Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Golongan asnaf khususnya pelajar-pelajar sekolah di negara bertuah ini sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan oleh banyak pihak melalui bantuan serta sokongan asas, demi memastikan kelangsungan akademik mereka terus terpelihara.
Kelangsungan akademik merujuk kepada keupayaan pelajar mengekalkan kesinambungan pembelajaran serta prestasi akademik secara konsisten, meskipun berdepan pelbagai tekanan termasuk cabaran kemiskinan.
Ia merangkumi keupayaan mengurus keletihan dan tekanan emosi, menangani kekangan kewangan, serta mengekalkan motivasi dan daya tahan diri bagi memastikan pencapaian akademik yang berterusan dan cemerlang.
Keprihatinan pelbagai pihak ini bertujuan membebaskan golongan tersebut daripada belenggu kemiskinan tegar yang sekian lama menghimpit kehidupan mereka, sekali gus mengekang kesan negatif yang berpotensi menjejaskan prestasi akademik.
Kekurangan sumber, persekitaran pembelajaran di rumah yang tidak kondusif, dan tahap pendidikan ibu bapa yang rendah mengehadkan peluang pelajar untuk mencapai kecemerlangan, yang mungkin menyebabklan mereka berasa tidak seronok ke sekolah.
Kajian Nor Aniza dan Abdul Razaq (2016) mendapati pemerkasaan holistik pelajar asnaf melalui pelaksanaan modul pembelajaran yang berstruktur memberi kesan yang signifikan dalam meningkatkan motivasi akademik, kemahiran komunikasi, keyakinan diri, disiplin, kepimpinan serta daya tahan yang mampu menyokong kejayaan dan kelangsungan akademik mereka hingga ke menara gading.
Sementara Zuraidah dan rakan-rakan (2019) dalam kajian mereka merumuskan bahawa peranan ibu bapa dan keluarga, guru dan sekolah, serta persekitaran seharusnya bersama-sama menggembleng tenaga untuk memastikan pencapaian akademik anak-anak fakir miskin lebih cemerlang.
Lazimnya, pelbagai pihak yang prihatin akan menggerakkan inisiatif melalui program akademik untuk pelajar sekolah dalam kalangan asnaf. Mereka dibimbing secara sistematik oleh para guru bagi memastikan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.
Program Pusat Tuisyen MADANI
Program Pusat Tuisyen MADANI (PPTM) adalah usaha terkini yang digerakkan oleh Persatuan Alumni Yayasan Akademik Anda (PAYAAM) dan Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM).
Antara objektif PPTM ini termasuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa asnaf untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen, serta meningkatkan minat pelajar tersebut terhadap pendidikan melalui kelas tuisyen yang efektif.
Program Tuisyen MADANI ini merupakan cetusan idea Pengerusi PAYAAM, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim yang mahu melihat anak-anak asnaf cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengerusi PAYAAM itu percaya melalui kerjasama semua pihak terlibat khususnya guru-guru sekolah mampu menghasilkan keputusan SPM yang positif seperti diharapkan.
Mulai Mac hingga Oktober ini, sebanyak 50 buah sekolah terpilih di setiap negeri di seluruh Semenanjung akan terlibat, membabitkan 2,000 pelajar Islam daripada golongan asnaf yang mempunyai prestasi akademik sederhana untuk menyertai program PPTM ini.
Tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik dipilih untuk program rintis ini dengan penglibatan 150 guru sekolah yang akan menggerakkan kelas-kelas tuisyen berkenaan.
Mereka dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan membimbing pelajar di sekolah masing-masing melalui dua sesi pertemuan pada hari Sabtu setiap bulan, dengan fokus utama meningkatkan tahap persediaan peserta menghadapi SPM.
Kelas tuisyen ini akan berpandukan modul khas yang dihasilkan oleh tiga guru pakar yang menekankan teknik menjawab dan latihan berfokus bagi setiap mata pelajaran berkenaan.
Tanggungjawab Sosial
Lebih menarik ia dilaksanakan secara percuma hasil pembiayaan sepenuhnya oleh CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) yang terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sosial melalui dana zakat korporat mereka.
Program ini mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia yang tentunya turut mengharapkan pencapaian positif kumpulan pelajar tersebut hasil usaha yang digerakkan oleh PAYAAM, YPPM dan CIMB Islamic.
Daripada perspektif yang lebih luas, pelaksanaan PPTM ini mendukung Matlamat Pembangunan Mampan 4 (Pendidikan Berkualiti) atau SDG 4 yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Agenda 2030.
Hal ini membawa maksud untuk memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama dapat dicapai serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada kumpulan rentan.
Dengan lain perkataan, SDG 4 melihat pendidikan sebagai asas utama untuk mengurangkan kemiskinan, meningkatkan kesejahteraan dan membina masyarakat yang mampan.
Kajian Impak
Keberkesanan program ini tidak dapat dinilai dari segi kualiti pencapaian mereka sekiranya kajian impak terhadap hasil yang diusahakan tidak dilaksanakan.
Maka, pihak penganjur telah melantik sekumpulan ahli akademik dari beberapa universiti tempatan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Mereka akan menjalankan kajian impak untuk melihat keberkesanan program tersebut. Antara aspek yang akan dikaji termasuk peningkatan akademik, aspek keyakinan dan semangat pelajar-pelajar, komitmen guru-guru terlibat serta sokongan ibu bapa.
Data-data juga dikumpul berdasarkan kehadiran, tingkah laku dan maklum balas para peserta terhadap program ini.
Sekiranya program ini mencapai kejayaan seperti yang dihasratkan iaitu 65 peratus pelajar menunjukkan peningkatan dalam prestasi akademik mereka, penulis yakin penganjur akan meneruskannya pada tahun-tahun mendatang, memandangkan ia usaha yang baik dalam membantu lebih ramai anak asnaf mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM.
Jelas bahawa penglibatan pelbagai pihak mampu merealisasikan hasrat untuk membantu pelajar asnaf keluar daripada risiko keciciran, sekali gus memastikan kelangsungan akademik mereka serta memperkasa potensi diri demi menggapai masa depan yang cemerlang.
-- BERNAMA
Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Profesor, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan, dan Panel Penasihat Akademik Program Pusat Tuisyen Madani, Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM).