Isu pengangguran graduan sering menjadi bualan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Kebanyakan ibu bapa dan graduan khususnya memikirkan masa depan kerjaya selepas menamatkan pengajian dari universiti atau institusi pengajian tinggi. Hal ini termasuk bidang yang dianggap mencabar seperti pelancongan.
Namun, realiti ini berbeza sama sekali bagi 46 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Mereka merupakan sebahagian daripada 3,631 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-23 universiti berkenaan dari 24 hingga 28 November lepas.
Kejayaan graduan sulung program tersebut membuktikan bahawa apabila pendidikan pelancongan digabungkan dengan pendedahan industri yang kukuh, isu “tiada kerja selepas bergraduat” bukan lagi sesuatu yang perlu dibimbangkan.
Program 3U1I
Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan, USIM turut melaksanakan mod pengajian tiga tahun di universiti dan setahun di industri atau dikenali 3U1I.
Program ini mempunyai objektif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada pengalaman praktikal dan keperluan sebenar industri.
Selain itu, memastikan kurikulum lebih relevan, selari dengan perkembangan teknologi dan permintaan pasaran kerja, disamping membina jaringan profesional yang memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah dan pihak industri dalam jangka panjang.
Melalui mod 3U1I, pelajar ditempatkan selama setahun di industri untuk bekerja dan mendapat pengalaman sebenar dalam operasi pelancongan dan pengurusan destinasi.
Setahun di industri bukan sekadar latihan tetapi ia adalah proses pembentukan sahsiah, kemahiran teknikal dan kematangan profesional yang menjadikan pelajar USIM mampu dan bersedia memasuki pasaran pekerjaan.
Kemahiran sebenar yang dibentuk melalui pengalaman harian menjadikan mereka cekap, berdikari dan mampu bekerja tanpa memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang.
Tidak hairanlah apabila sebahagian besar daripada graduan tersebut telah menerima tawaran pekerjaan sebelum mereka menghadiri majlis konvokesyen, sekaligus menjadi bukti bahawa kerjasama pendidikan univeristi–industri ini benar-benar berhasil.
Keyakinan Industri Terhadap Universiti
Dalam kegembiraan graduasi ini, tumpuan turut diberikan kepada Muhammad Hariz Najmi, penerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar Program Pelancongan berkenaan.
Penganugerahan ini lebih bermakna kerana ditaja oleh Naurah Tour & Services Sdn. Bhd., syarikat pengendali pelancongan “muslim-friendly” yang aktif bekerjasama dengan USIM.
Sokongan sebegini bukan sekadar bentuk pengiktirafan, tetapi menandakan tahap keyakinan industri terhadap kualiti graduan pelancongan USIM serta potensi mereka untuk memacu sektor pelancongan negara.
Pihak syarikat berkenaan juga bercadang bekerjasama dalam bentuk latihan berkaitan pengoperasian pelancongan yang bakal melibatkan pelajar-pelajar program pelancongan.
Usaha ini akan memberi pendedahan kepada pelajar menimba ilmu dan pengalaman secara “hands on” sebelum menjalani latihan di industri.
Disamping itu, Naurah Tour & Services Sdn. Bhd akan bekerjasama melakukan penyelidikan, perundingan dan penerbitan dengan para pensyarah program pelancongan USIM berkaitan industri pelancongan.
Pelancongan Sebagai Industri Strategik
Kerjasama erat universiti-industri seperti ini memperkukuh lagi gambaran bahawa industri pelancongan sedang berkembang dan memerlukan bakat terlatih, terutama yang memiliki etika kerja Islamik, kemahiran komunikasi, kompetensi digital dan pengalaman praktikal.
Dalam perkaitan ini, para pelajar pelancongan USIM dilihat memiliki keperluan tersebut.
Program ini berjaya menjadikan pelajar bukan sahaja pencari kerja, tetapi juga penyelesai masalah, pemimpin muda dan tenaga profesional yang mampu mengisi keperluan pasaran pekerjaan dengan segera.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pelancongan bukan lagi bidang sampingan, tetapi sebuah industri strategik yang memerlukan tenaga kerja yang berdaya saing.
Graduan USIM telah menunjukkan bahawa apabila model pendidikan berasaskan industri dilaksanakan dengan betul, masa depan kerjaya bukan sahaja terjamin bahkan semakin cerah dan berkembang.
Tambahan pula, Kerajaan Malaysia sentiasa menunjukkan komitmen teguh untuk menggerakkan industri tersebut.
Hal ini dibuktikan melalui pembentangan Belanjawan 2026, dengan lebih RM700 juta diperuntukkan untuk merancakkan sektor pelancongan Malaysia khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Negara sedang bersiap sedia untuk menerima 47 juta pelawat pada tahun depan dengan jangkaan menjana pendapatan sebanyak RM329 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelancongan paling dinamik dan berkembang pesat di Asia.
Jelas menunjukkan bahawa musim konvokesyen ini mengingatkan kita bahawa masa depan graduan tidak bergantung pada segulung ijazah semata-mata, tetapi pada sejauh mana universiti dan industri mampu berganding bahu menyediakan peluang pekerjaan yang relevan di pasaran.
Dalam konteks ini, program Pelancongan USIM membuktikan bahawa isu ketiadaan pekerjaan selepas bergraduasi bukan lagi satu kebimbangan besar. Dengan pendekatan pendidikan yang tepat, industri pelancongan kini menjadi antara laluan kerjaya masa depan yang berpotensi tinggi serta mampu menjamin prospek pekerjaan generasi muda.
-- BERNAMA
Dr Nurul Nadirah Abu Hasan ialah Pensyarah Kanan, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Univeriti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.