WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN SARAWAK 2025: RM18.5 JUTA UNTUK PROGRAM LATIHAN PENJAWAT AWAM NEGERI

11/11/2024 03:25 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Sarawak memperuntukkan RM18.5 juta bagi melaksanakan program latihan dan pembangunan yang bertujuan membina budaya berprestasi tinggi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS).

Premiernya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif latihan dan pembangunan itu menyasarkan pelbagai peringkat dalam perkhidmatan awam termasuk latihan berasaskan kompetensi untuk kakitangan sokongan bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka.

Beliau berkata program kepimpinan eksekutif untuk pengurusan tertinggi juga akan dirangka bagi memupuk pemikiran strategik dan keupayaan kepimpinan diperlukan oleh pemimpin kanan untuk menangani cabaran moden yang kompleks.

Selain itu, program pemimpin baharu turut dilaksanakan bagi mempersiapkan generasi pemimpin masa depan melalui latihan kepimpinan yang khusus, serta program peningkatan kemahiran dan penambahbaikan kemahiran untuk melengkapkan semua pekerja dengan peralatan dan pengetahuan untuk berkembang maju dalam persekitaran kerja yang cepat berubah.

“Keupayaan SCS pada asasnya berkait rapat dengan usaha membina budaya berprestasi tinggi yang memastikan SCS kita adalah berpengetahuan, berkesan, boleh menyesuaikan diri dan inovatif,” katanya.

Menyedari pentingnya persekitaran kerja yang menyokong dan sihat, Abang Johari berkata sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi beberapa siri inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan penjawat awam.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan RM3.55 bilion untuk memulakan skim perumahan utama bagi menangani isu kekurangan perumahan kerajaan di Sarawak.

“Inisiatif ini akan menyaksikan pembinaan perumahan dan kemudahan baharu untuk penjawat awam di seluruh Sarawak. Pembinaan dijangka dimulakan pada 2025 bermula dengan peruntukan awal RM200 juta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan