TINTA MINDA

MENGUKUR PRESTASI ATAU MENAMBAH TEKANAN KERJA?

25/03/2026 09:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Khairunesa Isa

Di institusi pengajian tinggi, tugas seorang ahli akademik kini jauh melangkaui batas pengajaran semata-mata.

Selain menyediakan bahan kuliah dan memuat naiknya ke dalam sistem digital, mereka juga perlu menyemak puluhan tugasan dalam tempoh yang singkat, menghadiri pelbagai mesyuarat, menyertai bengkel pembangunan profesional, menjalankan penyelidikan, serta menerbitkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi.

Tambahan pula, sumbangan kepada khidmat masyarakat dan aktiviti perundingan turut diambil kira sebagai satu daripada kriteria dalam proses kenaikan pangkat.

Tanggungjawab akademik yang dahulunya bersifat seimbang dan bermakna kini berubah menjadi beban kerja yang bertindih dan berterusan, sehingga memerlukan daya tahan emosi dan mental yang tinggi.

Keadaan ini sememangnya suatu kelaziman yang digemari oleh mereka yang memilih kerjaya akademik.

Namun begitu, dalam persekitaran kerja dan landskap global yang semakin kompleks, mekanisme penilaian prestasi wajar diteliti semula agar keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi ahli akademik dapat dipelihara.

Fenomena ini tidak terhad kepada dunia akademik.

Dalam pelbagai sektor lain, termasuk sektor awam dan swasta, prestasi kerja semakin banyak ditentukan melalui angka dan sasaran.

Sistem Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) menjadi kerangka penilaian utama.

Namun, persoalan penting perlu diajukan: adakah sistem berasaskan kuantiti ini benar-benar mampu meningkatkan mutu kerja dan pembangunan insan, atau ia sekadar menjerumuskan warga kerja ke dalam budaya tekanan yang dianggap normal?

Tekanan yang Dianggap Normal

Dalam landskap kerja moden, tekanan kerja sering kali dianggap lumrah.

Namun, hanya kerana tekanan itu meluas, tidak bermakna ia wajar diterima tanpa penilaian semula.

Normalisasi terhadap beban kerja melampau sebenarnya adalah satu kekeliruan yang boleh membawa risiko jangka panjang kepada kesejahteraan organisasi dan individu.

Kajian yang dijalankan di sebuah universiti awam pada tahun 2023 mendapati bahawa pensyarah muda adalah antara kumpulan paling terkesan.

Lebih 60 peratus responden menyatakan bahawa tekanan untuk menerbitkan artikel dan memenuhi KPI penyelidikan telah melemahkan motivasi mereka dalam pengajaran dan mengganggu hubungan akademik dengan pelajar.

Hakikat ini menunjukkan bahawa isu yang dihadapi bukan sekadar berkaitan pengurusan masa, tetapi turut menyentuh soal nilai dan makna kerja akademik itu sendiri.

Penilaian atau Pengawasan?

Ramai pekerja kini merasakan diri mereka sentiasa diperhatikan, walaupun tanpa kehadiran fizikal pengurus atau penyelia.

Rasa seolah-olah diawasi secara berterusan ini adalah manifestasi kepada budaya pengurusan mikro yang semakin tersebar.

Pekerja bukan sahaja diminta mengisi laporan kemajuan secara berkala, malah perlu melaporkan hampir setiap aktiviti kecil harian sebagai tanda prestasi.

Sistem KPI, yang pada asalnya bertujuan menstrukturkan sasaran kerja, akhirnya boleh bertukar menjadi alat kawalan yang menjejaskan kesejahteraan psikologi.

Dalam konteks ini, teori Self-Determination atau Penentuan Kendiri memberi penjelasan penting.

Menurut teori ini, tiga elemen utama diperlukan untuk membina kesejahteraan dalam kerja iaitu autonomi, rasa kecekapan dan keterikatan sosial.

Apabila sistem penilaian terlalu tertumpu kepada kawalan luaran dan ukuran angka, maka ketiga-tiga unsur ini mudah terhakis.

Kesannya termasuk penurunan motivasi intrinsik, peningkatan rasa terasing dan kemerosotan kepuasan kerja secara keseluruhan.

Apabila Nilai Kemanusiaan Terpinggir

Satu lagi kesan ketara daripada sistem penilaian berasaskan angka ialah pengabaian terhadap nilai empati, kreativiti dan hubungan kemanusiaan.

Dalam bidang akademik, tekanan terhadap penerbitan telah menyebabkan ramai pensyarah memilih kajian yang mudah diterbitkan dan bersifat selamat, berbanding kajian akar umbi atau berbentuk komuniti yang memerlukan masa dan penglibatan mendalam.

Kajian berbentuk holistik ini sering kali tidak diberi nilai setara dalam sistem penilaian semasa kerana kesukaran untuk diukur dalam bentuk kuantitatif.

Dalam bidang pengajaran pula, masa dan tenaga pensyarah semakin banyak dihabiskan untuk dokumentasi dan pematuhan kepada sistem pemantauan.

Pelajar yang sepatutnya dibimbing sebagai insan secara holistik kadangkala dilihat hanya sebagai unit yang perlu dilaporkan dalam statistik.

Proses pendidikan semakin cenderung menjadi rutin pentadbiran, manakala interaksi manusiawi semakin terpinggir.

Persoalan yang timbul ialah adakah sistem ini benar-benar menyumbang kepada kemenjadian pelajar, atau sekadar mencukupkan keperluan audit dan pematuhan prosedur?

Fenomena yang sama juga berlaku dalam sektor kesihatan, perkhidmatan sosial dan pendidikan asas.

Kajian dalam bidang pengurusan awam dan psikologi organisasi menunjukkan bahawa petugas sektor awam semakin berasa bahawa tugas mereka lebih tertumpu kepada pematuhan prosedur dan pencapaian angka, berbanding usaha memberi perkhidmatan yang bernilai tinggi dan bermakna kepada masyarakat.

Krisis Senyap Dalam Organisasi

Laporan Gallup pada tahun 2022 melaporkan bahawa lebih 75 peratus pekerja di seluruh dunia mengalami tekanan kerja yang tinggi.

Di Malaysia, kajian universiti tempatan menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara beban kerja berasaskan KPI dengan keletihan kerja, niat untuk berhenti kerja, serta penurunan komitmen terhadap organisasi. Ini bukan andaian, tetapi satu corak yang semakin jelas.

Dalam sektor akademik, ramai tenaga pengajar muda kini memilih untuk meninggalkan dunia pendidikan atau berhijrah ke sektor yang menawarkan fleksibiliti kerja dan keseimbangan hidup yang lebih baik.

Keputusan ini bukan sahaja satu kehilangan bakat, tetapi juga satu isyarat kepada krisis senyap dalam ekosistem pembangunan ilmu.

Menuju Penilaian yang Seimbang dan Manusiawi

Kritikan terhadap sistem KPI tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai penolakan terhadap keperluan penilaian.

Penilaian kerja adalah penting, tetapi mesti dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih realistik, menyeluruh dan manusiawi.

Selain metrik kuantitatif, elemen kualitatif seperti maklum balas rakan sekerja, kepuasan pelajar, nilai kepimpinan, kreativiti dalam pengajaran dan sumbangan terhadap kesejahteraan organisasi perlu diberikan ruang sewajarnya.

Sistem penilaian kerja seharusnya menjadi alat yang menyokong pertumbuhan insan, bukan struktur yang membelenggu potensi mereka.

Kita perlu bergerak daripada budaya kawalan yang ketat kepada budaya memperkasa.

Daripada mengejar angka tanpa makna, kita perlu kembali kepada matlamat asal kerja itu sendiri, iaitu menyumbang, memajukan dan membina manusia.

Biarpun kadang kala tekanan itu perlu untuk mencapai matlamat yang mustahil namun, perlu diingat bahawa pekerja adalah aset yang perlu terus dijaga untuk kelestarian organisasi.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)