PENA WANITA

TANGANI JURANG PEKERJAAN DAN PENGANGGURAN GRADUAN

02/12/2025 04:21 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Khairunesa Isa

Musim konvokesyen dianggap detik paling gemilang dalam kitaran pendidikan tinggi.

Universiti meraikan graduan yang menamatkan pengajian, ibu bapa penuh bangga, manakala masyarakat menyaksikan pencapaian intelektual generasi baharu.

Namun, di sebalik sorakan dan jambangan bunga, tersembunyi realiti membimbangkan apabila graduan menghadapi cabaran sebenar menempatkan diri dalam pasaran kerja.

Isu utama bukan sekadar pengangguran, tetapi ketidaksepadanan pekerjaan (skill mismatch) dan pekerjaan bawah kelayakan (underemployment).

Menurut Harian Metro (12 November 2025) dan data Jabatan Perangkaan Malaysia, hampir 32.2% graduan bekerja di bawah tahap kelayakan mereka.

Contohnya, graduan ijazah bekerja dalam sektor separuh mahir atau tidak memerlukan ijazah sama sekali.

Ini bermakna satu daripada tiga graduan tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi akademik dan kemahiran mereka.

Purata gaji bulanan graduan ialah RM4,521, tetapi angka ini tidak mencerminkan sepenuhnya kemampuan graduan yang masih belum dimanfaatkan secara optimum.

Dari perspektif pembangunan sosial, keadaan ini membawa kesan lebih luas. Ia bukan sahaja membazirkan sumber manusia dan kewangan, tetapi turut menurunkan motivasi, kualiti hidup, dan kepercayaan terhadap nilai pendidikan tinggi.

Dalam konteks pembangunan insan, isu ini menonjolkan jurang antara pendidikan formal dengan realiti pasaran kerja.

Universiti, majikan, dan graduan sendiri perlu memainkan peranan berbeza tetapi saling berkait.

Universiti- Institusi Pembina Insan

Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi institusi pembina insan.

Cabaran kini ialah menyeimbangkan antara teori akademik dan kemahiran praktikal.

Banyak program pengajian masih kurang pendedahan industri atau modul kemahiran insaniah yang mendalam.

Menurut Graduate Tracer Study 2024, hanya 56% graduan bersedia menghadapi dunia kerja selepas tamat pengajian.

Ini menunjukkan perlunya pengalaman sebenar seperti latihan industri, projek komuniti dan modul kepimpinan supaya graduan bukan sekadar berijazah, tetapi juga berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran sebenar.

Majikan pula sering menyatakan graduan “tidak bersedia bekerja” atau “tidak memenuhi keperluan industri.”

Hakikatnya, mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan era pekerjaan moden.

Syarikat tidak boleh sekadar mencari pekerja “sempurna” pada hari pertama, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran berterusan.

Contohnya, Jerman dan Switzerland mengamalkan sistem dual training, yang mana pelajar menjalani latihan industri semasa belajar, manakala majikan memainkan peranan dalam proses pendidikan.

Malaysia boleh mengadaptasi pendekatan ini dengan memperluas program apprenticeship dan memberi insentif kepada syarikat yang melatih graduan muda.

Pendekatan ini secara langsung mewujudkan perkongsian pintar dan menekankan kolaborasi strategik bersama pemegang taruh.

Keupayaan Menyesuaikan Diri

Bagi graduan, cabaran utama ialah keupayaan menyesuaikan diri (adaptability).

Dalam era ekonomi digital dan automasi, ijazah semata-mata tidak lagi menjamin kerjaya. Graduan perlu menilai kemahiran sedia ada dan sentiasa memperbaharuinya.

Program reskilling, upskilling dan multiskilling kini menjadi keperluan, bukan pilihan.

Singapura, melalui inisiatif SkillsFuture, memberi kredit pembelajaran kepada rakyat dewasa untuk menambah kemahiran baharu sepanjang hayat.

