WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM NAFI KELUAR KENYATAAN PENEMUAN RM94 JUTA DI KEDIAMAN BEKAS MENTERI

04/11/2024 08:05 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan membuat kenyataan yang mendakwa bahawa RM94 juta ditemui di kediaman bekas menteri.

SPRM menegaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai penemuan RM94 juta di kediaman bekas menteri, seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat hari ini.

"Walaupun SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, adalah penting agar kenyataan yang dibuat berasaskan fakta yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan," menurut kenyataannya di sini hari ini.

SPRM juga sekali lagi menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan telah dibuat oleh SPRM atau Ketua Pesuruhjayanya berkaitan penemuan jumlah tersebut di kediaman bekas menteri.

Terdahulu, perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat bertukar menjadi kecoh apabila isu wang tunai RM94 juta yang didakwa ditemui di kediaman seorang bekas menteri daripada DAP dibangkitkan oleh Awang Hashim (PN-Pendang).

Awang mempersoalkan mengenai perkembangan siasatan kes tersebut walaupun sudah lebih setahun ia berlalu.

Susulan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) memberi tempoh 24 jam kepada Awang untuk mendedahkan nama pemimpin DAP yang didakwanya menyimpan wang berjumlah RM94 juta di rumah.

-- BERNAMA 


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan