WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBINAAN TERMINAL KAPAL PERSIAR BERI TEMPIAS EKONOMI KEPADA MELAKA - LOKE

04/11/2024 01:01 PM

MELAKA, 4 Nov (Bernama) -- Pembinaan terminal kapal persiar di Pulau Melaka, Banda Hilir di sini bakal memberi tempias besar dari sudut ekonomi menerusi aktiviti pelancongan kepada Melaka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ia juga dilihat selari dengan dasar kerajaan Persekutuan yang menekankan kepentingan ekonomi maritim kepada pembangunan negara.

"Jadi, pelancongan menerusi kapal persiar ini mempunyai potensi yang besar kerana kita (kerajaan juga) sedang mempromosikan sektor berkenaan kerana kita ada beberapa pelabuhan utama untuk kapal persiar seperti di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang. 

"Kita harap kalau terminal ini dapat disiapkan dalam masa terdekat (di Melaka), maka ia akan memberikan satu tempias yang besar kepada pembangunan Melaka dan sudah tentu baik untuk ekonomi negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Maritim Antarabangsa Melaka Pertama (MIMEC 2024) yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Pengerusi TAG Marine Sdn Bhd Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Linggi International Port (KLIP) Tan Sri Dr Noormustafa Kamal Yahya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri berharap agar penerima lesen bagi membangunkan beberapa pelabuhan di Melaka dapat menyegerakan pembinaan infrastruktur berkenaan bagi memacu ekonomi negeri pada masa depan.

"Setakat hari ini Melaka telah menerima kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan, tiga lesen pelabuhan yang dalam usaha untuk membangunkan industri maritim sepanjang selat Melaka terutama dalam kawasan Selat Melaka–Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

"Kerajaan negeri berharap agar penerima-penerima lesen ini dapat menyegerakan aktiviti mereka supaya kelulusan ini akan menjadi satu nadi pembangunan kepada Melaka pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan