Oleh Prof Dr Saidatulakmal Mohd
Perbahasan mengenai kerelevanan pendidikan tinggi sering timbul apabila landskap pasaran buruh berubah dengan pantas.
Dalam ekonomi pasca normal yang dipacu oleh pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan (AI), muncul persepsi bahawa kelayakan akademik semakin kurang diperlukan berbanding kemahiran praktikal.
Namun, realiti pasaran pekerjaan hari ini menunjukkan bahawa isu sebenar bukanlah ketiadaan keperluan terhadap ijazah, tetapi ketidakpadanan kemahiran antara graduan dan keperluan sebenar industri.
Justeru, persoalan yang lebih tepat ialah bagaimana pendidikan tinggi perlu ditransformasikan agar terus relevan dan mampu melahirkan graduan yang benar-benar sedia menghadapi masa depan.
Apa yang dicari oleh majikan hari ini?
Majikan masa kini semakin menilai graduan berdasarkan keupayaan sebenar untuk berfungsi dalam persekitaran kerja.
Antara kriteria utama ialah kemahiran praktikal dan pengalaman hands-on yang diperoleh melalui latihan industri, projek sebenar serta penyelesaian masalah dunia nyata.
Kecekapan teknikal, termasuk penguasaan perisian, peralatan dan teknologi terkini yang digunakan secara langsung dalam industri, turut menjadi keutamaan.
Selain itu, kebolehsuaian dan minda pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) semakin diberi penekanan selari dengan kadar perubahan teknologi yang pantas.
Pensijilan dan kelayakan khusus industri pula dilihat sebagai nilai tambah kerana mencerminkan kepakaran fokus serta komitmen terhadap pembangunan profesional berterusan.
Keperluan ini selari dengan QS Employer Survey yang mengenal pasti pelbagai skil baharu (emerging skills) yang semakin mendapat permintaan tinggi, termasuk analisis data, teknologi awan, keselamatan siber, reka bentuk pengalaman pengguna, reka bentuk grafik, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, pembangunan aplikasi, pemasaran digital, kejuruteraan perisian lanjutan dan pengurusan projek.
Walau bagaimanapun, penekanan kepada kemahiran semata-mata tanpa asas ilmu yang kukuh berisiko mengehadkan potensi graduan dalam jangka panjang.
Tanpa pemikiran konseptual, keupayaan analitikal dan kefahaman teori, graduan akan berdepan cabaran untuk terlibat dalam penyelidikan lanjutan, reka bentuk sistem yang kompleks serta peranan kepimpinan strategik.
Di sinilah pendidikan tinggi kekal memainkan peranan penting sebagai pembina asas intelektual yang lestari.
Polarisasi pasaran pekerjaan dan nilai pengetahuan tinggi
Pasaran pekerjaan hari ini semakin memperlihatkan polarisasi yang jelas antara pekerjaan berasaskan kemahiran praktikal dan guna pakai dengan pekerjaan bernilai tinggi yang menuntut keupayaan intelektual, analitikal dan pemikiran konseptual yang mendalam.
Walaupun sebahagian besar peluang pekerjaan masa kini menekankan kecekapan teknikal, kemahiran digital dan kebolehsuaian terhadap perubahan teknologi, masih wujud satu segmen pekerjaan strategik yang terus memerlukan asas ilmu yang kukuh, kelayakan akademik serta pensijilan profesional sebagai prasyarat utama.
Segmen ini lazimnya merangkumi peranan akademik dan profesional berteraskan ilmu yang bertanggungjawab membangunkan dan menyebarkan pengetahuan, pekerjaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi (R&I), serta jawatan pengurusan peringkat atasan yang menuntut kebolehan menilai maklumat kompleks dan membuat keputusan strategik berasaskan data serta analisis mendalam.
Bagi peranan akademik dan saintifik, penguasaan teori dan asas ilmu kekal dominan sebagai teras kompetensi.
Bagi pengurusan pula, walaupun pengalaman dan kebijaksanaan membuat keputusan memainkan peranan yang besar, keupayaan tersebut tetap berpaksikan asas pengetahuan yang kukuh dan pemikiran analitikal yang terbina melalui pendidikan formal.
Dalam konteks ini, peranan universiti tidak boleh dilihat secara sempit sebagai penyedia tenaga kerja semata-mata.
Universiti perlu difahami sebagai institusi pembina negara, yang bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran, tetapi membentuk individu berfikir, beretika dan berkeupayaan membuat keputusan yang bertanggungjawab.
Peranan ini menjadi semakin penting dalam dunia pekerjaan yang kompleks, di mana keputusan profesional bukan sekadar bersifat teknikal, tetapi turut melibatkan implikasi sosial, ekonomi dan kemanusiaan.
Kita bukan sekadar ingin melahirkan akauntan yang cekap mengira atau mahir menyediakan penyata kewangan, tetapi akauntan yang memahami implikasi keputusan kewangan terhadap kelangsungan organisasi, tadbir urus yang baik, keadilan percukaian dan kesejahteraan masyarakat.
Begitu juga, kita bukan hanya ingin melahirkan jurutera yang mahir mereka bentuk sistem atau mengoptimumkan proses teknikal, tetapi jurutera yang memahami keselamatan awam, kelestarian alam sekitar serta kesan jangka panjang teknologi terhadap komuniti.
Dalam bidang sains data dan teknologi digital pula, universiti tidak sekadar melahirkan pakar analitik yang cekap memproses data, tetapi profesional yang memahami isu privasi, bias algoritma dan implikasi sosial penggunaan kecerdasan buatan.
Keupayaan membuat pertimbangan ini tidak lahir secara spontan, tetapi dibentuk melalui proses pendidikan yang menekankan ilmu, nilai dan etika secara seimbang.
Pendekatan ini selari dengan hala tuju Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, yang menekankan pendidikan tinggi sebagai ekosistem pembangunan insan berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat.
Dalam kerangka ini, universiti berperanan membina graduan yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal dan analitikal, tetapi juga memiliki nilai, kepekaan sosial dan kesedaran tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
Justeru, nilai pengetahuan tinggi yang dibentuk di universiti bukan sahaja menyokong keperluan pasaran pekerjaan bernilai tinggi, tetapi turut menjadi asas kepada pembentukan kepimpinan masa depan dan pembangunan negara yang lestari.
Peranan universiti dalam menangani ketidakpadanan kemahiran
Dalam menghadapi ketidakpadanan kemahiran, universiti perlu bergerak melangkaui model tradisional yang berorientasikan kandungan semata-mata kepada pendekatan yang mengintegrasikan teori, aplikasi dan keperluan industri.
Universiti bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai ilmu, tetapi sebagai ekosistem pembentukan bakat yang merangkumi pembelajaran kontekstual, pengalaman industri dan pembangunan kemahiran insaniah.
Pendekatan ini penting bagi memastikan graduan bukan sekadar boleh memasuki pasaran kerja, tetapi mampu berkembang, menyesuaikan diri dan memimpin dalam ekonomi masa depan.
Seiring dengan keperluan transformasi ini, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui hala tuju pendidikan tinggi (HTPT) 2025, memberikan penekanan yang jelas terhadap penyesuaian kurikulum universiti awam dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
Antara penekanan utama ialah keperluan agar program pengajian di universiti awam memuatkan elemen AI.
Pendekatan ini bertujuan memastikan graduan bukan sahaja terdedah kepada teknologi baharu, tetapi memiliki kefahaman asas tentang bagaimana AI dan data membentuk proses kerja, pembuatan keputusan dan model perniagaan masa kini.
Dalam masa yang sama, KPT turut menekankan kepentingan sandaran kepakaran industri dalam kalangan staf akademik.
Pendekatan ini penting untuk perkongsian ilmu dan kepakaran, seterusnya mengurangkan jurang ilmu antara industri dan universiti. Sandaran industri ini mampu mencetus inovasi dan melahirkan bakat yang sedia industri, adaptif kepada perubahan semasa.
Lebih daripada itu, interaksi berterusan antara akademia dan industri membantu mengekalkan kerelevanan pendidikan tinggi tanpa menjejaskan asas ilmu, sekali gus membolehkan universiti bertindak sebagai ruang dialog antara teori, inovasi dan amalan profesional.
Sejajar dengan keperluan ini, inisiatif KPT diperkukuh melalui pelaksanaan Program Konsortium MRI3 yang menumpukan kepada penyediaan bakat berkemahiran tinggi selari dengan keperluan industri.
Melalui program ini, pelajar menjalani latihan industri dan projek tahun akhir berasaskan industri sebenar menggunakan peralatan dan perisian yang sama seperti di tempat kerja.
Lebih signifikan, Program MRI3 mensasarkan jaminan pekerjaan dengan penawaran gaji premium minimum RM4,000, mencerminkan komitmen serius terhadap kebolehpasaran graduan.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilantik sebagai peneraju sektor automotif, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sektor logistik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi sektor rel, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti awam pertama menerajui sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).
USM sebagai Contoh Transformasi Pendidikan Tinggi
Dalam konteks pelaksanaan di peringkat institusi, USM menampilkan contoh universiti awam yang proaktif menjambatani jurang antara akademia dan industri. Melalui pendekatan University in Industry hasil kerjasama strategik dengan SanDisk, pelajar didedahkan kepada persekitaran industri sebenar serta teknologi dan proses kerja bertaraf global.
Di samping itu, penawaran Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian secara pesisir, Program Sarjana Mod Campuran, serta Master of Business Analytics mencerminkan usaha USM menyediakan laluan pembelajaran yang fleksibel dan relevan industri bagi memenuhi keperluan sektor elektronik, semikonduktor dan perniagaan dan ekonomi berteraskan data.
Usaha ini bukan sekadar menambah program baharu, tetapi menyesuaikan reka bentuk dan pendekatan pendidikan bagi memenuhi keperluan industri yang berbeza pada tahap dan segmen pasaran kerja yang berlainan.
Pada masa yang sama, USM memastikan bahawa bakat yang dilahirkan adalah bersifat multidisiplin dan terbuka kepada pelbagai bidang untuk nilai tambah tinggi graduan.
Antara contoh terbaik ialah Program Sarjana Sains dalam Advanced Semiconductor Packaging, yang menggabungkan kepakaran daripada lima pusat pengajian dan pusat penyelidikan USM dan dirangka hasil kerjasama rapat antara USM dengan industri.
USM juga merekodkan pencapaian membanggakan dalam kebolehpasaran graduan. Secara keseluruhannya, prestasi graduan USM tahun 2024 menunjukkan kadar kebolehpasaran tinggi (93.3 peratus), peningkatan graduan pra siswazah bergaji premium, kestabilan pekerjaan mengikut bidang, serta diversifikasi sektor pekerjaan dan penembusan pasaran antarabangsa yang berterusan.
Kesemua indikator ini mencerminkan kejayaan berterusan USM sebagai universiti penyumbang utama tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompetitif.
Strategi USM tertumpu kepada memastikan graduannya bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran teknikal, tetapi juga benar-benar berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri.
Pendekatan ini dikenali sebagai industry-driven education di mana kurikulum, latihan dan pengalaman pelajar dirangka bersama rakan strategik industri bagi menjamin kebolehpasaran graduan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pendidikan tinggi masih kekal relevan dalam melahirkan graduan sedia masa depan.
Namun, kerelevanan ini tidak lagi bersifat automatik. Ia menuntut universiti untuk menyesuaikan diri dan berfikir secara strategik. Isu utama hari ini bukanlah penolakan terhadap ijazah, tetapi keperluan menyelaraskan pendidikan tinggi dengan realiti pasaran kerja yang berubah, tanpa mengorbankan asas ilmu, nilai dan kemanusiaan.
Universiti yang berjaya pada masa depan ialah universiti yang mampu mengimbangi keteguhan akademik dengan keperluan industri, serta melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi berfikir secara kritis, beretika dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai profesional dan pembina negara.
-- BERNAMA
Profesor Dr Saidatulakmal Mohd ialah Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) Universiti Sains Malaysia.