WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANJIR KEDAH: KERAJAAN JAMIN PEGAWAI BERTANGGUNGJAWAB AKAN PANTAU LEBIH TELITI – TPM FADILLAH

20/09/2024 11:56 AM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberikan jaminan bahawa pegawai-pegawai yang bertanggungjawab akan terus memantau situasi banjir di Kedah dengan lebih teliti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata kerajaan juga akan memberikan tumpuan kepada bantuan yang perlu disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir serta merangka pelan jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir pada masa akan datang.

 “Di peringkat kementerian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mempunyai perancangan untuk menangani risiko banjir.

“Beberapa langkah akan diambil secara serentak ada yang boleh diselesaikan segera, dan ada yang memerlukan masa,” katanya kepada media selepas melancarkan Garis  Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara di sini hari ini.

Fadillah berkata pengurusan bencana di bawah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan telah wujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mempunyai badan pemantau di peringkat daerah, negeri dan sebagainya. 

“Semua agensi akan terlibat untuk memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan utama. Mereka yang terjejas akan dipindahkan ke tempat selamat, kedua kita akan melihat dari segi bantuan-bantuan yang perlu diberikan, dan ketiga untuk kita melihat apakah perancangan jangka panjang dan sebagainya.

Ketika ditanya mengenai usaha tambahan kerajaan dalam menangani banjir akibat perubahan iklim, beliau mengakui bahawa situasi ini kini semakin sukar dijangka.

 “Ini sesuatu yang tidak dapat kita jangka akibat perubahan iklim dunia tetapi yang penting kita sudah mempunyai kerangka tindakan di bawah NADMA,” katanya.

Fadillah menekankan bahawa prosedur operasi standard (SOP) telah diwujudkan dan akan digerakkan setiap kali berlaku bencana.

“SOP ini akan digunakan di semua kawasan terjejas banjir untuk memastikan proses menyelamat dan bantuan dilaksanakan dengan lancar. Yang pasti, keutamaan kita adalah untuk memastikan keselamatan rakyat dan mengurangkan ketidakselesaan mereka,” katanya.

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,425 malam tadi.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,424 orang diikuti Kubang Pasu (1,537), Pokok Sena (925), Pendang (806), Kuala Muda (184), Bandar Baharu (131), dan Kulim (80).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan