TINTA MINDA

KETEGANGAN DI TIMUR TENGAH: APA KESANNYA PADA POKET KITA?

24/03/2026 08:21 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Dr Norhaliza Abu Bakar & Dr Zurina Samsudin

Dunia sekali lagi berhadapan dengan ketegangan besar apabila konflik bersenjata meletus di Timur Tengah, khususnya melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.

Bagi kita di Malaysia yang jaraknya beribu batu, mungkin ada yang bertanya: "Itu perang mereka, apa kaitannya dengan kita yang tengah beratur beli nasi lemak di sini?"

Hakikatnya, dunia hari ini sangat berhubung kait. Apabila "gendang perang" berbunyi di sana, kesannya boleh dirasai sehingga ke stesen minyak di hujung jalan rumah kita.

Dalam situasi ini, satu istilah menjadi perhatian ramai – Selat Hormuz.

Apa itu Selat Hormuz dan kenapa ia penting?

Selat Hormuz adalah sebuah laluan laut sempit antara Teluk Parsi dan Laut Arab.

Ia bukan sekadar laluan biasa, tetapi merupakan nadi paling kritikal bagi perdagangan minyak dunia.

Hampir 20% daripada minyak mentah dalam perdagangan antarabangsa melalui selat ini setiap hari.

Jika lorong ini "ditutup" atau diganggu akibat peperangan, kapal-kapal tangki besar tidak boleh keluar membawa minyak dari negara pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait, dan Iraq.

Bayangkan sebuah laluan air yang dilalui hampir satu daripada lima tong minyak dunia; sekiranya ia tersumbat, bekalan tenaga global akan terjejas teruk.


Kesan kepada harga minyak sedunia

Apabila bekalan minyak dunia mula tersekat sedangkan permintaan orang ramai tetap tinggi, maka secara automatik berlakulah hukum ekonomi yang paling asas iaitu harga akan melambung tinggi.

Keadaan ini biasanya dicetuskan oleh perasaan panik dalam pasaran di mana para pelabur dunia mula berasa risau dan bimbang terhadap kekurangan stok simpanan, lalu menyebabkan harga minyak mentah dunia naik mendadak dalam masa yang sangat singkat.

Selain faktor pasaran, kos pengangkutan juga akan melonjak naik kerana kapal-kapal tangki minyak terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan memakan belanja yang lebih besar.

Pada masa yang sama, syarikat perkapalan terpaksa membayar premium insurans yang sangat tinggi disebabkan oleh risiko besar yang terpaksa dihadapi di kawasan peperangan.

Malah, ramai ahli ekonomi telah memberikan amaran keras bahawa sekiranya gangguan di selat tersebut terus berlarutan, dunia mungkin akan berhadapan dengan krisis tenaga yang serupa seperti krisis minyak pada tahun 1970-an yang akhirnya boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi global yang serius.

Bagaimana pula dengan Malaysia?

Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak, kita sebenarnya tidak kebal daripada kesan pergolakan global ini kerana negara masih bergantung kepada import bahan api dan tenaga tertentu dari luar negara.

Situasi ini akan memberi tekanan besar kepada subsidi kerajaan di mana perbelanjaan yang lebih tinggi terpaksa dialokasikan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel supaya rakyat tidak terbeban.

Kesan rantaiannya, dana negara yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan kritikal seperti sekolah atau hospital mungkin terpaksa dialihkan bagi menampung kos minyak yang melambung tinggi, malah pada satu ketika, harga petrol dan diesel di stesen minyak mungkin terpaksa dinaikkan juga.

Selain itu, kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan memandangkan minyak merupakan nadi logistik utama yang menggerakkan ekonomi.

Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barangan keperluan seperti sayur dan ayam di pasar raya akan turut naik, sekali gus mencetuskan inflasi yang menghimpit rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir juga telah menyatakan bahawa risiko penutupan Selat Hormuz berpotensi meningkatkan kos tenaga industri, tarif elektrik, serta perbelanjaan bahan bakar isi rumah jika keadaan ini berlanjutan.

Meskipun Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) yang boleh memberi sedikit imbangan kepada sektor eksport negara ketika harga gas dunia meningkat, manfaat tersebut biasanya lebih dirasai di peringkat makroekonomi dan tidak dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup rakyat secara serta-merta.

Dalam masa yang sama, kesan konflik ini turut menjalar ke dalam bil elektrik rakyat memandangkan sebahagian besar tenaga elektrik di Malaysia dijana menggunakan gas asli dan bahan api fosil.

Kenaikan harga minyak dan gas dunia secara tidak langsung akan meningkatkan kos penjanaan elektrik yang perlu ditanggung oleh syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Walaupun kerajaan berusaha mengawal tarif melalui mekanisme tertentu, kesan jangka panjang tetap akan dirasai apabila kos operasi industri meningkat dan kilang-kilang terpaksa membayar bil elektrik yang lebih mahal.

Akhirnya, kos pengeluaran barangan akan bertambah dan beban tersebut akan dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan yang lebih tinggi, yang bermakna kesan peperangan ini bukan sahaja meresap ke dalam tangki kenderaan tetapi juga ke dalam bil elektrik rumah kita.

Akhir sekali, nilai mata wang Ringgit turut terkesan apabila pelabur cenderung melarikan modal mereka ke arah mata wang yang dianggap lebih selamat seperti Dollar AS dalam keadaan peperangan.

Fenomena ini akan menyebabkan nilai Ringgit semakin melemah, sekali gus menjadikan barangan import termasuk komponen elektronik dan bekalan makanan dari luar negara menjadi jauh lebih mahal daripada biasa.

Kesimpulan: perang jauh, kesan dekat

Secara keseluruhannya, konflik di Timur Tengah dan penutupan Selat Hormuz bukan sekadar isu politik atau ketenteraan di peta dunia, malahan ia adalah isu dompet dan periuk nasi kita semua sebagai rakyat biasa.

Kenaikan harga minyak bukan sahaja bermaksud kos mengisi minyak motor atau kereta bertambah, tetapi ia turut memberi kesan berantai kepada bil elektrik hinggalah kepada harga nasi lemak di gerai tepi jalan.

Sebagai negara perdagangan yang terbuka, Malaysia amat memerlukan kestabilan global kerana dalam peperangan moden, “peluru” yang paling pantas sampai ke rumah kita bukanlah misil, tetapi kenaikan kos sara hidup yang menghimpit rakyat.

Dalam keadaan yang tidak menentu ini, ketua keluarga atau breadwinner perlu lebih berhati-hati dalam merancang perbelanjaan, apatah lagi kita kini berada di bulan Ramadan dan bakal menyambut Syawal tidak lama lagi.

Musim perayaan selalunya menyaksikan perbelanjaan meningkat secara mendadak, bermula daripada juadah berbuka puasa, pembelian pakaian baharu, sehinggalah kepada persiapan pulang ke kampung.

Namun, dalam suasana ekonomi global yang rapuh ini, beberapa langkah bijak perlu diambil dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta membezakan antara perkara yang wajib dan sekadar tambahan.

Ketua keluarga dinasihatkan supaya merancang bajet Ramadan dan Syawal lebih awal dengan menetapkan had perbelanjaan yang ketat bagi memastikan setiap pengeluaran wang adalah terancang.

Selain itu, amat penting untuk kita mengelakkan hutang yang tidak perlu, terutama hutang jangka pendek yang hanya akan membebankan selepas musim perayaan berakhir.

Budaya berjimat cermat juga perlu diamalkan secara menyeluruh, termasuklah dalam aspek mengawal penggunaan elektrik dan bahan api di rumah bagi mengurangkan komitmen bulanan.

Peperangan mungkin berlaku jauh dari tanah air, tetapi kesannya boleh sampai ke meja makan kita dalam sekelip mata. Justeru, selain mengharapkan keamanan dunia kembali pulih, langkah paling realistik bagi setiap keluarga ialah memperkukuh perancangan kewangan sendiri.

Justeru, selain mengharapkan keamanan dunia kembali pulih, langkah paling realistik bagi setiap keluarga ialah memperkukuh perancangan kewangan sendiri.

Dalam dunia yang saling berkait hari ini, ketahanan sesebuah keluarga bermula dengan kebijaksanaan mengurus rezeki, tidak kira apa jua badai yang melanda di pentas antarabangsa.

-- BERNAMA

Dr Norhaliza Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, UTHM Pagoh, Johor dan Dr Zurina Samsudin ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, UTHM Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)