WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAC PANGGIL KHAZANAH, PNB DAN NAFAS DISEMBER INI

07/11/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) pada minggu kedua Disember ini. 

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini berkata PAC akan memanggil Khazanah dan PNB berhubung kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta itu.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini memaklumkan Khazanah dan PNB menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.

Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam syarikat platform e-dagang fesyen itu.

Mas Ermieyati berkata PAC juga membuat keputusan memanggil semula pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) termasuk Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pegawai Pengawal Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi menjelaskan konflik yang melanda pertubuhan dianggotai 930,000 ahli itu.

“PAC bimbang isu dan kemelut melanda NAFAS ini akan membawa kepada masalah lebih besar iaitu kekurangan baja kepada pesawah. Prosiding untuk NAFAS akan ditetapkan pada minggu kedua Disember 2024,” katanya.

Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa 1 Nov lepas bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu dengan arahan dikeluarkan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsinya.

Mas Ermieyati berkata setakat ini PAC telah menjalankan empat prosiding berhubung pengurusan Program Penanaman Padi dengan 12 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan dan penjelasan.

“Malah pada minggu depan, PAC akan mendengar keterangan dan penjelasan daripada 14 saksi yang terdiri daripada pesawah, pengeluar benih padi sah, pengilang beras dan ahli akademik.  

“NAFAS adalah sebahagian daripada saksi bagi prosiding ini dengan PAC pernah memanggil pengurusan NAFAS untuk memberi penjelasan dan keterangan pada 26 Mac 2024 serta melawat kilang NAFAS di Gurun, Kedah pada 22 April 2024,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan