WILAYAH - SARAWAK > BERITA

U MOBILE AKAN DIKENAKAN SYARAT UNTUK BANGUNKAN RANGKAIAN 5G KEDUA - FAHMI

08/11/2024 05:43 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Syarikat  U Mobile Sdn Bhd akan dikenakan syarat-syarat tertentu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membangunkan rangkaian 5G kedua Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Bagaimanapun, beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata agak pramatang untuk dimaklumkan syarat terhadap syarikat tersebut, syarat berkenaan akan ditetapkan selepas MCMC mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB).

"Saya berpendapat ia agak pramatang untuk saya maklumkan apa-apa syarat yang akan dikenakan. Memang kalau kita lihat pengalaman sebelum ini apabila kita menyaksikan penggabungan antara Celcom dan juga Digi, penggabungan itu datang dengan sejumlah syarat dikenakan oleh badan kawal selia iaitu MCMC.

"Sudah pasti...malah kalau kita lihat dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama di bawah DNB juga ada dikenakan syarat-syarat tertentu dan bagi rangkaian kedua sudah pasti akan ada syarat akan dikenakan juga," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Fahmi berkata sebelum syarat-syarat itu ditetapkan, MCMC akan memanggil pihak U Mobile untuk mendapatkan penjelasan mengenai apakah perbincangan terkini antara syarikat itu dengan mana-mana syarikat yang mahu bekerjasama dengan mereka.

"Dari situ beberapa pertimbangan akan diberikan kerana kita perlu sedar mekanisma yang akan dikenakan bagi rangkaian kedua ini adalah melalui pegangan spektrum (spectrum holding). Ia sama ada melalui apa disebut sebagai apparatus assignment ataupun spectrum assignment.

"Jadi kedua-dua ini adalah instrumen yang ada dalam tangan MCMC. Dalam meneliti apakah cara yang terbaik, maka MCMC boleh mengenakan syarat-syarat tertentu," katanya.

Beliau berkata syarat-syarat yang dikenakan itu kelak adalah bagi memastikan tidak berlaku satu keadaan yang tidak seimbang dalam ekosistem. 

Ditanya adakah kerajaan akan menilai semula pemilihan U Mobile selaku penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia susulan kritikan yang dilontarkan beberapa pihak, Fahmi berkata perkara itu tidak berlaku.

"Dalam konteks pemilihan, MCMC, ia telah dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dalam MCMC dan diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli Suruhanjaya. Jadi pihak pentadbiran tidak terlibat, tidak masuk campur dan saya perlu peringatkan ini bukan kontrak, ini bukan lesen.

"Jadi tidak ada dana awam yang terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G kedua negara dan dari segi aspek pengurusan, tata kelola, governance, setakat ini semua berjalan dengan tertib, tidak ada campur tangan," katanya.

Fahmi sekali lagi menegaskan, pemilihan U Mobile adalah layak selepas MCMC mempertimbangkan dari pelbagai aspek termasuk rancangan perniagaan, rancangan teknikal untuk membangunkan ‘network’ dan juga ‘performance’.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan