WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UPSR DAN PT3 TIDAK LAGI RELEVAN, KPM TERUS PERKASA PBS - FADHLINA

11/11/2024 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lagi relevan untuk dilaksanakan dalam pentaksiran pendidikan murid sekolah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Justeru, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan keputusan untuk tidak mengembalikan pelaksanaan UPSR dan PT3, yang masing-masing dimansuhkan mulai 2021 dan 2022, sebaliknya akan memperkasakan pentaksiran Pendidikan Berasaskan Sekolah (PBS).

"Saya ambil peluang ini untuk menegaskan bahawa ketika ini, kita tidak akan berpatah balik dengan mengekalkan (keputusan untuk) memansuhkan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan.

"Sebaliknya, kita memberikan ruang kepada PBS ini berlangsung dengan baik… apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi KPM di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata PBS bersifat lebih holistik yang merangkumi pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara keseluruhan, malah memfokuskan pembelajaran yang bukan hanya tertumpu kepada gred dan markah peperiksaan.

Beliau berkata menerusi perbandingan sistem pentaksiran pendidikan di negara ini dengan beberapa negara serantau serta antarabangsa menunjukkan Malaysia bergerak selari dengan agenda pendidikan global.

Fadhlina berkata perbandingan itu antaranya melibatkan Finland, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Norway, Jepun, Hong Kong serta Indonesia yang turut beralih daripada peperiksaan berpusat kepada sistem pentaksiran pendidikan.

"Pelaksanaan PBS (di Malaysia) adalah selari dengan Incheon Declaration and Education 2030 Framework for Action yang telah dibentangkan pada 21 Mei 2015 dalam World Education Forum di Incheon, Korea Selatan.

"Deklarasi ini menggariskan pentaksiran pendidikan berkualiti melalui pentaksiran berterusan berasaskan bilik darjah serta pentaksiran yang lebih komprehensif merangkumi pentaksiran kognitif dan bukan kompetitif," katanya.

Mengenai usaha memperkasakan PBS, Fadhlina berkata kementerian itu melaksanakan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang merupakan pentaksiran sumatif dalam komponen pentaksiran dan ia bersifat low- stakes kerana mampu mengurangkan tekanan kepada murid.

Beliau berkata selain itu, KPM melakukan penambahbaikan terhadap UASA melalui sesi akademik 2024/2025 antaranya dengan menukar bentuk pelaporan daripada tahap penguasaan kepada bentuk peratusan dan gred serta memberikan sekolah dan guru autonomi dalam pelaksanaannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan