WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMENANG PERTAMA ANUGERAH KAJAI, ROSNAH ABD MAJID MENINGGAL DUNIA

10/11/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Wartawan veteran dan bekas ahli politik Datuk Rosnah Abd Majid, 71, meninggal dunia di rumahnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang, pada 9.30 pagi ini.

Pemergian Rosnah disahkan kakaknya, Mariam ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Allahyarham memang diketahui mempunyai penyakit berkaitan buah pinggang dan pernah membuat pembedahan pemindahan buah pinggang di China pada 2001. Jenazah masih di Pulau Pinang dan akan dikebumikan di Kuala Lumpur,” katanya.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1953 di Sungai Pial, Merbuk, Kedah adalah lepasan Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi.

Rosnah pernah bertugas di akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun, sejak 1977 dan merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.

Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Dawai selepas menewaskan calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dan pernah menyandang jawatan  Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Negeri Kedah bagi penggal 2000/2003.

Beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden (FKBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) selama setahun pada 2007.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan