WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KONTROVERSI GIBSH: MAJLIS FATWA NEGERI MULA BERSUARA

20/09/2024 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kontroversi mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang terpalit isu mengeksploitasi kanak-kanak dan agama, semakin memuncak apabila Perlis menjadi negeri pertama memutuskan bahawa ajaran dan kepercayaan yang dibawa oleh kumpulan itu mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dalam aspek batiniah.

Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang berlangsung hari ini mendapati pegangan kumpulan GISBH mengkultuskan pemimpin mereka dan tokoh-tokoh agama sehingga melampaui batasan, hampir menyamakan kedudukan mereka dengan Nabi SAW.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengumumkan perkara itu berkata pegangan yang dibawa oleh GISBH itu juga didapati merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Malah, model ekonomi yang diamalkan syarikat itu juga didapati bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi terhadap ahli, kanak-kanak dan wanita.

Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Harun pula berkata pihaknya akan bermuzakarah dan menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sekiranya terdapat bukti kukuh dan jelas sebelum mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH.

Mohamad Sabri berkata meskipun tiada laporan berhubung ajaran terbabit di Terengganu, pihaknya tetap memandang serius gerakan GISBH dan berpandangan semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, kerajaan Negeri Sembilan hari ini berharap pihak berkuasa agama pada peringkat Persekutuan dapat membuat ketetapan yang jelas mengenai segala perkara berkaitan GISBH.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata hal ini bagi memastikan orang ramai dapat memahami dengan jelas tentang perkara itu sekali gus tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengikut pandangan masing-masing sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan.

Sementara itu, seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki tahun lepas.

Pemuda berumur 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan iaitu membuat dua kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dirinya di madrasah berkenaan pada 2023 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017).

Dia juga berdepan empat pertuduhan melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun, dengan kesemua kesalahan dilakukan di madrasah sama pada tahun sama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Pendakwaan terbaharu itu menjadikan setakat ini sebanyak enam individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat itu telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Semalam, tiga pembantu pengajar di madrasah yang sama turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Sementara itu, polis meneruskan Op Global dengan mengambil tindakan terhadap beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Dalam operasi yang dilakukan malam semalam hingga pagi tadi di empat lokasi berbeza di Kelantan dan Pahang, polis menahan tujuh anggota Remaja Pembela Ummah (RPU) di bawah syarikat itu, termasuk seorang anak bekas pimpinan tertinggi kumpulan al-Arqam dan pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka yang berumur 32 hingga 35 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Semalam PDRM menahan 24 individu penting yang dikaitkan dengan GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu dalam tangkapan di Kedah dan ibu negara menerusi Op Global, menjadikan keseluruhan 31 individu telah direman setakat ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan