WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUSKOP SASAR POTENSI PELABURAN RM100 JUTA DI BIBAN24

07/11/2024 04:44 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh, Arab Saudi.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata sasaran itu adalah cerminan komitmen KUSKOP untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC) menjadi tumpuan global dalam bidang keusahawanan dan Pavilion Malaysia dijangka menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia.

“Program padanan perniagaan dan sesi rundingan dijangka membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon, yang mengetuai delegasi ke Pameran Antarabangsa BIBAN24 dan berlangsung selama lima hari hingga Sabtu ini, turut mengadakan beberapa siri perbincangan berprofil tinggi, termasuk mesyuarat dengan Kudu Company for Food and Catering, antara jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi. 

Katanya perbincangan itu telah membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekali gus membantu jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.

Selain itu, Ewon turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Eman Habbas Al-Mutairi bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara. 

Antara yang dibincangkan ialah usaha meningkatkan langkah-langkah konkrit seterusnya untuk menjana sinergi dalam bidang keusahawanan dan pembangunan industri.

Selasa lepas, Ewon merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia, merupakan platform penting untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.

Beliau juga telah mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan Kamar Perniagaan Riyadh pada Rabu lepas, yang mempertemukan usahawan Malaysia dengan pelabur dan pengusaha tempatan Arab Saudi. 

Menurut Ewon, sesi itu diharap dapat mencetuskan kerjasama perniagaan baharu dan membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dua hala.

Ewon turut mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, antara rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi, dijangka dapat merintis laluan bagi syarikat Malaysia meluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan