Hari Lelaki Sedunia disambut pada 19 November lepas. Ia bagi menghargai segala peranan dan sumbangan yang diberikan oleh kaum lelaki.
Dalam meraikan Hari Lelaki Sedunia ini, sudah sampai masanya sebuah badan bukan kerajaan (NGO) khusus yang menjaga hak dan kepentingan kaum lelaki ditubuhkan dalam negara kita.
Kebanyakan NGO libat wanita sahaja
Kebanyakan NGO yang ada dalam negara kita adalah melibatkan kaum wanita sahaja. Nama NGO yang sudah wujud dalam negara kita ini juga mengunakan nama kaum wanita sahaja.
Walaupun NGO ini sering menyatakan mereka turut memperjuangkan hak lelaki, namun hakikatnya mereka lebih mengutamakan kaum wanita dalam menjalankan segala aktiviti dan program NGO mereka.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya negara kita turut mewujudkan NGO khusus yang boleh membantu kaum lelaki dalam negara kita dengan menngunakan nama lelaki.
Keganasan rumah tangga terhadap lelaki
Baru-baru ini, kita telah didedahkan dengan isu melibatkan keganasan rumah tangga melibatkan mangsa kaum lelaki.
“Air mata lelaki jarang kelihatan, tetapi luka di hati mereka kadang sangat dalam.” Itulah kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menegaskan bahawa golongan lelaki juga tidak terlepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Dr Noraini berkata, isu lelaki sebagai mangsa penderaan lebih mencabar kerana ramai daripada mereka enggan tampil membuat aduan akibat rasa malu, takut dan bimbang dipandang rendah.
Statistik PDRM kes keganasan rumah tangga terhadap lelaki
Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,778 kes keganasan rumah tangga pada 2022 membabitkan mangsa lelaki, diikuti 1,223 kes (2023), 1,865 kes (2024) dan 1,183 kes direkodkan sehingga Julai tahun ini.
Kes yang melibatkan keganasan rumah tangga merupakan masalah yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini dan dilihat menjadi semakin serius pada masa kini akibat daripada faktor semasa seperti peningkatan kos sara hidup serta kemunculan pelbagai jenis media sosial baharu.
Perlu diingatkan bahawa isu keganasan dalam sesebuah rumah tangga tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan membawa impak bukan sahaja terhadap mangsa malahan akan memberi impak kepada seluruh anggota ahli keluarga terbabit seperti kanak – kanak serta saudara – mara terdekat.
Kesan terhadap prestasi mangsa di tempat kerja
Ia juga boleh memberi kesan buruk terhadap prestasi mangsa ditempat kerja kerana terpaksa memikul kesan keganasan yang dialami sehingga menjejaskan tumpuan serta fokus mereka ditempat kerja.
Walaupun isu keganasan rumah tangga banyak melibatkan mangsa kaum wanita iaitu isteri, namun tidak dapat dinafikan, kaum lelaki ataupun suami juga boleh melalui perkara yang sama.
Namun, atas faktor tanggapan masyarakat umum yang sentiasa menganggap kaum lelaki sebagai kuat dari segi fizikal, mental dan emosi menyebabkan tiada mangsa dari golongan lelaki atau suami yang tampil berani untuk membuat sebarang laporan atau aduan.
Perkara terbabit selalunya akan dipendam atau dibiarkan berlalu tanpa disusuli dengan sebarang tindakan proaktif.
Jika ini dibiarkan berlaku, akan sampai satu ketika, perasaan tidak puas hati yang dipendam terbabit akan meletup sehingga boleh membawa risiko bahaya terhadap diri mangsa serta orang sekeliling.
Walaupun, peratusan tinggi mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah kaum wanita atau isteri, namun seperti yang telah dinyatakan serta dilaporkan, mangsa keganasan rumah tangga juga boleh melibatkan sesiapa sahaja dalam sesebuah keluarga seperti pihak suami, kanak – kanak, warga tua, atau mana – mana ahli keluarga yang lain.
Penting agensi atau NGO diwujudkan
Adalah penting sebuah agensi atau NGO diwujudkan dalam negara kita khusus yang boleh menjaga hak dan kepentingan kaum lelaki bagi melindungan hak mereka.
Kewujudan NGO khusus untuk kaum lelaki ini adalah penting supaya mangsa lelaki atau sesiapa pun dapat pergi ke sana untuk mendapatkan khidmat nasihat atau sebarang bentuk bantuan yang boleh diberikan mengikut lunas undang-undang seperti mendapatkan khidmat kaunseling, informasi undang – undang semasa dan lain – lain lagi.
Melalui NGO ini juga sesuatu aktiviti dan program dapat dilaksanakan bagi membangkitkan kesedaran serta memberi pendidikan kepada masyarakat umum mengenai sesuatu isu semasa.
Perlu diingatkan, mana-mana pihak yang ingin menubuhkan sesebuah NGO dalam negara kita perlu melakukannya mengikut segala proses dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri mengikut segala peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan melalui Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan lain – lain peraturan yang berkaitan dengannya.
-- BERNAMA
Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).