WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMILIHAN U MOBILE SEBAGAI PENYEDIA RANGKAIAN 5G KEDUA TIDAK BERTENTANGAN DENGAN SYARAT KHAS LESEN - FAHMI

07/11/2024 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Keputusan untuk memilih U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.

“Pemilihan ini telah dilaksanakan melalui proses ‘beauty contest’ atau dalam bahasa mudah menerusi proses tender dan bukannya secara penganugerahan terus atau ‘direct award’,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Fahmi berkata pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

“Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G, seiring dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Bagi pemilihan ini, komitmen pengawalseliaan telah ditentukan untuk memastikan pematuhan kepada standard ditetapkan,” kata Fahmi.

Beliau berkata MCMC akan memantau komitmen ini dengan teliti dan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang ketidakpatuhan.

“Keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu Pemberi Kemudahan Rangkaian (NFP) dan lesen individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) adalah maksimum 49 peratus manakala pegangan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Keperluan ini diperuntukkan melalui syarat khas lesen bagi suatu lesen individu. Ketika ini, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada U Mobile,” katanya.

Fahmi berkata U Mobile juga telah memberi komitmen di dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 2 Nov, 2024 untuk mengurangkan pegangan asing kepada 20 peratus, bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung alasan-alasan kerajaan persekutuan memberikan lesen kepada U Mobile untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G memandangkan 48.28 peratus saham equiti syarikat telokomunikasi itu dipegang oleh syarikat asing dari Singapura iaitu Straits Mobile Investment Pte Ltd.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkenaan terdapat wakil daripada pihak U Mobile dalam lembaga pengarah Digital Nasional Bhd (DNB), Fahmi berkata sebahagian syarat yang ditetapkan adalah MNO perlu memegang saham dalam DNB.

“Pegangan saham ini juga akan diterjemah menjadi sejumlah kerusi dalam lembaga pengarah.. justeru dari segi tatakelola, aspek pegangan saham dan juga ‘corporate governance’ tidak ada kesalahan dari segi itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan