WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TUDM KENAL PASTI TEMPAT MENDARAT PESAWAT HANTAR BANTUAN SEMASA MTL

07/11/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengenal pasti tempat mendarat di seluruh negara bagi pesawat yang akan terlibat dalam operasi menyelamat dan penghantaran bantuan dalam kawasan bencana yang berlaku ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata ini berikutan pasukan itu akan terlibat dalam Operasi Murni di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi bencana, terutamanya banjir pada tahun ini. 

“Seperti tahun-tahun lepas, kita sudah bersedia dan telah kenal pasti kawasan yang dilanda (banjir), pernah dilanda banjir dan semua tempat pendaratan untuk penghantaran bantuan makanan. 

“Bagi TUDM, kami sudah mempersiapkan pesawat di Kuantan, Butterworth dan bahagian selatan negara. Bilik operasi akan dioperasikan oleh komander daripada Tentera Darat dan kami akan turut bekerjasama dengan NADMA  (Agensi Pengurusan Bencana Negara) di setiap negeri untuk melaksanakan tugas,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Asghar Khan hadir pada majlis penghargaan terhadap 16 pegawai dan anggota yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina susulan Taufan Tropika Kristine (Trami) yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.

Dalam misi bermula 27 Okt hingga 1 Nov itu, TUDM telah mengatur gerak sebuah helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan bagi menyokong kerajaan Filipina dalam bantuan logistik udara untuk mengedarkan barangan bantuan bencana di sekitar kawasan terjejas. 

Anggota dan pegawai TUDM berkenaan dilaporkan berjaya melaksanakan sembilan sorti atau misi penerbangan melibatkan sejumlah 17.5 tan bekalan bantuan termasuk bot dengan enjin (0.82 tan), kanvas tarpaulin (8.22 tan) dan bekalan makanan dalam kotak (8.4 tan).

Bagi penglibatan dalam misi HADR itu, kesemua mereka menerima ‘Award of The Military Civic Action Medal dan Award of The Chief of Staff, AFP Commendation Medal and Ribbon’ yang disampaikan sendiri oleh Panglima Tentera Udara Filipina (PAF) Left Jen Stephen P. Parreño pada 31 Okt lepas dalam satu majlis di Pangkalan Udara Villamor.

“Kejayaan melaksanakan misi ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana, tetapi turut mengeratkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, sekali gus menunjukkan kemampuan TUDM untuk melaksanakan pelbagai misi dan kami berbangga kerana diberi peluang untuk melaksanakannya,” kata Mohd Asghar Khan.

Sementara itu, ketua misi HADR ke Filipina Mej Thaddaeus Raphael Azis@Sait berkata cabaran utama yang dihadapi sepanjang operasi ialah angin kencang dan cuaca tidak menentu yang menyukarkan misi, namun dapat ditangani pasukan berkenaan dengan baik.

Beliau menyatakan sudah beberapa kali terlibat dalam misi penghantaran bantuan di dalam negara yang cabarannya tidak jauh berbeza, namun keadaan muka bumi di Filipina yang bergunung dan memiliki banyak pulau memberinya pengalaman baharu.

“Sepanjang operasi, kami melakukan rutin sama iaitu menghantar bantuan ke Lapangan Terbang Bicol dan Lapangan Terbang Naga dan dari situ tentera Filipina akan mengagihkan bantuan berkenaan ke kawasan terjejas.

“Pesawat yang digunakan dalam misi ini juga sangat baik apabila dapat melakukan misi ini dengan baik, selamat dan berjaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan