TINTA MINDA

KEMANISAN YANG MEMBEBANKAN KESIHATAN

08/01/2026 02:23 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Nuruliza Roslan dan Faizul Helmi Addnan

“Saya tak makan banyak makanan berlemak, jadi kolesterol saya tentu normal.”

Dalam kehidupan seharian masyarakat kita, kemanisan adalah sesuatu yang sangat biasa.

Minuman manis disajikan pada waktu pagi dan petang, kuih tradisional menghiasi majlis keluarga, dan manisan sering dikaitkan dengan kegembiraan serta kasih sayang.

Sejak dahulu lagi, rasa manis memainkan peranan penting dalam budaya dan tradisi.

Kegembiraan ini bukan sekadar persepsi, malah berkait rapat dengan perembesan hormon dopamin yang diaktifkan melalui sistem ganjaran otak apabila gula diambil.

Apabila gula masuk ke dalam badan, ia mencetuskan rasa kepuasan serta-merta yang sering dikaitkan dengan peningkatan tenaga atau sugar high, memandangkan glukosa merupakan sumber tenaga utama bagi sel otak.

Selain faktor biologi, rasa gembira ini turut diperkukuh oleh faktor psikologi melalui memori nostalgia, di mana makanan manis sering dihidangkan sebagai ganjaran atau semasa sambutan istimewa dalam hidup.

Namun, kegembiraan ini bersifat sementara. Lonjakan gula yang mendadak lazimnya diikuti oleh fasa penurunan atau sugar crash yang boleh menyebabkan keletihan dan perubahan mood.

Justeru, walaupun gula mampu memberikan keceriaan segera, keseimbangan pengambilannya amat penting bagi kestabilan emosi dan kesihatan jangka panjang.

Hakikat biologi dan gula dalam darah

Di sebalik keseronokan rasa manis, terdapat satu hakikat biologi yang semakin relevan dalam dunia moden.

Apabila gula diambil secara berlebihan dan kerap, ia bukan sahaja memberi kesan kepada paras gula darah, malah mempengaruhi pembentukan lemak, paras kolesterol dan risiko penyakit jantung.

Ramai beranggapan bahawa kolesterol tinggi hanya berpunca daripada makanan berlemak atau bergoreng.

Oleh itu, ada yang terkejut apabila keputusan ujian darah menunjukkan paras kolesterol meningkat walaupun mereka jarang mengambil makanan berlemak.

Gula bertukar menjadi lemak

Apa yang sering tidak difahami ialah tubuh manusia mampu menukar gula kepada lemak melalui proses biokimia yang normal, dan proses ini berlaku secara senyap di dalam sel, terutamanya di organ hati.

Apabila kita mengambil makanan atau minuman manis, karbohidrat akan dipecahkan kepada molekul kecil seperti glukosa dan fruktosa yang kemudiannya memasuki aliran darah.

Gula yang terkandung dalam kuih-muih tradisional dan minuman manis lazimnya terdiri daripada sukrosa, yang akan dipecahkan kepada glukosa dan fruktosa.

Molekul-molekul ini digunakan sebagai sumber tenaga oleh sel badan. Namun, badan hanya memerlukan sejumlah glukosa pada satu-satu masa. Apabila pengambilan gula melebihi keperluan tenaga semasa, lebihan ini perlu disimpan.

Pada peringkat awal, gula berlebihan disimpan sebagai glikogen di dalam hati dan otot, tetapi kapasiti simpanan ini adalah terhad.

Apabila simpanan glikogen sudah penuh, badan akan mengaktifkan proses lain yang dikenali sebagai de novo lipogenesis, iaitu pembentukan lemak baharu daripada bahan bukan lemak.

Dalam proses ini, gula bertindak sebagai bahan asas kepada pembentukan lemak. Di dalam hati, glukosa dan fruktosa diuraikan menjadi molekul asetil CoA, yang merupakan bahan binaan utama bagi pembentukan asid lemak dan kolesterol.

Asid lemak ini kemudiannya digabungkan menjadi trigliserida dan sama ada disimpan dalam sel sebagai titisan lemak atau dilepaskan ke dalam darah bersama kolesterol.

Oleh sebab kolesterol dan asid lemak berkongsi bahan asas serta laluan metabolik yang sama, peningkatan penghasilan lemak daripada gula turut boleh menyumbang kepada peningkatan paras kolesterol darah.

Proses ini bukan sekadar teori, sebaliknya merupakan mekanisme biokimia tubuh yang normal.

Apabila gula berlebihan sentiasa hadir dalam darah, hati akan menghasilkan lebih banyak lemak dan trigliserida walaupun tanpa pengambilan lemak yang tinggi dalam diet.

Kesan ini menjadi lebih ketara apabila gula diambil dalam bentuk cecair. Gula dalam minuman diserap dengan cepat dan tidak memberikan rasa kenyang seperti makanan pepejal.

Malaysia dan pengambilan air manis

Di Malaysia, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan lebih daripada separuh orang dewasa mengambil minuman bergula setiap hari, dengan purata pengambilan gula daripada minuman bersamaan kira-kira dua belas sudu teh sehari.

Dapatan terkini juga menunjukkan pengambilan minuman manis berlaku hampir setiap hari, iaitu sekitar satu sajian sehari bagi kebanyakan orang dewasa.

Sebagai perbandingan, satu sajian teh tarik bersaiz sederhana boleh mengandungi sekitar empat sudu teh gula.

Walaupun kajian rentas masa tidak menunjukkan hubungan langsung antara pengambilan minuman bergula dan kolesterol tinggi yang tidak didiagnosis, corak pengambilan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang ke atas status metabolik dan profil lipid darah.

Pengambilan gula yang lebih tinggi dalam kalangan orang dewasa

Kajian lain di Malaysia yang melibatkan golongan dewasa berusia menunjukkan hubungan yang lebih jelas.

Dalam kalangan warga emas, pengambilan gula yang lebih tinggi dikaitkan dengan paras kolesterol dan trigliserida yang hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil kurang gula.

Dapatan ini menunjukkan bahawa pengambilan gula berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada profil lipid walaupun tanpa kehadiran obesiti atau sindrom metabolik yang ketara.

Bukan hanya di Malaysia

Hubungan antara gula, trigliserida dan kolesterol bukan hanya terhad di Malaysia.

Kajian berskala besar di United Kingdom mendapati bahawa pengambilan gula tambahan yang tinggi, khususnya daripada minuman, dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian keseluruhan.

Walaupun mekanisme yang menghubungkan gula kepada penyakit ini adalah kompleks, data epidemiologi menyokong bahawa pengambilan gula yang tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung dan gangguan metabolik.

Dalam sel badan, lemak disimpan dalam struktur khas yang dikenali sebagai titisan lipid. Dalam keadaan seimbang, titisan ini berfungsi sebagai simpanan tenaga sementara.

Namun, apabila gula diambil secara berterusan dalam jumlah yang tinggi, titisan lipid menjadi lebih besar dan banyak, terutamanya dalam sel hati dan sel lemak. Keadaan ini mengganggu fungsi sel, termasuk kepekaan insulin dan pengurusan kolesterol.

Perubahan secara perlahan

Perubahan ini berlaku secara perlahan dan tidak menunjukkan gejala awal yang jelas. Seseorang boleh berasa sihat walaupun perubahan metabolik sedang berlaku.

Inilah sebabnya mengapa kolesterol tinggi sering digelar penyakit senyap.

Ramai hanya menyedari keadaan mereka apabila ujian darah menunjukkan paras kolesterol dan trigliserida yang tinggi atau apabila komplikasi seperti penyakit jantung mula muncul.

Data NHMS juga menunjukkan sebahagian besar individu dengan diabetes atau kolesterol tinggi tidak menyedari keadaan mereka.

Kolesterol sebenarnya penting untuk fungsi normal tubuh, termasuk pembentukan membran sel, hormon, asid hempedu dan vitamin D.

Namun, apabila paras kolesterol dan trigliserida berada pada tahap tidak sihat, ia boleh mendap di dinding salur darah, menyebabkan salur menjadi sempit dan kurang anjal, sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

Saranan WHO

Sehubungan itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia mengesyorkan agar pengambilan gula bebas dikurangkan kepada kurang daripada sepuluh peratus jumlah tenaga harian, dan idealnya sekitar lima peratus untuk manfaat kesihatan tambahan, iaitu tidak lebih daripada lima puluh gram gula tambahan sehari bagi diet dua ribu kalori.

Perbincangan ini bukan bertujuan menakutkan atau menyalahkan makanan tradisi. Gula mempunyai tempatnya dalam kehidupan, terutamanya dalam perayaan dan detik kegembiraan.

Namun, apabila kemanisan menjadi rutin harian dan bukan lagi kenikmatan sekali-sekala, tubuh terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan keseimbangan metabolik. Dalam jangka panjang, beban ini boleh membawa kepada perubahan serius dalam sel hati dan sel lemak.

Tubuh manusia sangat sabar dan mampu menyesuaikan diri, tetapi ia juga mempunyai ingatan metabolik.

Perubahan yang berlaku hari ini di peringkat sel akan menentukan kesihatan pada masa hadapan.

Dengan memahami bahawa gula boleh bertindak sebagai prekursor kepada pembentukan lemak dan kolesterol, kita dapat melihat gula bukan sekadar rasa manis, tetapi faktor penting dalam keseimbangan kesihatan.

Menjaga kesihatan tidak bermaksud menolak tradisi atau menghilangkan kegembiraan hidup. Ia bermaksud mengembalikan konsep keseimbangan, agar kemanisan dinikmati dengan kesedaran, bukan menjadi beban harian.

Dengan pilihan kecil yang konsisten, kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah generasi akan datang.

-- BERNAMA

Nuruliza Roslan ialah Penyelidik Biologi Sel, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FSPK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) manakala Faizul Helmi Addnan ialah Penyelidik Nutrisi Pemakanan universiti sama serta kedua-duanya ialah pensyarah di FSPK.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)