PENA WANITA

UNIVERSITI BUKAN DESTINASI PERCUTIAN

09/12/2025 12:29 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry

Pelajar sering membayangkan bahawa kehidupan di universiti menawarkan banyak kebebasan, seperti jadual waktu yang fleksibel, kehidupan sosial pada waktu malam, serta rasa selesa untuk menangguhkan tugasan.

Walau bagaimanapun, kebebasan yang sihat dan sikap mengambil mudah urusan akademik adalah dua perkara yang berbeza. Tanggapan yang salah ini boleh memberikan kesan besar kepada diri pelajar.

Oleh itu, para mahasiswa perlu memahami bahawa tanggungjawab belajar adalah penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) dan kesejahteraan diri mereka.

Di mana-mana institusi pendidikan tinggi, kelakuan menangguhkan kerja didapati berlaku tanpa mengira tahun pengajian, sama ada pelajar baru atau mereka yang berada di tahun akhir.

Seperti yang diketahui, tabiat menangguhkan kerja secara kerap boleh menjejaskan mutu pembelajaran, meningkatkan tekanan peribadi, dan seterusnya menurunkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

Dari sudut kesihatan mental, tabiat pembelajaran yang kurang baik ini amat membimbangkan.

Penyelidikan tempatan terkini menunjukkan tahap kemurungan, kebimbangan, dan tekanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa, dengan beberapa kajian mencatat kadar kemurungan sehingga 31% dan kebimbangan sehingga 60%.

Jumlah ini jelas menggambarkan kelompok ini bergelut untuk menumpukan perhatian, menyiapkan pelbagai tugasan dan mengekalkan motivasi belajar yang ada turun naiknya.

Kenapa tanggungjawab belajar itu lebih penting berbanding tempoh waktu belajar?

Pembelajaran Berfokus

Pembelajaran berkualiti, iaitu amalan belajar secara berfokus, lebih baik diutamakan berbanding melakukan pelbagai tugasan secara tergesa-gesa atau menyiapkan semuanya pada saat akhir.

Profesor Cal Newport, penulis buku Deep Work, menegaskan bahawa untuk mencapai produktiviti yang tinggi, kita perlu menumpukan perhatian kepada satu tugasan dalam tempoh yang panjang dengan sepenuhnya, tanpa sebarang gangguan.

Penumpuan sebegini dapat membina kemahiran atau penguasaan lebih cepat berbanding usaha yang banyak tetapi berselerak.

Di samping itu, penetapan minda yang baik juga dikira penting bagi para pelajar universiti.

Usaha yang konsisten membantu untuk meningkatkan kebolehan dan seterusnya, mencapai kejayaan.

Para pelajar yang menganggap pembelajaran ibarat proses, memberi tindakbalas yang lebih baik terhadap rintangan, belajar dengan lebih bijak dan bertahan lebih lama.

Apabila kita menggalakkan para pelajar untuk memupuk minda yang sentiasa berkembang, kita dapat membantu mereka untuk berubah daripada mentaliti “Saya tidak boleh” kepada “Saya boleh, tetapi saya kena berlatih”.

Ada beberapa cara yang sederhana sifatnya, tetapi berkesan, yang boleh diamalkan oleh para penuntut universiti.

Pertama, rancang waktu belajar harian mahupun mingguan dengan teliti dan peruntukkan sekurang-kurangnya 60 hingga 90 minit sesi kerja berfokus bagi tugas-tugas yang sukar.

Seterusnya, gantikan objektif yang samar-samar dengan tindakan yang lebih spesifik. Contohnya, bukannya sekadar “belajar Matematik”, tetapi fokus kepada menjawab soalan 1, 2, dan 3 daripada contoh ujian lepas, kemudian lakukan semakan kendiri dalam tempoh 30 minit.

Ketiga, bahagikan tugasan yang besar kepada kerja-kerja kecil dan tetapkan tarikh akhir berperingkat supaya tiada aktiviti dilakukan secara tergesa-gesa pada saat akhir.

Akhir sekali, minta bantuan awal daripada tutor, rakan, dan kumpulan belajar di kampus untuk mengelakkan masalah kecil menjadi krisis.

Peranan Institusi & Pensyarah

Di atas, peranan sebagai penuntut universiti telah dibincangkan. Namun, institusi pendidikan tinggi dan para pensyarah turut memainkan peranan penting.

Antara langkah yang boleh dilakukan termasuk mereka bentuk pentaksiran berperingkat dan formatif, berkongsi kemahiran belajar berkesan, serta menormalisasikan meminta bantuan berkaitan kesihatan mental bagi pelajar.

Di peringkat kebangsaan, Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia menunjukkan tahap tekanan dalam kalangan anak muda semakin meningkat, menandakan keperluan segera bagi langkah-langkah pencegahan seiring dengan bimbingan akademik oleh pensyarah.

Pesanan mengenai tanggungjawab pembelajaran di universiti menekankan aspek kemanusiaan.

Menggalakkan pelajar memandang serius pembelajaran bukan bermaksud mewujudkan peraturan ketat, tetapi melatih mereka dengan rutin yang dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan hasil akademik.

Rasa bertanggungjawab juga merangkumi kesejahteraan diri, seperti kualiti tidur yang baik, senaman berkala, dan hubungan sosial yang sihat, yang berfungsi sebagai pemangkin pembelajaran, bukan gangguan.

Bagi pelajar yang sedang menempuh kebebasan baru atau sedia ada di universiti, mesejnya mudah: perlakukan pembelajaran sebagai latihan kemahiran bersepadu.

Peruntukkan masa berfokus, tumpu kepada pencapaian kecil secara berterusan, dan ingat bahawa usaha yang digabungkan dengan strategi bijak akan membawa keuntungan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada orang sekeliling.

-- BERNAMA

Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)