem sokongan agar keadilan benar-benar dirasai, bukan sekadar dilaksanakan.

Perlu kesedaran awam dengan pendidikan

Dalam masa yang sama, persoalan kesedaran awam tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun membuang sampah merata-rata sememangnya salah, realitinya masih ramai yang belum benar-benar mengetahui bahawa kesalahan tersebut kini boleh membawa kepada denda sehingga RM2,000, selain Perintah Khidmat Masyarakat.

Tanpa penyampaian maklumat yang meluas dan berterusan, penguatkuasaan yang tegas berisiko menimbulkan persepsi tidak adil, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam suasana ekonomi semasa, jumlah denda tersebut bukan angka kecil bagi kebanyakan rakyat.

Di sinilah peranan pendidikan menjadi sangat penting.

Di peringkat sekolah, isu kebersihan tidak wajar dilihat sebagai soal disiplin semata-mata, sebaliknya sebagai asas pembentukan nilai sivik.

Melalui pendidikan sivik, aktiviti kokurikulum dan amalan harian, murid perlu didedahkan kepada implikasi perbuatan membuang sampah dari sudut undang-undang, kesihatan awam dan alam sekitar.

Pendekatan ini memerlukan sokongan berterusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia agar kebersihan difahami sebagai nilai hidup, bukan sekadar larangan yang dipatuhi kerana takut dihukum.

Institusi pengajian tinggi pula memikul tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya.

Universiti dan kolej bukan sekadar pusat pengembangan ilmu akademik, tetapi medan pembentukan warganegara dewasa yang bertanggungjawab.

Kesedaran mengenai kebersihan, kelestarian dan implikasi undang-undang wajar disepadukan dalam program orientasi, kursus wajib universiti serta aktiviti kesukarelawanan.

Apabila budaya kebersihan diamalkan secara konsisten di kampus, undang-undang tidak lagi dilihat sebagai ancaman, tetapi sebagai peringatan kepada tanggungjawab sivik.

Norma sosial

Lebih jauh, langkah ini wajar difahami sebagai usaha membentuk norma sosial baharu.

Di banyak negara maju, kebersihan terpelihara bukan kerana undang-undang yang keras semata-mata, tetapi kerana norma masyarakat yang menolak sikap tidak bertanggungjawab.

Malaysia kini berada pada fasa penting untuk membina norma yang sama, di mana kebersihan menjadi ukuran kematangan masyarakat, bukan sekadar kewajipan undang-undang.

Kenyataan rasmi pihak berkuasa menegaskan bahawa Perintah Khidmat Masyarakat dilaksanakan dengan objektif mendidik dan menanam rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar, bukan menghukum secara berlebihan.

Penegasan kerajaan

Penegasan ini penting agar dasar tersebut difahami sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembentukan sikap, bukannya reaksi sementara terhadap masalah yang berulang.

Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah sama ada hukuman ini terlalu keras atau terlalu ringan, tetapi sama ada masyarakat benar-benar diberi kefahaman yang mencukupi untuk berubah.

Perintah Khidmat Masyarakat mungkin mampu membersihkan taman dan jalan raya dalam jangka pendek.

Namun kejayaan sebenar diukur apabila kebersihan tidak lagi dipaksa oleh undang-undang, sebaliknya lahir daripada kesedaran, kefahaman dan rasa hormat terhadap ruang yang dikongsi bersama.

-- BERNAMA

Noor Aslinda Abu Seman ialah Pensyarah Kanan, Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)