PENA WANITA

KEHIDUPAN DIGITAL YANG SIHAT

01/12/2025 02:57 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry

Kehidupan digital semakin lazim bagi kita, ibarat tabiat kita minum secawan kopi di pagi hari sebelum memulakan aktiviti seharian.

Teknologi digital dianggap mustahak dewasa ini bagi tujuan kerja, belajar mahupun kehidupan sosial.

Tetapi, perlu diingat bahawa mudahnya ia dalam kehidupan kita pada masa yang sama boleh mencetuskan ancaman kepada kesihatan mental dan keselamatan.

Maka, tabiat digital seharian memberi maksud berbeza kepada penggunaan digital yang seimbang dan kelesuan digital.

Hampir semua rakyat di Malaysia kini berada atas talian. Data daripada laman sesawang DataReportal menunjukkan terdapat 34.9 juta pengguna internet pada awal tahun 2025, malah jumlah penetrasi kebangsaan mencapai 97.7%.

Jelas bahawa tekanan digital adalah isu negara, isu semua pemegang taruh, bukan perjuangan sesetengah pihak atau individu sahaja.

Kajian terbaru menekankan bahaya dalam dunia digital bukanlah bergantung berapa lama masa yang dihabiskan dengan peranti, tetapi bagaimana kita menggunakannya.

Ada satu kajian berskala besar yang diterbitkan dalam jurnal JAMA menemui bahawa tahap penggunaan media sosial, telefon mudah alih dan permainan atas talian yang ketagih adalah tinggi dalam kalangan anak-anak muda.

Selain itu, corak ketagih ini berkait rapat dengan kesihatan mental yang teruk dan kecenderungan bunuh diri yang tinggi.

Ringkasnya, apabila kita hanya menumpukan perhatian kepada isu hadkan waktu layar, pada masa yang sama, kita terlepas pandang punca asal kepada masalah emosi dan kelakuan ini.

Kesejahteraan Digital

Agensi kerajaan tempatan mahupun antarabangsa telah memulakan langkah awal untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Antaranya ialah Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020–2025) yang meletakkan kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan anak muda sebagai isu utama yang perlu ditangani dan usaha pencegahan dan sokongan awal perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah dan masyarakat.

Selain itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memaklumkan bahawa anak-anak kecil turut terancam apabila berada atas talian, antaranya isu eksploitasi dan buli siber, dan menekankan keperluan segera untuk menyediakan ruang digital yang lebih selamat kepada golongan ini dan memastikan saluran aduan dapat dicapai setiap masa.

Apabila berada atas talian, langkah berikut boleh diamalkan untuk menjaga kesejahteraan digital:

1. Semak tujuan, bukan tempoh masa. Mulakan dengan bertanya, “Kenapa saya berada atas talian?”

Jika ada aplikasi yang kita guna mencuri waktu kita tanpa ganjaran yang sepatutnya, hadkan masa menggunakannya atau padam aplikasi tersebut.

Para penyelidik menyatakan corak ketagih boleh meramal bahaya, oleh itu, semak samada pengunaan peranti memberi kesan kepada kualiti tidur, emosi dan aktiviti harian

2. Bina tabiat hidup tanpa peranti. Peruntukkan sekurang-kurangnya 1 jam tanpa teknologi sebelum tidur dan letakkan peranti di luar bilik tidur pada setiap malam.

Amalan berehat seketika daripada dunia digital membantu dalam memulihkan perhatian dan tidur di mana kedua-duanya amat penting bagi kesihatan mental.

Selain itu, para pakar yang mengkaji kesan sosial teknologi mengingatkan kita bahawa berhenti seketika daripada peranti boleh memulihkan rasa empati dan memperbaiki hubungan sesama manusia

3. Ajar dan tunjukkan literasi digital. Ibu bapa, guru-guru dan pemimpin masyarakat sepatutnya mengajar anak-anak muda bagaimana mengesan bahaya atas talian, cara melaporkan kepada pihak berkuasa dan menguruskan privasi peranti.

Kajian UNICEF di Malaysia menerangkan ramai anak-anak kecil yang terlibat dengan kes penyalahgunaan atas talian tidak tahu bagaimana menyalurkan aduan.

Maka, usaha meningkatkan kesedaran literasi digital adalah penting untuk diusahakan pada ketika ini

4. Utamakan kesejahteraan hubungan. Tanyakan pada diri samada tabiat atas talian menyokong atau menggantikan hubungan dunia sebenar.

Galakkan perjumpaan secara fizikal dengan ahli keluarga dan sertai aktiviti sukan berkelompok kerana sokongan sosial merupakan ubat kepada kebimbangan dan kemurungan.

Di negara kita, usaha untuk meningkatkan kesihatan mental telah dan sedang dilakukan seperti mengadakan aktiviti berkumpulan di sekolah dan komuniti setempat

5. Guna teknologi untuk membantu. Guna dengan bijak. Misalnya, menggunakan aplikasi untuk memantau tidur dan rutin senaman boleh menyumbang kepada tabiat digital yang sihat.

Tetapi, pilih aplikasi yang membenarkan kawalan oleh pengguna, bukan aplikasi yang menggalakkan semakan berkali-kali. Tetapkan notifikasi yang sesuai untuk kurangkan gangguan

Amalan Digital Sihat

Para pakar mencadangkan bahawa pemantauan kehidupan digital bukan tertumpu kepada jumlah minit, tetapi corak ketagih yang dihadapi.

Ini kerana emosi berisiko terkesan akibat pergantungan kepada dunia digital. Sekiranya emosi terjejas, ianya juga boleh memberi impak kepada keadaan mental dan fizikal seseorang.

Justeru, amalan kesejahteraan digital seperti di atas boleh dimasukkan dalam aktiviti seharian bagi menjamin kehidupan digital yang sihat.

Di samping itu, sekolah-sekolah boleh memasukkan kesejahteraan digital sebagai satu elemen dalam kurikulum dan menyediakan saluran aduan yang jelas sekiranya berlaku ancaman atas talian kepada para pelajar.

Dari segi kesihatan, agensi di setiap peringkat boleh memuatkan pencetus tekanan digital dalam saringan awal dan menyampaikan maklumat berkaitan kesejahteraan digital kepada masyarakat.

Bagi pembuat dasar, program literasi digital perlu sentiasa ditambahbaik dan dikongsi bersama komuniti terutamanya anak-anak muda.

Oleh kerana negara kita sedang melangkah ke arah kesalinghubungan tanpa sempadan, langkah-langkah oleh institusi-institusi terlibat perlu dilakukan dalam kadar segera dan meliputi semua kelompok.

Dunia digital tidak akan hilang daripada kehidupan kita. Walau bagaimanapun, dengan objektif yang jelas, tabiat yang sihat, pendidikan yang jitu dan sokongan komuniti yang berterusan, rakyat Malaysia boleh menikmati kebaikan kesalinghubungan teknologi sambil menjaga kesihatan mental dan keselamatan masing-masing.

Cuba renungkan, kadang-kadang, klik yang paling sihat itu apabila kita tidak pernah melakukannya.

-- BERNAMA

Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)