TINTA MINDA

BASMI STRUKTUR HARAM SEBELUM MENJADI PARAH

26/03/2026 10:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Sr Dr Irwan Mohammad Ali

Struktur merujuk kepada sebarang binaan fizikal yang didirikan di atas tanah atau tapak tertentu.

Dalam konteks kejuruteraan dan perancangan bandar, struktur ialah binaan yang mempunyai elemen fizikal seperti asas, tiang, rasuk, dinding dan bumbung yang direka untuk menampung beban serta kegunaan tertentu.

Ia boleh berbentuk kekal atau sementara, dan merangkumi pelbagai kategori seperti rumah kediaman, rumah ibadat, pusat pendidikan, premis perniagaan, dan bangunan pejabat.

Struktur haram pula merujuk kepada binaan yang didirikan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa yang berkenaan, atau tidak mematuhi syarat perancangan dan undang-undang bangunan.

Secara terperinci, ia termasuk pembinaan struktur tanpa kelulusan pelan bangunan, tiada kelulusan tukar syarat guna tanah, melanggar garis panduan perancangan atau zon guna tanah.

Selain itu, struktur haram juga merangkumi pembinaan struktur di atas tanah milik orang lain atau tanah kerajaan tanpa kebenaran, serta mengubahsuai bangunan sedia ada tanpa kelulusan permit.

Jelas, struktur menjadi “haram” bukan kerana fungsinya (rumah ibadat, kedai dan sebagainya), tetapi kerana proses dan prosedur pembangunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

Isu Kompleks dan Sensitif

Isu pembinaan struktur tanpa kebenaran bukanlah perkara baharu dalam landskap pembangunan dan perancangan bandar dalam negara.

Sama ada melibatkan rumah ibadat, pusat pendidikan, rumah kediaman mahupun premis perniagaan, kewujudan struktur haram sering bermula secara kecil-kecilan.

Kemudian, ia mula berkembang dan menjadi isu yang kompleks dan sensitif dalam masyarakat setempat.

Pada peringkat awal, ia mungkin dilihat sebagai penyelesaian sementara dan segera sebagai memenuhi keperluan individu mahupun komuniti.

Namun, tanpa pematuhan kepada peraturan, perancangan dan undang-undang berkaitan, implikasinya boleh berlarutan dan memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat serta pihak berkuasa.

Lebih menyulitkan jika berlarutan untuk suatu jangka masa yang agak lama.

Tuntutan demi tuntutan tanpa bukti yang jelas mula dijadikan hujahan. Lebih membimbangkan apabila isu ini dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan atau kepentingan tertentu.

Dalam konteks pembangunan sesebuah bandar, setiap pembinaan struktur adalah tertakluk kepada kelulusan pelan, syarat guna tanah dan pematuhan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Proses ini bukan sekadar prosedur birokrasi, tetapi mekanisme kawalan untuk memastikan keselamatan struktur, kesesuaian lokasi, kawalan kepadatan serta keharmonian persekitaran.

Namun, terdapat kecenderungan segelintir pihak membina tanpa kelulusan sah atas alasan keperluan mendesak, kos yang tinggi atau proses yang dianggap rumit.

Ada juga yang mengambil pendekatan “bina dahulu, mohon kemudian”, dengan harapan pihak berkuasa akan berkompromi atas faktor kemanusiaan atau tekanan awam.

Kegagalan membendung pembinaan haram bermula dari awal membuka ruang kepada pelbagai masalah.

Apabila keadaan dibiarkan berlarutan, kesannya bukan sahaja bersifat teknikal, malah turut melibatkan dimensi sosial dan politik.

Pertama, aspek keselamatan. Struktur yang tidak melalui kelulusan teknikal berisiko dari sudut kejuruteraan, kebakaran dan kesihatan awam. Dalam jangka panjang, ia boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.

Kedua, isu perundangan dan penguatkuasaan. Apabila struktur telah lama wujud dan digunakan secara aktif, tindakan merobohkan akan mencetuskan kontroversi.

Kompromi masa lalu yang membiarkan pelanggaran berlarutan akhirnya menyusahkan pentadbiran masa kini (masa hadapan).

Ketiga, sentimen agama dan emosi sering dimainkan oleh pihak tertentu apabila tindakan penguatkuasaan diambil.

Isu teknikal dan perundangan bertukar menjadi polemik sensitif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Keempat, terdapat kes di mana struktur haram yang asalnya kecil berkembang menjadi sumber ekonomi yang menguntungkan dan tumpuan para penyumbang derma.

Apabila sudah menjana pendapatan, seribu satu alasan akan digunakan sebagai alasan untuk mengekalkan status quo.

Sekiranya tiada tindakan tegas dan konsisten, mesej yang dihantar kepada masyarakat amat berbahaya, iaitu undang-undang boleh dilanggar, dirunding dan dilonggarkan mengikut kemahuan pihak tertentu.

Ini akan menggalakkan lebih banyak pelanggaran, mewujudkan ketidakadilan kepada pemaju dan individu yang patuh kepada prosedur, serta menjejaskan integriti sistem perancangan negara.

Selain itu, PBT akan berdepan beban litigasi, bantahan awam dan tekanan politik setiap kali cuba untuk melaksanakan undang-undang berkaitan. Akhirnya, penguatkuasaan menjadi selektif dan hilang kredibiliti di mata masyarakat.

Pencegahan Awal Elak Isu Lebih Parah

Pendekatan terbaik ialah pencegahan dari awal, bukan penyelesaian selepas keadaan menjadi rumit. Antara perkara yang perlu diberikan pertimbangan adalah:

Penguatkuasaan awal dan tegas: Tindakan segera perlu diambil sebaik sahaja pelanggaran dikesan, sebelum struktur berkembang dan isu menjadi sensitif.

Pendidikan dan kesedaran: Masyarakat perlu difahamkan bahawa kelulusan pelan bukan sekadar formaliti, tetapi jaminan keselamatan dan keadilan sosial.

Proses yang lebih cekap dan telus: Pihak berkuasa boleh menambah baik sistem permohonan agar lebih cepat dan mesra pengguna tanpa mengabaikan piawaian tertentu.

Pendekatan inklusif dan dialog komuniti: Bagi kes melibatkan rumah ibadat atau pusat pendidikan, rundingan awal antara pemaju, komuniti dan PBT dapat mengelakkan salah faham.

Pendigitalan dan pemantauan berkala: Penggunaan teknologi seperti sistem pemetaan digital dan pemantauan tapak boleh membantu mengesan pembinaan tidak sah lebih awal.

Akhir sekali, isu struktur haram bukan sekadar persoalan bangunan, tetapi soal tadbir urus, keadilan dan keharmonian sosial.

Kompromi yang dibuat hari ini mungkin kelihatan kecil, namun kesannya boleh membebankan generasi pentadbiran akan datang.

Justeru, undang-undang yang jelas memerlukan pelaksanaan yang tegas dan adil untuk semua.

Dalam negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, tiada ruang untuk toleransi terhadap pelanggaran yang disengajakan.

Ketegasan yang berprinsip bukanlah tindakan keras, sebaliknya langkah menjaga kepentingan bersama demi kestabilan dan kesejahteraan negara dalam konteks Malaysia Madani.

-- BERNAMA

Prof Madya Sr Dr Irwan Mohammad Ali, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Juruukur Bangunan Berdaftar

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)