PENA WANITA

MAKANAN PELENGKAP: SUAPAN KECIL, IMPAK BESAR KEPADA TUMBESARAN ANAK

07/01/2026 10:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Dr Norhasmah Sulaiman

Pemakanan yang mencukupi dan seimbang sejak awal usia merupakan asas penting dalam memastikan kanak-kanak membesar dengan sihat, cerdas dan produktif.

Dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan, bayi mengalami pertumbuhan yang pesat dan memerlukan tenaga serta nutrien tambahan untuk menyokong perkembangan fizikal, mental dan imuniti tubuh.

Bermula pada usia enam bulan, keperluan tenaga dan zat pemakanan bayi meningkat dengan ketara. Pada tahap ini, susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut.

Oleh itu, bayi perlu diperkenalkan kepada makanan pelengkap bagi menampung kekurangan nutrien dan menyokong pertumbuhan optimum.

Makanan pelengkap didefinisikan sebagai makanan tambahan yang diberikan kepada bayi setelah usia enam bulan di samping susu ibu.

Tujuannya adalah untuk melengkapkan keperluan tenaga, protein, serta mikronutrien seperti zat besi, zink dan vitamin yang penting untuk tumbesaran sihat.

Masalah bantut

Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak masih menjadi isu yang membimbangkan di Malaysia.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, sebanyak 21.2 peratus kanak-kanak bawah lima tahun di negara ini mengalami masalah bantut, iaitu keadaan di mana ketinggian mereka lebih rendah daripada paras normal bagi umur yang sama.

Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap pertumbuhan fizikal, malah turut menjejaskan perkembangan otak, tahap kecerdasan dan prestasi pembelajaran kanak-kanak.

Dalam jangka panjang, individu yang mengalami bantut berisiko lebih tinggi untuk menghadapi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung pada usia dewasa.

Antara punca utama masalah bantut ialah pengambilan makanan yang tidak mencukupi dan tidak seimbang, pemberian makanan pelengkap yang tidak sesuai, serta penyakit berulang seperti cirit-birit yang menjejaskan penyerapan zat makanan.

Oleh itu, pemberian makanan pelengkap yang betul dan tepat pada masanya amat penting bagi memastikan bayi mendapat nutrien secukupnya untuk membesar secara sihat.

Ciri makanan pelengkap yang baik

Makanan pelengkap yang baik perlu memenuhi empat ciri utama iaitu cukup, seimbang, selamat dan sesuai.

1. Cukup: Makanan pelengkap hendaklah mengandungi tenaga dan zat pemakanan yang mencukupi. Sebagai contoh, bubur nasi yang dicampur dengan ikan, ayam, sayur dan sedikit minyak boleh meningkatkan kandungan tenaga serta zat besi dan zink.

2. Seimbang: Pastikan makanan mengandungi semua kumpulan makanan seperti karbohidrat, protein, lemak, sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan makanan yang pelbagai membantu melengkapkan keperluan mikronutrien harian bayi.

3. Selamat: Kebersihan perlu diberi perhatian serius. Tangan harus dibasuh sebelum menyediakan makanan, dan makanan yang dimasak perlu disimpan dengan betul bagi mengelak pencemaran atau jangkitan.

4. Sesuai: Tekstur makanan perlu disesuaikan dengan umur dan kebolehan bayi untuk menelan. Mulakan dengan makanan lembut seperti puri, dan beransur-ansur kepada makanan separa pejal sebelum bayi mencapai usia dua tahun.

Peranan ibu bapa

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk asas pemakanan sihat anak-anak.

Amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama dan penerusan penyusuan sehingga usia dua tahun bersama makanan pelengkap yang berkhasiat merupakan strategi terbaik untuk memastikan pertumbuhan optimum.

Intervensi awal amat penting untuk mengelakkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.

Pemakanan yang baik sejak bayi bukan sahaja menjamin tubuh yang sihat, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan kognitif dan prestasi pembelajaran yang lebih baik apabila dewasa kelak.

Pemberian makanan pelengkap yang berkhasiat dan seimbang merupakan pelaburan jangka panjang untuk membentuk generasi Malaysia yang sihat, pintar dan berdaya saing.

Dalam usaha membasmi masalah bantut, kesedaran ibu bapa, bimbingan daripada petugas kesihatan, serta sokongan dasar kerajaan perlu bergerak seiring.

Anak yang mendapat pemakanan seimbang sejak awal kehidupan bukan sahaja membesar dengan tubuh yang kuat, tetapi juga memiliki potensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Prof Dr Norhasmah Sulaiman ialah Ketua Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)