Malaysia turut memulakan langkah serupa melalui HRD Corp dan kursus mikro universiti awam, namun penyertaan graduan masih rendah.

Universiti perlu menjadikan latihan kemahiran tambahan sebahagian daripada budaya pembelajaran, bukan aktiviti sampingan.

Kesan pengangguran dan underemployment bukan sekadar isu ekonomi. Dari perspektif sains sosial, ia menjejaskan struktur sosial dan psikologi masyarakat muda.

Tekanan hidup, rasa kecewa, dan kurangnya penghargaan menjejaskan kesihatan mental graduan.

Kajian Kementerian Kesihatan (2023) mendapati hampir satu daripada lima belia mengalami simptom tekanan dan keresahan berkait kewangan dan pekerjaan.

Ini mengurangkan produktiviti serta keyakinan diri yang menjadi faktor penting dalam pembangunan insan.

Jika graduan tidak memperoleh pekerjaan sesuai dalam tempoh tertentu, mobiliti sosial menurun dan jurang ekonomi semakin melebar, menyebabkan masyarakat berpendidikan tinggi terperangkap dalam kitaran pekerjaan gaji rendah.

Memacu graduan menuju potensi maksimum

Memastikan graduan Malaysia bukan sekadar pemegang ijazah, tetapi benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia kerja memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu.

Pembaharuan kurikulum perlu dipandang sebagai strategi pembangunan sosial, merangkumi kemahiran digital, komunikasi, pemikiran kritikal serta kemahiran insaniah.

Pendidikan tinggi harus mengimbangi teori dan praktik, memastikan graduan bukan sahaja cerdas akademik, tetapi juga cekap dalam kemahiran praktikal dan sosial.

Kerajaan dan sektor industri pula perlu memperkukuh dasar latihan berasaskan insentif.

Syarikat yang mengambil dan melatih graduan dalam tempoh setahun selepas konvokesyen boleh diberikan potongan cukai, manakala graduan yang ingin meningkatkan kemahiran melalui program reskilling, upskilling, atau multiskilling turut layak menerima insentif sama.

Pendekatan ini membina ekosistem pembelajaran berterusan, yang mana majikan dan graduan saling menyokong perkembangan profesional masing-masing.

Universiti perlu menilai kejayaan graduan secara lebih holistik. Penilaian kemahiran insaniah harus dijalankan dengan jujur menggunakan empati yang sistematik, menggabungkan bukti prestasi dalam kepimpinan, kerjasama, dan sumbangan komuniti.

Dengan pendekatan ini, potensi graduan dinilai secara menyeluruh, adil, dan bermakna.

Pemerkasaan TVET

Pemerkasaan sektor TVET kini menjadi fokus utama pembangunan modal insan. Begitu juga sektor 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) yang sebelum ini dianggap pilihan kedua, kini berpotensi menjadi peluang berprofil tinggi melalui integrasi teknologi, automasi dan kemahiran khusus.

Menurut laporan TalentCorp dan The Malaysian Insight (2023), pekerja 3D yang terlatih melalui TVET menunjukkan produktiviti lebih tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, sejajar dengan sasaran negara untuk mencapai 35% tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pekerjaan, malah menawarkan gaji kompetitif dan sumbangan ekonomi yang signifikan, menjadikan sektor 3D medan strategik bagi pembangunan modal insan serta peluang kerjaya berpendapatan tinggi.

Isu pengangguran dan underemployment graduan bukan sekadar tentang siapa mendapat pekerjaan.

Ia mencerminkan sejauh mana sistem sosial menghargai ilmu, membina potensi manusia, dan menyediakan peluang adil untuk semua.

Kejayaan sebenar diukur bukan pada bilangan ijazah yang dikeluarkan, tetapi sejauh mana graduan mampu hidup bermaruah, berdikari, dan menyumbang kepada masyarakat.

Melahirkan graduan bukan pengakhiran tanggungjawab universiti, sebaliknya permulaan perjalanan pembangunan insan yang sebenar.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)