WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYARIKAT IPP BERI KOMITMEN BAIK SELESAI TUNGGAKAN AAIBE - FADILLAH

11/11/2024 11:46 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa tunggakan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dari tempoh 2018 hingga 2021 adalah berjumlah RM442 juta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu sebanyak RM374 juta telah dibayar manakala RM68 juta lagi masih dalam proses pembayaran.

“Kesemua syarikat penjana elektrik telah memberikan kerjasama dan komitmen yang baik untuk menyelesaikan tunggakan mahupun sumbangan tahun semasa.

“Pihak kementerian juga sentiasa konsisten memantau perkara ini melalui Mesyuarat Jawatankuasa AAIBE dan bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak syarikat penjana elektrik yang terlibat untuk membantu mereka melunaskan sumbangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah dana AAIBE terkini dan tunggakan yang belum dijelaskan oleh penjana tenaga bebas (IPP) mengikut syarat lesen mereka.

Fadillah berkata dana AAIBE terkini hingga 30 Sept lepas, berjumlah RM866,686,747.66 dengan RM606,931,000 daripada jumlah itu adalah pelaburan tetap manakala RM147,872,976.21 adalah diperuntukkan bagi projek komited sedia ada.

Beliau menjelaskan kesemua syarikat yang mendapat IPP akan menyumbang satu peratus kepada dana AAIBE yang antaranya digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta program pembangunan modal insan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan