TINTA MINDA

MEREDAH BANJIR UNDANG RISIKO

25/11/2025 10:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff

Kebiasaannya, kita sering mengaitkan bulan November dengan bermulanya musim tengkujuh di Malaysia, menjadikannya antara bulan yang paling sinonim dengan kejadian banjir.

Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula akan mengeluarkan pelbagai amaran yang berkaitan seperti ramalan kejadian ribut petir, hujan lebat dan juga angin kencang. Ini adalah sebagai satu peringatan kepada kepentingan kesiapsiagaan dan langkah keselamatan menghadapi bencana banjir.

Banjir ini bukan sahaja merosakkan harta benda dan mengorbankan nyawa, malah turut memutuskan hubungan darat kerana banyak jalan raya yang akan rosak dan tenggelam.

Pemanduan kenderaan di dalam banjir bahaya

Kajian telah menunjukkan bahawa pemanduan di dalam banjir sangat berbahaya dan menjadi punca utama kematian di banyak negara. Di Australia contohnya, hampir separuh daripada kematian akibat banjir sejak tahun 1960 hingga 2015 melibatkan kenderaan.

Statistik kematian ini hampir sama dengan dapatan kajian di Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah yang lain.

Di Amerika Syarikat, sehingga 60-70 peratus kematian banjir melibatkan kenderaan, manakala di Eropah angka ini sekitar 30-40 peratus. Banyak kejadian berlaku kerana pemandu sengaja atau tanpa sedar, memasuki kawasan banjir atau terperangkap apabila air naik secara tiba-tiba.

Kajian punca pemandu redah banjir

Dapatan kajian oleh para penyelidik terdahulu juga mendapati bahawa antara sebab pemandu berani meredah banjir termasuklah tidak mengambil amaran cuaca secara serius, menyangka risiko tidak tinggi, berasa yakin bahawa kenderaan mereka kuat, atau beranggapan bahawa mereka “tidak akan jadi mangsa”.

Sesetengah pemandu pula berasa tertekan untuk segera sampai ke destinasi, dipengaruhi penumpang atau merasakan situasi tidaklah seteruk dengan apa yang telah digambarkan.

Hakikatnya, keputusan paling berbahaya ialah memandu masuk ke kawasan banjir tanpa mengetahui kedalamannya.

Menganggarkan paras air banjir adalah sangat sukar, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Ada kalanya, jambatan atau jalan yang ditenggelami air telah pun rosak atau hanyut.

Dalam situasi tertentu, banjir berlaku secara setempat dan keadaan boleh berubah daripada jalan kering kepada jalan yang tenggelam hanya dalam jarak beberapa kilometer.

Kajian saintifik pemanduan di dalam banjir

Apabila kenderaan dipandu laju di atas lapisan air, ia boleh mengalami kesan penyatahan air terutamanya jika tayar sudah haus. Dalam keadaan ini, pemandu yang terutamanya kurang berpengalaman mudah hilang kawalan.

Kajian oleh Tinjauan Geologi Amerika Syarikat mendapati bahawa air sedalam 300 milimeter mampu menghasilkan sekitar 230 kilogram metrik daya sisi ke atas sebuah kenderaan.

Jika kenderaan mula terapung, air banjir akan mengambil alih kawalan stereng kenderaan. Tambahan, ia boleh menghanyutkan kenderaan, menolaknya ke sisi atau menterbalikkannya sepenuhnya jika air tersebut mengalir deras.

Apabila kenderaan masuk ke dalam air, ia akan terapung selama 30 hingga 120 saat sebelum tenggelam sepenuhnya dalam masa beberapa minit, menyebabkan penumpang sukar untuk keluar akibat tekanan air, kerosakan tingkap elektrik, pintu terkunci atau beg udara yang menghalang.

Adalah sangat berbahaya untuk mengharungi banjir jika air itu cukup kuat untuk mengapungkan atau memerangkap kenderaan.

Air sedalam 150 milimeter sahaja yang mengalir sudah cukup untuk menghanyutkan manusia. Jika terjatuh, kita boleh lemas sebelum sempat menyedari bahaya tersebut.

Kenderaan SUV lebih mudah terapung, kesan sama kereta biasa

Walaupun ramai beranggapan bahawa kenderaan utiliti sukan (SUV) lebih stabil meredah banjir kerana beratnya, saiz dan tayarnya yang besar sebenarnya boleh menyebabkan ia lebih mudah terapung.

Meredah banjir dengan kenderaan SUV juga sama bahayanya dengan kereta biasa. Air sedalam 150 milimeter pun sudah cukup untuk menyebabkan tayar kehilangan cengkaman.

Benar, risiko lemas mungkin rendah, tetapi kenderaan boleh hilang kawalan dan mengalami kemalangan serius.

Air sedalam 300 milimeter mampu mengapungkan kebanyakan kereta. Jika kereta mula terapung, kita tidak boleh mengemudi atau membrek.

Air banjir yang deras akan menolak kereta ke hilir. Air setinggi 600 milimeter pula berbahaya walaupun kepada kenderaan besar dan tahan lasak, kerana ia cukup untuk mengapungkan kereta sedan segmen C seberat 1,300 kilogram.

Kenderaan yang lebih kecil dan ringan, sudah tentu lebih mudah dihanyutkan. Lebihan paras ini mampu menolak kenderaan kita jika memandu melalui kawasan banjir.

Risiko kunci-hidro (hydro-lock) dan selamatkan diri segera

Satu lagi risiko ialah kemungkinan enjin mengalami kunci-hidro (hydro-lock) dan kegagalan komponen elektronik. Kunci-hidro berlaku apabila air masuk ke dalam kebuk pembakaran dan menghalang enjin daripada berfungsi.

Jika enjin mati, kita kehilangan pilihan untuk berpatah balik. Dalam keadaan begitu, tinggalkan kenderaan dan selamatkan diri dengan segera.

Cubaan memandu di dalam air juga boleh menegunkan enjin, dan jika kita cuba menghidupkannya semula, kerosakan kekal mungkin berlaku. Jika menemui jalan banjir, cari laluan alternatif.

Jika tiada pilihan selain melalui banjir, cuba anggarkan paras air sebaik mungkin. Jika kenderaan lain sedang melaluinya, perhatikan paras air tersebut. Pandulah perlahan di bahagian tengah jalan dan kekalkan haluan.

Elakkan memandu di kawasan banjir terdapat talian elektrik

Elakkan memandu di kawasan banjir yang mempunyai talian elektrik jatuh kerana air mudah mengalirkan arus.

Berwaspada juga terhadap objek yang dihanyutkan arus kerana ia boleh menghempap atau memerangkap kita. Jika memandu dalam air setinggi rim tayar atau lebih, uji brek di jalan kosong pada kelajuan rendah.

Jika brek tidak berfungsi sempurna kerana basah, keringkannya dengan menekan pedal brek perlahan-lahan menggunakan kaki kiri sambil mengekalkan kelajuan dengan kaki kanan. Elakkan menggunakan telefon kecuali untuk melaporkan kecemasan.

Jika kenderaan terhenti di dalam air yang dalam, kita mungkin terpaksa menghidupkan semula enjin untuk menyelamatkan diri, walaupun berisiko merosakkannya.

Tetapi jika enjin tetap tidak dapat dihidupkan dan paras air terus meningkat, tinggalkan kenderaan dengan segera dan cari tempat lebih tinggi.

Cuba buka pintu atau turunkan tingkap untuk keluar. Jika tidak dapat keluar, hubungi 999 atau tarik perhatian orang yang berada di kawasan lebih selamat.

Jika terperangkap dalam kenderaan yang sedang tenggelam pula, bertindak cepat.

Cari poket udara, biasanya berhampiran bumbung atau tingkap belakang.

Jika tingkap tidak dapat dibuka, pecahkan menggunakan alat kecemasan.

Kempen kerajaan Amerika Syarikat

Kerajaan Amerika Syarikat dan Australia masing-masing telah mengambil langkah pencegahan proaktif dengan kempen keselamatan banjir iaitu “Turn around, don’t drown” dan “If it is flooded, forget it.”

Kempen seperti ini sangat membantu mengubah tingkah laku apabila disertai undang-undang dan penguatkuasaan.

Malaysia juga wajar melaksanakan kempen seumpamanya memandangkan negara kita menerima purata hujan tahunan yang tinggi iaitu sekitar 2500–3500 mm.

Sebelum keluar rumah, kita digalakkan untuk menyemak ramalan cuaca terlebih dahulu kemungkinan berlakunya hujan lebat atau banjir.

Jika terdapat amaran, dapatkan maklumat tentang laluan alternatif bagi mengelakkan kawasan banjir.

Jangan sesekali memandang ringan bahaya memandu ketika banjir.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)