WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGANJURAN KARNIVAL CIMIC 2024 ERATKAN HUBUNGAN TENTERA DAN MASYARAKAT AWAM

10/11/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Penganjuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) 2024 di Kota Kinabalu bertujuan mengeratkan hubungan antara tentera dan masyarakat awam terutamanya di Sabah selain memupuk semangat patriotisme dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, CIMIC 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu juga bertujuan memberikan pendedahan mengenai tugas dan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada masyarakat awam.  

Menurut kenyataan itu, CIMIC yang berlangsung di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini dan dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan selain pegawai-pegawai kanan ATM dan warga ATM.

"Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan ATM yang turut melibatkan beberapa agensi keselamatan dan awam termasuk kerajaan negeri Sabah," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan antara yang diadakan semasa karnival berkenaan termasuk penyampaian sumbangan kotak rezeki kepada 1,000 penduduk di sekitar Putatan dan penyampaian hadiah Larian Muhibah yang telah disertai lebih 500 peserta melibatkan warga ATM dan penduduk awam di Sabah. 

Berteraskan kerjasama awam-tentera, karnival itu juga mempersembahkan demonstrasi keupayaan ATM dan agensi keselamatan yang disusun dalam bentuk sakuwara termasuk persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS), Drumline dan Tarian Perang serta persembahan brass band ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, turut diadakan adalah pameran aset ATM iaitu kenderaan perisai seperti AV8 Gempita dan HMAV Lipan Bara, helikopter EC 725 dan persenjataan seperti Meriam 105 mm dan Pack Howitzer.

“Aset pasukan elit dan pasukan khas Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dipamerkan.

“Selain pameran aset ketenteraan, Karnival CIMIC 2024 juga memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pendedahan berkenaan kerjaya dalam ATM dan badan keselamatan kerajaan yang lain melalui pameran reruai,” menurut kenyataan itu. 

Program yang diadakan Semasa karnival itu turut memaparkan tahap disiplin dan dedikasi yang tinggi warga ATM dan agensi keselamatan dalam mempertahankan keamanan selain usaha mendekati masyarakat awam bagi memupuk semangat kesatuan antara warga tentera dan masyarakat.

“Usaha ini merupakan aspirasi dalam Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan bahawa keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama melibatkan semua lapisan masyarakat dan agensi kerajaan melalui prinsip Whole of Government Whole of Society (WOGOS),” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan