Oleh Dr Azean Idruwani Idrus
Kita hidup dalam sebuah era moden yang memperdagangkan kelajuan sebagai simbol kehebatan.
Namun, malangnya kemodenan ini turut memperdagangkan nyawa, bukan di medan perang tetapi di jalan raya.
Kenderaan pada hari ini tidak lagi berfungsi sekadar sebagai alat mobiliti, sebaliknya telah menjadi penyumbang kepada ribuan kehilangan nyawa saban tahun.
Hal ini bukan berpunca daripada kegagalan teknologi, tetapi kerana kecuaian manusia itu sendiri.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), kemalangan ditakrifkan sebagai peristiwa atau kejadian yang tidak dijangka berlaku dan biasanya membawa kesusahan, kecederaan atau kerugian.
Sementara itu, kemalangan jalan raya boleh diertikan sebagai peristiwa yang tidak diingini yang berlaku di jalan raya melibatkan kenderaan, dan berpotensi mengakibatkan kecederaan, kematian atau kerosakan harta benda.
Laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKR) menunjukkan purata 6,000 kematian direkodkan setiap tahun akibat kemalangan jalan raya dengan majoritinya melibatkan kenderaan yang dipandu manusia.
Bukan mesin yang gagal, bukan brek yang rosak, tetapi manusia yang leka, gopoh dan alpa.
Kecuaian Penyumbang Utama Kemalangan
Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) (2023) turut mendapati bahawa lebih 75% kemalangan maut berpunca daripada kecuaian pemandu, sama ada akibat memandu dalam keadaan mengantuk, di bawah pengaruh alkohol, atau melebihi had laju.
Situasi ini membawa implikasi besar kerana satu tindakan cuai di belakang stereng mampu meragut kebahagiaan banyak keluarga.
Setiap kali kemalangan berlaku, perhatian masyarakat sering tertumpu kepada angka kematian, kecederaan parah dan kerosakan harta benda.
Namun terdapat satu bentuk kecederaan yang sering tidak dilaporkan iaitu trauma psikologi.
Trauma Psikologi
Trauma psikologi merupakan gangguan emosi yang boleh merosakkan sistem saraf, mengganggu kestabilan minda dan emosi, serta menyebabkan penderitaan jangka panjang.
Individu yang mengalaminya boleh terdedah kepada Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), gangguan tidur, kemurungan, rasa terasing, dan dalam kes serius, kecenderungan mencederakan diri sendiri.
Kajian oleh Malaysian Journal of Psychiatry (2022) melaporkan bahawa lebih 35% mangsa kemalangan jalan raya di Malaysia mengalami simptom PTSD dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kemalangan.
Namun, jumlah sebenar dijangka lebih tinggi kerana stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental menyebabkan ramai mangsa tidak mendapatkan rawatan.
Trauma ini bukan sahaja dialami oleh mangsa utama, tetapi juga oleh ahli keluarga, saksi mata serta pasukan penyelamat seperti anggota bomba dan paramedik yang berdepan dengan pengalaman emosi yang membebankan.
Pencegahan dengan Realiti Maya
Dalam konteks pencegahan, pendidikan keselamatan jalan raya tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan konvensional seperti ceramah atau tayangan video semata-mata.
Pendidikan berbentuk pengalaman yang menyentuh emosi dan membina empati lebih berkesan.
Justeru, penggunaan teknologi simulasi realiti maya (VR) wajar diterokai sebagai medium pendidikan empati.
Teknologi ini memberi peluang kepada pelajar atau pengguna jalan raya untuk ‘merasai’ pengalaman kemalangan dalam suasana maya dengan impak emosi yang nyata tanpa risiko fizikal.
Negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini.
Program VR mereka diperkenalkan di sekolah, institut memandu, dan pusat latihan belia.
Dalam tempoh 3 hingga 5 tahun, kadar kemalangan jalan raya belia menurun sehingga 30%.
Sikap Positif & Empati
Kajian lanjutan juga menunjukkan perubahan sikap jangka panjang yang lebih positif, termasuk kesabaran semasa memandu serta peningkatan rasa hormat terhadap nyawa pengguna jalan raya lain.
Malaysia seharusnya melihat pendekatan ini sebagai satu keperluan mendesak. Pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan MDEC boleh bekerjasama dengan syarikat teknologi tempatan untuk membangunkan modul VR yang sesuai dengan senario jalan raya negara.
Kandungan modul ini boleh disesuaikan mengikut tahap umur dan peranan pengguna jalan raya, daripada pejalan kaki hingga pemandu e-hailing atau penunggang motosikal komersial.
Kesimpulannya, trauma akibat kemalangan jalan raya bukan sekadar isu perubatan fizikal tetapi turut melibatkan aspek psikologi dan sosial.
Pencegahan yang berkesan memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja menekankan undang-undang dan hukuman, tetapi juga membina empati dan tanggungjawab.
Dengan memanfaatkan teknologi seperti VR, pendidikan keselamatan jalan raya dapat diperkasakan secara lebih realistik dan berkesan.
Jika kita benar-benar ingin menyelamatkan nyawa dan masa depan generasi akan datang, kita harus bermula dengan mengajar mereka bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi menghargai kehidupan.
-- BERNAMA
Dr Azean Idruwani Idrus ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Muar, Johor.