WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMERGIAN ROSNAH KEHILANGAN BESAR BUAT DUNIA KEWARTAWANAN, POLITIK DAN KORPORAT - ZAHID

11/11/2024 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pemergian Allahyarham Datuk Rosnah Abd Majid disifatkan satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan, politik dan korporat negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi catatan di laman Facebook, Ahmad Zahid berkata Allahyarham merupakan kenalan rapat dan tokoh yang sangat dihormati.

Timbalan Perdana Menteri berkata Setiausaha Politiknya Datuk Megat Zulkarnain Omardin, telah mewakili beliau untuk menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Taman Melawati di sini pagi tadi.

"Melalui beliau, saya turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah termasuk kakaknya, Dr Hjh Meriyam Majid, bekas CEO GiatMARA yang juga merupakan kenalan rapat saya.

"Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga oleh-Nya. Al-Fatihah," kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

Allahyarham Rosnah, 71, yang pernah bertugas di akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun sejak 1977, meninggal dunia di rumah kakaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada 9.30 pagi semalam.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate di sini pada 10 pagi ini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1953 di Sungai Pial, Merbok, Kedah merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.

Rosnah juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Dawai selepas menewaskan calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dan pernah menyandang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Negeri Kedah bagi penggal 2000/2003.

Beliau turut dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia selama setahun pada 2007.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan