WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERUGIAN PELABURAN DALAM FASHIONVALET, PM ARAH KHAZANAH LAKUKAN AUDIT DALAMAN

02/11/2024 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata arahan tegas itu, sebagai memaknai pengumuman beliau sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ini bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 di Pulau Pinang hari ini, mahu siasatan dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada melibatkan syarikat kerajaan mahupun swasta.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.

Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan berkata suruhanjaya itu telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan berkenaan serta memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan profesional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan