WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LORONG BAS, "PARK-AND-RIDE" BAGI MENGURANGKAN KESESAKAN LALU LINTAS DI SARAWAK

06/11/2024 08:33 PM

KUCHING, 6 Nov (Bernama) -- Sarawak berusaha meningkatkan rangkaian pengangkutan awamnya dengan menyediakan laluan khas bas, menambah baik sistem isyarat keutamaan bas dan memperkenalkan  konsep “park-and-ride” yang inovatif. 

Menteri Pengangkutan negeri Datuk Seri Lee Kim Shin berkata konsep “park-and-ride” membolehkan pengguna meletakkan kenderaan di lokasi ditetapkan dan menaiki bas ke pusat bandar yang dilihat sebagai cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar. 

“Kami juga sedang meneroka pilihan mobiliti yang lebih mampan seperti berbasikal dan berjalan kaki. Bagaimanapun, ia perlu disesuaikan dengan perancangan perbandaran dan infrastruktur termasuk menyediakan lebih banyak laluan berjalan kaki berbumbung dan laluan berbasikal yang selamat serta mudah diakses,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata Sarawak kini sedang menguji teknologi baharu bagi melaksanakan sistem isyarat keutamaan bas yang membolehkan bas menerima keutamaan lampu hijau di persimpangan lampu isyarat bagi mengurangkan kelewatan dan meningkatkan pematuhan jadual.

“Menangani cabaran trafik di bandar memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, penyedia pengangkutan dan orang awam. Kita semua mempunyai peranan dalam memperbaiki trafik di bandar di Sarawak dan matlamat kita ialah untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai, cekap serta mampan terhadap alam sekitar,” katanya. 

Sementara itu, Lee berkata sebanyak 56 bas baharu dijangka tiba di Kuching awal tahun depan bagi  memodenkan lagi pengangkutan awam di bandar raya itu.

Beliau berkata menerusi inisiatif Bas Pintar di Miri, kenderaan lama diganti dengan model Volvo yang lebih moden seiring dengan sistem bas pintar tanpa tambang yang bertujuan mengubah akses pengangkutan awam. 

“Inisiatif ini telah meningkatkan jumlah penumpang dengan ketara malah turut menggalakkan aktiviti keluarga apabila ibu bapa membawa anak-anak mereka menaiki bas awam pada hujung minggu berbanding memandu sendiri,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan