Oleh Khairul Anuar Abdul Manap
Isu kehamilan luar nikah, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Melayu, terus menjadi kebimbangan nasional apabila peningkatan tahun ke tahun mencerminkan kelemahan dalam struktur sosial negara.
Menurut LPPKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan remaja yang terlibat dengan kehamilan luar nikah menunjukkan pola peningkatan dalam beberapa tahun terakhir dan suatu petunjuk bahawa pendekatan lama tidak lagi mencukupi.
Pakar-pakar sosial menegaskan bahawa fenomena ini bukan sekadar masalah remaja “nakal”.
Sebaliknya, ia berkait rapat dengan sistem pendidikan yang masih terbatas, komunikasi keluarga yang terputus, pengaruh media sosial yang tidak ditapis, serta budaya tabu yang menyukarkan perbincangan terbuka tentang tubuh, hubungan dan keselamatan seksual.
Pendidikan Kesihatan Reproduktif Komprehensif
Pendidikan Kesihatan Reproduktif Komprehensif (CSE) menekankan maklumat tepat mengenai tubuh manusia, keselamatan diri, hubungan sihat, persetujuan (consent), dan kemahiran membuat keputusan.
Ia bukan mengajar kanak-kanak untuk melakukan hubungan seks tetapi membekalkan mereka pengetahuan untuk melindungi diri daripada risiko, eksploitasi dan kehamilan tidak dirancang.
Kajian UNESCO, WHO dan penyelidikan tempatan menunjukkan bahawa remaja yang mendapat pendidikan reproduktif yang komprehensif lebih lambat memulakan hubungan seksual, lebih bijak menolak tekanan rakan sebaya (abstinen), lebih mampu membuat keputusan bertanggungjawab, dan lebih tahu menjaga keselamatan tubuh mereka.
Ironinya, masyarakat sering menyatakan keprihatinan terhadap kehamilan luar nikah tetapi pada masa sama menolak pendidikan reproduktif yang sebenarnya dapat mencegahnya.
Konflik Budaya, Malu dan Tabu: Cabaran Utama
Dalam banyak keluarga Melayu, isu sentuhan selamat, bahagian tubuh yang tidak boleh disentuh dan penggunaan istilah biologi seperti zakar atau faraj masih dianggap memalukan.
Akibatnya, kanak-kanak membesar tanpa memahami asas keselamatan tubuh dan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada salah laku seksual dan maklumat salah di internet.
Kita tidak boleh mengharapkan remaja membuat keputusan bijak jika kita tidak memberikan mereka maklumat yang betul, tepat dan selamat.
Keluarga adalah institusi pendidikan pertama, tetapi tanpa sokongan, latihan dan ilmu, ramai ibu bapa tidak tahu bagaimana memulakan perbualan penting ini.
Selari dengan Visi Malaysia Madani dan SDG 2030
Pendidikan reproduktif komprehensif merupakan keperluan dasar yang selari dengan komitmen Malaysia terhadap SDG 3: Kesihatan Baik & Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dan SDG 5: Kesaksamaan Gender.
Ia juga menyumbang kepada kelestarian sosial jangka panjang dan mengurangkan risiko kehamilan remaja, mengelakkan kemiskinan antara generasi, memperkukuh kesejahteraan keluarga dan memastikan peluang pendidikan remaja tidak terjejas oleh kehamilan awal.
Peranan Sekolah dan Keluarga
Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), banyak guru masih kurang latihan dan berdepan tekanan sosial untuk “mengelak topik sensitif”.
Dalam masa sama, ibu bapa memerlukan sokongan dan panduan mudah untuk berbincang mengenai keselamatan tubuh, rasa hormat, dan hubungan sihat.
Kombinasi pendidikan formal dan tidak formal ini adalah kunci kepada keberkesanan pencegahan.
Lindungi Remaja Kita
Kehamilan luar nikah bukan sekadar angka statistik tetapi ianya membawa implikasi besar kepada masa hadapan pendidikan, kesihatan mental, ekonomi dan kesejahteraan sosial remaja.
Diam, malu dan stigma bukan lagi jawapan.
Malaysia memerlukan komitmen kolektif seperti membuka ruang dialog selamat di rumah dan sekolah, melatih guru dengan pendekatan berasaskan bukti, menyokong ibu bapa dengan sumber pengetahuan, dan menerima bahawa pendidikan reproduktif adalah pelindung, bukan ancaman.
Untuk melindungi generasi masa depan, kita perlu memberi mereka maklumat yang tepat bukan menunggu hingga terlambat.
-- BERNAMA
Khairul Anuar Abdul Manap ialah Setiausaha Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga dan kini sedang mengikuti pengajian PhD (Ijazah Kedoktoran Falsafah) dalam bidang Kepimpinan dan Pembangunan Sosial di Institut Pengajian Sains Sosial, UPM.