TINTA MINDA

MEMAKNAI KECEMERLANGAN SEBENAR UNIVERSITI DALAM MEMBINA NEGARA BANGSA

05/01/2026 11:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim

Dalam landskap pendidikan tinggi global hari ini, ranking universiti sering tampil sebagai “fakta sakti” yang menentukan siapa yang dianggap unggul dan siapa sekadar pengikut.

Kedudukan dalam carta antarabangsa bukan sahaja mempengaruhi reputasi institusi, malah membentuk persepsi awam, dasar pembiayaan dan hala tuju strategik universiti.

Namun begitu, persoalan asas yang wajar kita ajukan adalah apakah ranking benar-benar mencerminkan kecemerlangan, atau sekadar mencipta ilusi kejayaan yang dibalut angka?

Hegemoni Metrik dan Penyempitan Makna Ilmu

Penarafan global merupakan salah satu mekanisme penilaian yang wujud dalam ekosistem pendidikan tinggi antarabangsa.

Ia menyediakan gambaran relatif dari sudut tertentu seperti reputasi akademik, penyelidikan dan keterlihatan global.

Namun begitu, apabila ranking diangkat sebagai ukuran mutlak, di situlah bermulanya “hegemoni” apabila universiti dipaksa menyesuaikan identiti dan keutamaan mereka demi memenuhi kriteria seragam yang tidak semestinya adil atau kontekstual.

Fahaman bahawa kejayaan akademik boleh disempitkan kepada bilangan penerbitan, indeks sitasi atau faktor impak jurnal semata-mata adalah sangat dangkal.

Penekanan berlebihan terhadap metrik ini bukan sahaja mengubah budaya akademik, malah berisiko menggalakkan amalan yang bersifat mekanistik, menerbit hanyalah demi angka, bukan lagi demi makna, penyelesaian masalah atau keperluan masyarakat.

Inilah bentuk hegemoni baharu dalam pendidikan tinggi, ukuran global yang kelihatan neutral, tetapi sebenarnya mencorakkan keutamaan universiti di seluruh dunia.

Dalam keadaan ini, universiti bukan lagi bertanya apa yang perlu dilakukan untuk negara dan masyarakat, tetapi apa yang perlu dilakukan untuk menaikkan ranking.

Kecemerlangan Tanpa Roh

Kritikan terhadap kecenderungan kecemerlangan tanpa makna pernah diungkapkan dengan jelas oleh John R. Lewis melalui gagasan “Excellence Without the Soul”. Lewis mengingatkan bahawa universiti yang terlalu obses dengan prestasi terukur akhirnya berdepan paradoks kelihatan cemerlang pada carta, tetapi semakin kehilangan jiwa atau roh, nilai dan tujuan asal ilmu.

Kebimbangan ini turut dikongsi oleh Bill Readings dalam “The University in Ruins”, yang mengkritik konsep “excellence” apabila ia dipisahkan daripada misi intelektual dan tanggungjawab sosial universiti.

Apabila kecemerlangan menjadi slogan tanpa makna substantif, universiti berisiko berubah menjadi gedung pengetahuan yang cekap menghasilkan output, tetapi gagal membina sumber daya insan dan peradaban.

Dalam tradisi keilmuan Islam pula, persoalan ini telah lama dibahaskan. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa krisis pendidikan bukan berpunca daripada kekurangan ilmu atau kemahiran, tetapi kekeliruan terhadap tujuan ilmu.

Apabila ilmu dipisahkan daripada adab dan pandangan alam yang benar, pendidikan akan melahirkan individu yang pintar tetapi tidak semestinya berakhlak atau bertanggungjawab.

Jika ini yang terjadi, universiti yang sepatutnya berperanan sebagai pusat pembinaan insan dan peradaban akan tersasar dari landasan sebenar keberadaannya.

Mendefinisi Makna Kecemerlangan

Berpaksikan kefahaman ini, UMT memberi nilai tinggi kepada sumbangan ahli akademik dalam penggubalan dasar awam dan pembangunan nasional.

Ilmu yang membantu kerajaan merangka dasar keterjaminan makanan, kelestarian marin, perubahan iklim dan pembangunan komuniti pesisir ialah ilmu yang berfungsi, meskipun sumbangannya tidak selalu tercatat dalam pangkalan data sitasi antarabangsa.

Selain itu, kepimpinan akademik dan keupayaan menjadi team player turut dinilai secara serius.

Tradisi Islam sejak zaman al-Farabi hingga ke Ibn Khaldun menegaskan bahawa ilmu berkembang dalam komuniti dan tamadun, bukan dalam keunggulan individu yang terasing.

Universiti yang mapan ialah universiti yang membina kepimpinan kolektif, budaya musyawarah dan rasa tanggungjawab bersama.

Justeru itu, sebagai universiti yang relatifnya muda, UMT sedar bahawa sistem penarafan global lazimnya lebih memihak kepada institusi lama yang memiliki dana besar, jaringan alumni global dan sejarah panjang.

Dalam realiti ini, UMT tidak mungkin berpencak selincah universiti antarabangsa yang telah lama menguasai pentas global.

Namun begitu, kami bukan memilih untuk berundur. Penarafan global dijadikan petunjuk, bukan penentu mutlak, kompas, bukan destinasi.

Dalam masa yang sama, UMT menolak pendirian jumud yang menerima ukuran global tanpa soal, seolah-olah tiada ruang untuk acuan tempatan, nilai sendiri dan kebijaksanaan nasional. Ternyata mekanisme penarafan ini tidak asing dari kritikan.

Misalnya Kayyali.M (2023), menyatakan antara kelemahan kaedah penarafan adalah terlalu memberi fokus kepada petunjuk kuantitatif dan mengesampingkan aspek lain yang lebih penting dalam pendidikan tinggi seperti kualiti pengajaran, pengupayaan komuniti dan juga impak sosial.

Melangkaui Ranking, Membina Peradaban

Malaysia perlu berani mengangkat makna kecemerlangan pendidikan tinggi yang berakar pada nilai, berlandaskan keperluan nasional dan cita-cita peradaban.

Tanpa keberanian ini, universiti tempatan berisiko terperangkap dalam satu bentuk penjajahan baharu, bukan melalui wilayah dan senjata, tetapi melalui indeks, ranking dan definisi kejayaan yang ditentukan oleh pihak luar.

Dalam hal ini, kita meletakkan kepercayaan bahawa Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026-2035) akan menjadikan Malaysia tetap ampuh dan berdaya saing untuk menghadapi rempuhan globalisasi pendidikan tinggi.

Universiti yang benar-benar unggul bukan sekadar universiti yang tinggi kedudukannya, tetapi universiti yang memelihara roh ilmu, menjunjung adab dan berani mendefinisikan kecemerlangan mengikut acuan bangsanya sendiri.

Inilah pendirian UMT. Melangkaui ranking, agar kecemerlangan tidak kehilangan jiwa dan pendidikan tinggi terus menjadi tunjang peradaban negara.

-- BERNAMA

Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)