Oleh Nuruliza Roslan dan Faizul Helmi Addnan
Bulan Ramadan bagi tahun masihi 2026 atau 1447 hijrah kembali lagi menemui seluruh kaum muslimin dan muslimat.
Bulan Ramadan difahami sebagai bulan yang penuh dengan kemuliaan dan ganjaran-ganjaran yang tidak ada pada 11 bulan yang lain.
Umat Islam difardhukan untuk berpuasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari, dan pada malamnya dihiasi dengan tuntutan amalan-amalan sunat seperti solat bertarawih.
Allah SWT berfirman di dalam Quran, Surah Al-Baqarah 2:183. “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Bulan Ramadan juga sangat sinonim dengan gelaran bulan al-Quran, kerana al-Quran yang mulia itu diturunkan di dalam bulan ini. Allah SWT menyebutkan dengan jelas di dalam Quran, Surah al-Baqarah 2:185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.….”
Al-Quran merupakan mukjizat yang agung yang diwariskan kepada seluruh umat manusia. Al-Quran hendaklah dijadikan sebagai petunjuk utama dalam kehidupan.
Kehidupan yang berpandukan Al-Quran dijanjikan dengan kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Bulan Ramadan, kita menyaksikan banyak halaqah-halaqah al-Quran diwujudkan untuk bertadarus al-Quran.
Tadarus al-Quran dilaksanakan di masjid/surau, institusi pengajian, sekolah, tempat kerja, komuniti masyarakat, mahupun di rumah masing-masing.
Keutamaan-keutamaan atau ganjaran-ganjaran yang Allah jadikan di dalam bulan Ramadan, memberikan suatu bentuk motivasi yang sangat kuat bagi umat Islam untuk beribadah dengan mutu yang terbaik, dan hasil dari pelakuan ibadah ini adalah untuk meraih TAQWA di sisi Allah SWT.
Untuk meraih status TAQWA, status yang sangat tinggi dan sangat bernilai di sisi Allah SWT.
Inilah status yang Allah mahukan untuk umat Islam raih. Mudah-mudahan status TAQWA yang diraih dalam bulan Ramadhan berkekalan di bulan-bulan yang lain sehinggalah roh berpisah daripada jasad.
Makna Ramadan
Secara etimologi, kalimah Ramadan dengan kata akarnya di dalam Bahasa Arab iaitu (رمض) bermaksud panas yang sedang semakin hangat. Menurut tafsir al-Qurtubi, 2/290:
Maksudnya: “(Kalimah Ramadan itu) diambil dari perkataan (ramada iaitu) yang membawa maksud kepanasan yang dilalui oleh orang yang berpuasa itu iaitu ketika terasa panasnya organ perutnya kerana terlalu haus.”
Di dalam tafsir al-Qurtubi (2/290) juga, Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa seakan-akan kepanasan ini meleburkan dosa melalui amalan soleh manusia.
Nabi (ﷺ) juga menggunakan kalimah ramada yang membawa maksud panas.
Hadis yang direkodkan di dalam Sahih Muslim bermaksud “Zaid b. Arqam, apabila melihat beberapa orang sedang solat di waktu pagi, berkata: Mereka mengetahui bahawa solat pada waktu selain ini adalah lebih utama, kerana Rasulullah (ﷺ) bersabda: Solat al-Awwabin (solat orang-orang yang bertaubat) dilaksanakan apabila anak-anak unta merasai panasnya matahari.”
Individu yang berpuasa, maka tiada makanan mahupun air masuk ke dalam perutnya (sistem penghadaman) sepanjang tempoh berpuasa.
Sahur yang dikerjakan dengan pengambilan makanan dan minuman adalah amat bermanfaat pada tubuh badan.
Makanan yang diambil menjadi sumber tenaga agar tubuh badan dapat menjalankan fungsi-fungsi fisiologinya, dan dapat melaksanakan kewajipan seharian seperti bekerja, menuntut ilmu, menguruskan rumah tangga dan sebagainya.
Fungsi-fungsi fisiologi badan amat bergantung kepada tenaga yang dibekalkan di dalam bentuk molekul ATP (adenosine triphosphate).
Hubungkait ATP dan Kepanasan?
Tahukah anda bahawa di sebalik istilah "panas" ini, tersirat satu proses biologi yang luar biasa di dalam sel badan kita?
Apabila kita berpuasa, tubuh kita sebenarnya sedang "memanaskan" enjin dalamannya melalui peralihan metabolisma yang intensif.
Pertama ialah "pembakaran" lemak dari glukosa ke badan keton iaitu dalam keadaan tidak berpuasa, badan kita ibarat enjin yang menggunakan bahan api yang mudah terbakar (glukosa).
Namun, semasa Ramadan, apabila bekalan glukosa berkurangan, badan beralih kepada lemak simpanan.
Proses pengoksidaan asid lemak (beta-oxidation) di dalam mitokondria adalah proses yang menghasilkan tenaga haba yang signifikan.
Secara simboliknya, Ramadan "membakar" simpanan lemak yang berlebihan, menukarkannya menjadi tenaga haba dan ATP untuk kelangsungan hidup.
Proses kedua ialah Uncoupling Proteins (UCPs) iaitu "haba" sebagai mekanisma pembersihan. Aktiviti ini meningkat semasa puasa.
Memberikan kesan termogenik iaitu UCPs membenarkan proton "bocor" keluar daripada laluan penghasilan ATP dan menukarkannya secara langsung kepada haba.
Istilah "panas" dalam Ramadan tercermin di sini. Walaupun kecekapan penghasilan ATP sedikit berkurang, tenaga tersebut tidak hilang begitu sahaja—ia dibebaskan sebagai haba (termogenesis).
Haba ini adalah tanda bahawa sel kita sedang bekerja keras melakukan "pembersihan dalaman" (autofagi) dan mengurangkan tekanan oksidatif.
Seterusnya metabolisma ATP iaitu kualiti melebihi kuantiti.
Semasa kita merasa "panas" atau sedikit lemah di siang hari Ramadan, itu adalah tanda sel-sel kita sedang melakukan penyesuaian bioenergetik.
Optimalisasi rantai pengangkutan elektron (ETC) bekerja lebih keras untuk memastikan setiap molekul bahan api dioksidakan dengan bersih.
Kajian biokimia terkini menunjukkan bahawa suhu mikro di dalam mitokondria boleh meningkat semasa fasa puasa yang panjang.
Peningkatan "suhu" dalaman ini sebenarnya membantu enzim-enzim tertentu berfungsi lebih cepat dalam proses pembaikan DNA.
Terakhir ialah simbolik panas - membakar yang rosak, meninggalkan yang murni.
Sama seperti haba matahari yang membakar kuman atau membersihkan tanah, "haba" metabolik semasa Ramadan membakar rintangan insulin lalu menjadikan sel lebih peka; dan membakar mitokondria yang rosak melalui proses mitofagi serta membakar radikal bebas dengan mengalihkan aliran proton melalui UCPs.
Kesimpulan
Ramadan bukan sekadar nama bagi bulan yang panas teriknya.
Ia adalah refleksi kepada proses biokimia di mana tubuh kita 'membakar' segala sisa toksik dan lemak berlebihan, lalu mengubahnya menjadi tenaga yang lebih bersih.
'Haba' yang kita rasai melalui rasa lapar dan dahaga sebenarnya adalah proses pembersihan besar-besaran di peringkat ATP dan mitokondria, memastikan kita keluar daripada bulan ini dengan sistem yang lebih murni dan cekap.
-- BERNAMA
Nuruliza Roslan ialah Penyelidik Biologi Sel dan Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Faizul Helmi Addnan, Penyelidik Nutrisi Pemakanan dan Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).