Kehadiran Syawal sentiasa dinanti-nantikan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.
Ia merupakan simbol hari kemenangan apabila manusia berjaya menahan nafsu, mendidik jiwa, memperbaiki akhlak, serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dan sesama makhluk.
Namun, dalam masyarakat hari ini yang hidup dalam era teknologi dan sentiasa merujuk media sosial, timbul persoalan yang wajar direnungkan bersama iaitu adakah kita mampu mengekalkan nilai adab, kesederhanaan, dan benar-benar menghayati makna sebenar Syawal?
Syawal bukan sekadar penamat kepada Ramadan, tetapi kesinambungan kepada proses pembentukan diri secara zahir dan batin.
Disiplin dan amalan yang dijalani sepanjang bulan puasa sepatutnya menjadi asas untuk kita menjadi insan yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang.
Oleh itu, Aidilfitri bukan hanya ruang untuk meraikan kemeriahan luaran, tetapi juga detik untuk mensyukuri kemenangan rohani yang dicapai.
Bersederhana, Elak Pembaziran
Dalam keterujaan menyambut hari raya, masyarakat wajar berhati-hati agar tidak terperangkap dalam budaya mengikut trend.
Tidak salah membeli pakaian baharu, menyediakan hidangan istimewa atau menghias rumah bagi memeriahkan suasana.
Namun, kegembiraan itu tidak perlu diterjemahkan melalui kemewahan berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran.
Misalnya, baju raya tidak perlu mahal untuk membawa makna kepada sambutan Aidilfitri.
Kesopanan, keselesaan, kesederhanaan dan rasa syukur terhadap nikmat yang dimiliki jauh lebih penting.
Kadangkala, pakaian harian atau pakaian kerja kita sudah cukup kemas untuk dipakai pada hari raya.
Bahkan, ada pakaian di almari yang belum pernah digunakan maka, menjadikannya baju raya tahun ini adalah pilihan yang bijak, asalkan diraikan dengan rasa syukur, bukan semata-mata mengikuti trend.
Jika direnungkan dari perspektif lain, ada insan yang menjadikan pakaian seperti itu sebagai “baju raya” mereka.
Malah mereka tetap menyambutnya dengan penuh rasa syukur.
Aidilfitri juga merupakan simbol kembali kepada fitrah, keadaan jiwa yang lebih bersih, tenang, penuh kesyukuran, dan lebih beradab setelah melalui latihan spiritual sepanjang Ramadan.
Sambutan Syawal seharusnya menjadi kesinambungan kepada disiplin yang telah dibina, sama ada dari sudut ibadah, penjagaan kesihatan, mahupun pembentukan akhlak.
Kesederhanaan masyarakat ketika menyambut hari raya juga mampu menjadi penawar kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kadang kala kurang berkemampuan tidak semestinya bermaksud kekurangan material sahaja.
Ada juga yang sedang melalui ujian hidup seperti kehilangan ahli keluarga atau ditimpa musibah, dan mereka mungkin tidak memiliki kekuatan emosi yang sama untuk meraikan Aidilfitri seperti kebiasaan.
Kesedaran ini wajar menumbuhkan empati serta rasa syukur dalam diri kita yang masih dikurniakan keamanan dan kecukupan.
Dalam dunia global dan banyak berpandu kepada media sosial, nilai adab ketika menyambut Aidilfitri juga semakin penting untuk dihayati.
Hari raya bukan sekadar kemeriahan, tetapi juga tentang bagaimana manusia memuliakan hubungan sesama insan.
Tradisi bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi, serta saling mendoakan antara satu sama lain adalah amalan yang menjadikan sambutan Syawal begitu bermakna.
Hal ini sangat berkait seperti yang diingatkan oleh tokoh pemikir tersohor, Alhamrhum Syed Muhammad Naquib al-Attas iaitu cabaran masyarakat hari ini bukan kerana ketiadaan ilmu, tetapi kerana semakin hilangnya adab.
Ungkapan ini relevan apabila menilai cara kita meraikan perayaan.
Dalam konteks ini kita dapat melihat bahawa ilmu dan kemajuan boleh berkembang, tetapi tanpa adab, nilai sesuatu tradisi boleh terhakis.
Tanda Prihatin dan Hormat
Dalam konteks semasa, dunia juga sedang berhadapan pelbagai konflik dan krisis kemanusiaan.
Peperangan yang masih berlarutan di beberapa wilayah Timur Tengah mengingatkan kita bahawa tidak semua insan berpeluang menyambut hari raya dalam suasana aman dan selesa.
Sebahagian daripada mereka kehilangan rumah, keluarga, dan keselamatan asas.
Oleh itu, kesederhanaan semasa menyambut Syawal, menunjukkan bahawa kita turut menghormati keadaan yang menimpa nasib saudara sesama kita.
Jika menoleh sebentar pengalaman beraya pada zaman dahulu, keindahannya terpancar melalui adab dan kesederhanaan.
Anak-anak duduk di hadapan ibu bapa atau orang tua, menundukkan kepala sambil bersalam memohon maaf dengan penuh ikhlas.
Tangan dipegang erat, ucapan maaf dilafazkan dari hati, dan suasana menjadi hening dengan rasa hormat serta kasih sayang.
Detik ringkas ini sarat dengan nilai kemanusiaan.
Tradisi ziarah-menziarahi keluarga, jiran, dan sahabat handai adalah keindahan Syawal yang wajar dipelihara.
Melalui kunjungan tersebut, hubungan kekeluargaan diperkukuh, dan rasa kebersamaan dalam masyarakat terus disemai.
Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak pula boleh dilihat sebagai lambang kegembiraan serta perkongsian rezeki yang sederhana.
Namun kaedah dan adab ketika memberi juga wajar dijaga dengan penuh kesantunan, bukan untuk mengikut atau menjadi trend semata-mata.
Jika dilihat semula, kaedah atau amalan beraya zaman dahulu adalah lebih mudah, bersalaman, bermaafan dan memberi duit raya dengan cara yang sederhana.
Tidak perlu mencipta sesuatu untuk dijadikan kandungan media sosial kerana akhirnya ia boleh mencemarkan nilai kemenangan yang kita raikan.
Harus diingat bahawa umat Islam dan masyarakat Malaysia itu sangat kaya dengan budi bahasanya.
Bermain mercun dan bunga api juga sinonim dengan masyarakat Malaysia ketika meraikan Syawal.
Aktiviti ini tidak salah selagi dilakukan secara sederhana dan dengan langkah keselamatan sewajarnya.
Namun, dalam keadaan kos sara hidup yang tidak menentu, masyarakat wajar mengelakkan sikap berlebihan sehingga seolah-olah “membakar” wang tanpa tujuan yang bermakna.
Aidilfitri memang disambut setahun sekali, tetapi kita juga harus ingat bagaimana keadaan poket untuk meneruskan kehidupan sepanjang sebelas bulan mendatang jika sambutannya diraikan secara berhabis-habisan.
Konsep kesederhanaan inilah yang mencerminkan kematangan dalam menyambut Aidilfitri.
Kegembiraan tidak perlu diterjemahkan melalui perbelanjaan besar atau kemeriahan melampau.
Sebaliknya, ia boleh dizahirkan melalui kebersamaan keluarga, keikhlasan memohon dan memberi kemaafan, serta kesyukuran atas nikmat yang dimiliki.
Syawal seharusnya menjadi ruang untuk merenung kembali tujuan sebenar kehidupan selepas latihan rohani sepanjang Ramadan.
Disiplin menjaga kesihatan, mengekang keinginan, memperbanyakkan ibadah, dan memelihara adab itulah yang wajar diteruskan dalam kehidupan seharian.
Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang datang dan pergi setiap tahun.
Ia adalah peringatan bahawa kemenangan sebenar bukan pada kemeriahan sambutan, tetapi pada kejayaan manusia memperbaiki diri.
Dengan memahami makna ini, Syawal dapat diraikan dengan lebih tenang, tertib, dan penuh adab iaitu sesuatu yang mungkin sederhana pada zahirnya, tetapi sangat bernilai pada maknanya.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan (Profesor Madya) Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).