WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIGA SUPER: SRI PAHANG BANGKIT IKAT KEDAH

21/09/2024 12:08 AM

ALOR SETAR, 20 Sept (Bernama) -- Kedah Darul Aman (KDA) FC dan  Sri Pahang FC sekadar berkongsi mata apabila terikat 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.

Kedua-kedua pasukan terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua sebelum masing-masing melakarkan jaringan.

Pasukan pelawat menerusi Sergio Aguero terlebih dulu meletakkan Sri Pahang didepan pada minit ke-51 hasil percubaan leret menewaskan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Tersentak dengan jaringan itu, Kedah skuad kendalian Nafuzi Zain kemudian melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan dan hasilnya diterjemah pada minit ke-57 menerusi jaringan penyamaan Abdul Halim Shaari.

Pada minit ke-63, Kedah berada di depan menerusi apabila pemain sayap Sukhrob Nurulloev berjaya menggelecek beberapa pemain Sri Pahang sebelum merembat deras menerjah gawang Sri Pahang.

Kedah yang semakin bersemangat terus melancarkan serangan bagi menambah jaringan, namun tidak bertahan lama apabila Kpah Sherman berjaya menyamakan kedudukan buat Pahang pada minit ke-78 bagi memastikan pasukan itu membawa pulang satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang menduduki tangga keenam liga dengan 11 mata manakala Kedah di tangga ke-10 dengan sembilan mata selepas 10 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan