TINTA MINDA

MELANGKAH KE RAMADAN: PERSEDIAAN DAN PERANCANGAN AMALAN

23/02/2026 03:55 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Ts Inv Mahmod Abd Hakim Mohamad dan Dr Mohd Shafiq Sahimi

Setiap kali Ramadan menghampiri, ia hadir sebagai tetamu agung yang membawa rahmat, keampunan dan peluang perubahan diri.

Persoalan besar yang patut direnungi oleh setiap Muslim ialah: adakah ini Ramadan terakhir buat kita?

Tiada siapa mengetahui baki umur yang tersisa.

Justeru, menyambut Ramadan bukan sekadar menunggu suasana, tetapi perlu disertai persediaan menyeluruh rohani, jasmani dan fizikal serta disusun dengan perancangan amalan yang jelas agar setiap detik dimanfaatkan dengan penuh kesedaran dan kesungguhan.

Dalam tuntutan Islam, Ramadan adalah madrasah tarbiah yang membentuk takwa. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)

Kewajipan berpuasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi mendidik jiwa agar patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Jika inilah Ramadan terakhir, maka inilah peluang terakhir untuk memperbaiki hubungan dengan Allah, melangsaikan kelompongan ibadah, serta memohon keampunan dengan sebenar-benar penyesalan.

Perancangan Amalan Utama Sepanjang Ramadan

Memperbanyakkan Bacaan al-Quran

Ramadan adalah bulan al-Quran. Allah SWT berfirman: “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.”
(Surah al-Baqarah: 185)

Nabi SAW juga memperbanyakkan tilawah pada bulan ini. Dalam hadis sahih disebut:

“Jibril bertemu Nabi SAW setiap malam di bulan Ramadan lalu bertadarus al-Quran Bersama Baginda.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Amalan para salaf sangat luar biasa dalam hal ini. Imam al-Bukhari dikatakan mengkhatamkan al-Quran setiap hari pada siang Ramadan dan setiap tiga malam pada malamnya.

Selain itu, Imam al-Syafi‘i pula diriwayatkan mengkhatamkan al-Quran sekitar 60 kali sepanjang Ramadan.

Ini menunjukkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan membaca al-Quran, tetapi bulan untuk hidup bersama al-Quran membaca, memahami dan mentadabbur.

Hakikat Puasa: Menahan Dosa, Bukan Sekadar Lapar

Puasa bukan hanya menahan makan dan minum, tetapi puasa seluruh anggota daripada maksiat. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Puasa yang sebenar ialah, lidah berpuasa daripada mengumpat, mata berpuasa daripada melihat yang haram, telinga berpuasa daripada mendengar perkara sia-sia dan hati berpuasa daripada hasad dan dendam.

Inilah puasa yang membentuk takwa, bukan sekadar menahan lapar.

Iktikaf: Mengosongkan Hati dari Dunia

Iktikaf bukan sekadar duduk di masjid, tetapi usaha mengosongkan hati, jiwa dan akal daripada urusan dunia buat sementara waktu.

Nabi SAW bersabda: “Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadan sehingga Baginda wafat.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Tujuan sebenar iktikaf ialah, memutuskan diri dari kesibukan dunia, menumpukan hati kepada Allah dan membersihkan jiwa melalui zikir, doa dan tilawah.

Ia adalah latihan untuk menghidupkan jiwa dan membina hubungan yang lebih dekat dengan Allah.

Sedekah dan Menyantuni Golongan Lemah

Ramadan juga bulan kebajikan. Nabi SAW adalah manusia paling pemurah, dan Baginda lebih pemurah lagi dalam Ramadan.

Ibnu Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia paling pemurah, dan Baginda lebih pemurah pada bulan Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari)

Amalan sedekah termasuklah, memberi makan kepada fakir miskin, membantu keluarga susah dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Ia bukan sekadar memberi harta, tetapi menyucikan jiwa daripada sifat bakhil.

Qiyamullail: Pakaian Orang Soleh

Bangun malam adalah amalan orang soleh dan jalan mengejar Lailatul Qadar.

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang bangun malam pada bulan Ramadan dengan iman dan mengharap pahala, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Qiyamullail ialah pakaian para solihin iaitu ia menghidupkan hati, mendekatkan diri kepada Allah dan memburu malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

Memberi Makan Orang Berbuka

Antara amalan yang sangat dituntut ialah memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahala orang tersebut sedikit pun.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ini termasuklah, menyediakan juadah berbuka, menaja makanan di masjid dan berkongsi rezeki dengan jiran dan sahabat.

Ramadan: Madrasah Membentuk Takwa

Melangkah ke Ramadan memerlukan persiapan rohani yang terancang.

Niat perlu diperbaharui, sasaran ibadah ditetapkan, dan hati dibersihkan dengan taubat serta memohon maaf sesama manusia.

Tubuh pula dilatih melalui pengurusan pemakanan dan kesihatan agar mampu beribadah dengan konsisten.

Ramadan tidak memisahkan manusia daripada amanah dunia. Bahkan bekerja dengan jujur dan amanah dalam bulan puasa adalah sebahagian daripada ibadah.

Disiplin puasa sepatutnya meningkatkan integriti, kesabaran dan fokus dalam kehidupan harian.

Kesedaran bahawa ini mungkin Ramadan terakhir akan melahirkan kesungguhan yang luar biasa.

Ia mendorong manusia untuk memperbanyakkan tilawah, menjaga anggota daripada dosa, memperbanyakkan sedekah, menghidupkan malam, dan mendekatkan diri kepada Allah.

Bezanya jelas antara mereka yang hanya melalui Ramadan, dan mereka yang benar-benar dibentuk oleh Ramadan.

-- BERNAMA

Ts Inv Mahmod Abd Hakim Mohamad (hakim@Uthm.Edu.My) ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Dr Mohd Shafiq Sahimi (mohdshafiq@Uthm.Edu.My) ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam (Kampus Pagoh) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)